Author: Destina Asia

  • Lagu ‘Lemas’ Buat Khai Bahar Pasrah

    Khai Bahar kini telah melancarkan single terbaru bertajuk Lemas, menandakan kehadiran terbarunya dalam industri muzik. Dalam tempoh tujuh tahun berkecimpung dalam seni, beliau telah menghasilkan lebih daripada 20 single yang mendapat sambutan luar biasa daripada peminat, mencerminkan keupayaannya yang unggul dalam bidang ini.

    Ketika ditanya mengapa dia menerima lagu Lemas ini, Khai Bahar berkata lagu ini sangat istimewa buat dirinya kerana liriknya berkait rapat dengan pengalaman peribadinya, keluarga malahan orang sekeliling. Sikapnya yang sering mendahulukan orang lain demi kebahagiaan jelas terpancar apabila dia menerima lagu ini. 

    “Apabila saya amati lirik Lemas, saya seolah-olah dapat hubungkan dengan keadaan yang pernah saya lalui. Saya seorang yang akan mengetepikan perasaan sendiri dan memberi peluang kepada orang lain. Secara ringkasnya, saya ni jenis pasrah, tidak hiraukan perasaan sendiri asalkan orang tersayang bahagia. Kadang-kadang bila kita buat orang lain bahagia, secara tidak langsung, hati kita tenang walaupun pedih untuk menerimanya. Lama-lama nanti perasaan sedih itu dengan sendirinya akan hilang. Sebab itulah bila saya lihat lirik lagu ini, saya terus setuju untuk jadikan single terbaharu saya.”

    Khai Bahar telah menunjukkan komitmen yang tinggi ketika rakaman tanpa mengira kesihatannya. “Ketika rakaman untuk lagu ini dilakukan, saya dalam keadaan yang kurang sihat. Saya tidak mahu melengah-lengahkan rakaman ini kerana saya menghargai serta menghormati kerja keras sahabat saya di dalam studio terutamanya komposer Hykal Kadir dan penulis lirik Hamizan Azli. Saya amat menghormati kedua-dua mereka kerana mereka masih muda dan bakat mereka sangat berkualiti.”

    Ketika ditanya tentang pemilihan lagu, Khai Bahar menghormati kreativiti setiap karyawan. “Saya boleh dikatakan masih lagi baharu dalam bidang ini. Namun saya terbuka untuk menerima sesiapa sahaja komposer asalkan melodi, lirik dan lagu sedap didengar dan melekat di hati saya. Alhamdulillah berkat kerja sama semua, rakaman selesai dalam masa dua jam setengah,” jelas King of Smule ini.

    Kepada yang masih belum mendengar lagu ini, boleh muat turun lagu Lemas di iTunes atau melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Spotify, Apple Music, Youtube Music, Tidal dan Deezer. Untuk mendapatkan maklumat terkini tentang Alternate Records & Talents, layari akaun rasmi media sosial Alternate Records & Talents di Facebook, @alternate.my_ di Instagram, dan @alternate.rt_ di TikTok.

  • Terhasil Lagu ‘Teman’ Disebabkan Muzik Insomniacks Sering Menemani Peminat

     

    Kumpulan tempatan Insomniacks telah menjadi kenalan tetap dalam seni muzik Malaysia sekarang. Sejak mula terlibat dalam industri ini, lagu-lagu mereka telah menjadi kegemaran dikalangan remaja tempatan dan viral di pelbagai platform media sosial. Kini, mereka kembali dengan lagu terbaru yang menarik berjudul ‘Teman’.

    Melodi muzik dan lirik ditulis oleh ahli kumpulan ini sendiri iaitu Iqie, digubah dan dibantu oleh Bajai, penerbit yang tidak asing lagi bersama Insomniacks.

