Kuala Lumpur — Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Esports Integrated (ESI) telah mengadakan Mini EsportsCon buat kali pertama pada 4 Julai 2024. Acara ini berlangsung di bangunan utama Parlimen Malaysia dan menghimpunkan penerbit permainan terkemuka tempatan dan antarabangsa.
Acara ini diadakan untuk meraikan industri esukan yang berkembang pesat di Malaysia, serta menyediakan platform untuk interaksi antara pemain industri sukan elektronik dan warga Parlimen, terutamanya Ahli-Ahli Dewan Rakyat yang merupakan penggubal undang-undang negara.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua Ahli Parlimen yang hadir dan warga Parlimen yang menyokong acara Mini EsportsCon di Parlimen. Acara ini merupakan langkah penting dalam mengiktiraf esukan sebagai industri yang dinamik dan berpengaruh. Kami berharap inisiatif ini diterima dengan baik dan dapat memberikan pandangan lebih jelas kepada pembuat dasar mengenai perkembangan esukan,” kata Yang Berhormat Adam Adli Abd Halim, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, semasa sesi walkabout ke Mini EsportsCon di Dewan Bankuet, Bangunan Utama Parlimen.
Acara ini juga dijayakan dengan kerjasama Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF), Moonton, Tencent, Raceroom Asia, Gamesbond, Ammobox Studios, Kaigan Games, dan Todak Studios.
Antara aktiviti yang berlangsung termasuk sesi penerangan tentang sukan elektronik dan demonstrasi permainan yang memberi pengalaman langsung dengan pelbagai judul permainan. Acara ini juga menampilkan pembentangan Garis Panduan Pembangunan Sukan Elektronik Kebangsaan (NESDEG), yang dirancang untuk menyokong pelaksanaan strategi di bawah Pelan Strategik Sukan Elektronik Kebangsaan 2020-2025. MESF juga memperkenalkan Esports MedicA, inisiatif yang memberikan pendidikan dan khidmat nasihat kesihatan kepada para pemain dalam industri ini.