    “Lagu ini tentang sentiasa berada di sisi orang yang kita sayang. Ia ditulis dengan niat untuk menemani mereka yang sukar tidur di waktu malam,” ujar Iqie

    “Kami mendapat ilham untuk menulis lagu ini selepas ramai pendengar kami memberitahu bahawa muzik kami sering menemani mereka dalam pelbagai aktiviti, seperti dalam perjalanan ke tempat kerja atau belajar, selain waktu mengulang kaji pelajaran dan juga saat masih terjaga di waktu malam. Kami mahu diskografi kami mengandungi lagu-lagu yang boleh menjadi lagu pengantar tidur juga.

    Selain itu, proses rakamannya juga menyenangkan. Ia merupakan satu penghormatan buat diri saya kerana dapat bekerja dengan dua orang ayah saudara saya yang juga pemuzik berbakat dengan banyak pengalaman dalam industri muzik,” jelas Iqie lagi tentang karya ini.

    Seiring dengan terbitan lagu ini oleh Universal Music Malaysia, lagu ini juga ditampilkan dengan visual dan jalan cerita yang menarik dari segi cinematography dan visual grafik yang menarik untuk pendengar menghayati bait bait lagu ini melalui visual pesanan, untuk mementingkan persahabatan dan sentiasa berada disisi di saat diperlukan. Ada yang merasa menemani seseorang itu membuang masa dan tiada pulangan, Ia mungkin kedengaran benar namun hidup perlu bermasyarakat, membantu satu sama lain dan berada di samping orang yang kita sayang adalah penting kerana kita tidak tahu bila kita mungkin perlukan teman sendiri.

    Berkenaan proses rakaman video, Pengarah, Dick Wai dan pasukannya daripda Unfold Production banyak membantu kami dari segi lakonan dan permintaan kami untuk mewujudkan jalan cerita yang kukuh dan baik’, ujar Iskandar tentang pembikinan video muzik Teman.

    “Saya berharap pendengar dapat memahami maksud di balik lagu yang penuh bermakna buat kami ini. Semoga lagu ini menjadi ikutan dan siulan di konsert-konsert dalam kalangan peminat kami. Saya juga harap mereka dapat merasai nilai persahabatan yang cuba kami paparkan di dalam video ini,” bingkas Dan menutup bicara.

    Single Teman boleh didengari di semua digital platform seperti Spotify, Apple Music, KKBOX, Deezer dah Youtube Music pada 1 Mac 2024, muzik video juga ditayangkan secara eksklusif di saluran YouTube rasmi Insomniacks.

  • VIVO Y100 MUNCUL DENGAN KEHEBATAN TEKNOLOGI TERKINI

    Pada 27 Februari lalu, Vivo telah melancarkan telefon pintar terbaru mereka, Vivo Y100 5G, di Brick Studio, Sunway Damansara. Telefon ini menampilkan sejumlah pembaharuan teknologi yang bertujuan untuk meningkatkan pengalaman pengguna dengan lebih mudah dan cekap.

    Vivo Y100 5G menggunakan 8-core CPU dan chip Snapdragon 4 Gen 2 serta menggunakan Operating System (OS) vivo iaitu Funtouch OS 14. Ia mempunyai 8GB RAM yang boleh ditambahbaik dengan tambahan 8 GB RAM dan menjadikan ia 16 GB RAM.

    Telefon pintar ini juga menggunakan 6.67-inch 120 Hz Ultra Vision AMOLED Dotch Display dan ditambah dengan 300% Volume Audio serta Dual Stereo Speaker untuk menjadikan telefon ini sebagai sebuah panggung wayang mini.

    Dengan bateri yang mempunyai 5000 mAH serta FlashCharging, ia membolehkan pembeli untuk menggunakannya untuk jangka masa yang lama tanpa menggunakan charger. Ia turut tiba dengan Overnight Charging Protection yang mengikut corak tidur pengguna dan hanya akan charge sehingga 80%. Ia akan sambung sehingga 100% sebelum pengguna bangun dari tidur.

    Kamera vivo Y100 5G mempunyai 8MP kamera potrait, 50MP kamera utama, 8MP kamera Ultra Wide Angle dan kamera Flicker Sensor. Ia akan membantu pengguna untuk menangkap gambar dengan lebih cantik, jelas terutama sekali dengan penggunaan Ultra Wide Angle yang memudahkan pengguna untuk menangkap gambar tanpa bergerak ke belakang untuk muatkan objek dalam gambar.

    Ia dibuat menggunakan EcoFibre Leather dan menggunakan frame Metalic High Gloss yang memberikan pengguna rupa astetik untuk telefon ini. Leather yang digunakan vivo merupakan satu teknologi baharu yang berfungsi untuk menghalang pelbagai jenis kotoran dan sinaran UV.

    Harga Vivo Y100 5G akan bermula dijual pada 28 Februari pada harga RM1199 untuk variasi 8GB+256GB. Pembeli boleh membeli telefon ini di stor konsep vivo, vivo e-store, Shopee, dan Lazada. Untuk pertanyaan dengan lebih lanjut mengenai telefon pintar ini, kunjungi ke website rasmi, Facebook atau Instagram Vivo Malaysia

  • Kembara Umrah JDT (KUJDT) Pelancaran Ihram Personal Care Khalisah Membuka dan Pakej Jelajah 5 Kota Saudi

    Kembara Umrah JDT (KUJDT) Pelancaran Ihram Personal Care Khalisah Membuka dan Pakej Jelajah 5 Kota Saudi

    Tuan Haji Mohd Khairuddin Salin dan isteri, Hajjah Mossiah Mahadi, telah meningkatkan perkhidmatan umrah, haji dan pelancongan Muslim dengan melancarkan pakej pelancongan lima Kota Saudi serta produk penjagaan diri Ihram Personal Care Khalisah.

    Kisahnya bermula apabila pasangan ini pulang dari umrah bersama agensi lain dan mendapat inspirasi untuk menyediakan perkhidmatan umrah yang lebih tersusun melalui Kembara Umrah JDT (KUJDT).

    Menurut Mohd Khairuddin, KUJDT menawarkan kelainan dengan agensi lain dengan menyediakan jaminan kumpulan kecil dan hotel yang dijanjikan tanpa perubahan hotel yang tidak diingini. Selain itu, mereka menawarkan bimbingan umrah sebanyak tiga kali bersama Musyruf.

    KUJDT turut melancarkan pakej pelancongan 5 bandar Saudi, yang membolehkan jemaah menunaikan umrah sambil melakukan perjalanan selama sembilan hari tujuh malam. Jemaah haji bukan sahaja boleh menunaikan umrah tetapi juga dibenarkan melawat 5 Bandar Saudi yang terdiri daripada AI Ula, Taif, Mekah, Madinah, dan Jeddah dalam Pakej Lawatan Lima Bandar Saudi.

    Ihram Personal Care Khalisah, produk penjagaan diri yang direka khas untuk membantu jemaah Haji dan Umrah menjalankan ibadah mereka dengan lebih baik semasa berada dalam Ihram, Produk in terbuat daripada bahan-bahan berasaskan sunnah tanpa bau dan alkohol, termasuk susu, madu, kambing, dan habatussauda serta mesra wudhu.

    Majlis pelancaran di Menara Shaftsbury Putrajaya menandakan usaha KUJDT untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan pelancongan Umrah dan Muslim untuk rakyat Malaysia.

    Majlis itu juga merasmikan pejabat KUJDT di Putrajaya, yang terletak di peringkat UG Menara Shaftsbury Putrajaya.

    Anda boleh mengunjungi www.kujdt.my untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang Pakej Jelajah Saudi 5 City dan KUJDT.

  • AMARIS DAN TYZO TIDAK LELAH BERKONGSI REZEKI

    Kesukaran hidup yang dihadapi oleh individu di sekeliling Putra Amaris membuatkan beliau terinspirasi untuk menyumbangkan sebahagian rezeki kepada yang memerlukan, sebagai langkah untuk membantu meringankan beban mereka. Baginya, rezeki yang diperoleh daripada Allah SWT bukanlah semata-mata hasil usaha individu, tetapi juga berkat sokongan yang diberikan oleh masyarakat dalam bidang perniagaan dan juga seni.

    Justeru mengambil iktibar dari banyak kisah masyarakat, sejak tahun 2020 Amaris mula menggerakkan program ‘Share Rezeki’ yang juga secara tidak langsung menjadi ibadah infaq sempena menyambut keberkatan bulan Ramadan.

    “Kita banyak mendengar kisah orang hidup susah menerusi laporan media atau yang tular di media sosial. Dari situ saya mula terfikir untuk lakukan sesuatu agar rezeki yang dimiliki ini juga dapat memberi manfaat kepada lebih ramai orang.

    “Sekurang-kurangnya sedikit pemberian ini juga dapat memberi senyuman buat mereka yang memerlukan. Bahkan mereka juga sama-sama dapat merasa nikmat Ramadan seperti kita yang berkemampuan.

    “Tahun ini saya teruskan lagi program Share Rezeki yang pernah dilakukan empat tahun dahulu,” katanya.

    Seperti tahun-tahun sebelumnya, Amaris bersama pasukan pengurusan, Rarekynd Malaysia sudah mula mengenal pasti golongan yang memerlukan termasuk rumah-rumah kebajikan sebagai penerima sumbangan.

    Malah dia juga turut bekerjasama dengan syarikat-syarikat ternama untuk sama-sama berkongsi menghulurkan bantuan bagi menggerakkan misi ini. Bukan itu sahaja, dia turut mengajak rakan-rakan artis yang mahu melakukan amal kebajikan.

    “Menariknya tahun ini saya turut mendapat kerjasama beberapa syarikat bumiputera. Bukan itu sahaja, saya juga membuka peluang kepada rakan artis sekiranya mereka mahu melakukan kebajikan sempena Ramadan.

    “Saya percaya ramai golongan yang berkemampuan mahu menghulurkan bantuan namun tidak dapat berbuat demikian atas beberapa faktor kekangan. Jadi program Share Rezeki ini boleh menjadi orang tengah untuk mereka,” jelasnya.

    Pelacaran Share Rezeki tahun ini diadakan pada 8 Mac 2024 bertempat di MyEvent Production Studio, Shah Alam dan ia juga disiarkan secara langsung menerusi platform media sosial Rarekynd Malaysia.

    Program yang digerakkan oleh Rarekynd Malaysia ini, turut mendapat kerjasama pihak lain termasuk adalah Minyak Bidara Paklong Man (penaja utama), Adabi, Hardamawt dan Westplate Factory.

    Tambah Amaris, kejayaan sebelum ini juga telah mendorong dia untuk menjadikan program sebegini sebagai acara tahunan atau mungkin boleh dilaksanakan sepanjang tahun.

    Istimewa juga dalam program tahun ini Amaris turut bekerjasama dengan penyampai radio, Tyzo Xander menerusi Pertubuhan Kasih TYZO.

    “Siapa tahu program ini akan dijalan sepanjang tahun dan tidak hanya tertumpu kepada bulan Ramadan sahaja.

    “Rezeki dapat bekerjasama dengan Tyzo. Memang hasrat dalam hati nak bekerjasama dan dengan izin Allah ia dipermudahkan. Kami berhubung dan dia juga mahu melakukan program sama.

    “Bermula daripada sekadar borak kosong, kemudian pertemua di kedai kopi akhirnya kami setuju untuk sama-sama menggerakkan progam ini,” ujarnya.

    Berkongsi lanjut, menurut Amaris setiap perancangan yang dilakukan pasti akan ada cabaran.

    Dalam masa sama dia juga berdepan dugaan terbesar kehilangan ibu tercinta iaitu Allahyarham Hajah Hasnah Sahli yang meninggal dunia pada 18 Februari lalu.

    Namun setiap dugaan dan kisah sedih yang dilalui tidak pernah mematahkan semnagat Amaris untuk meneruskan program kali ini.

    “Cabaran datang bersilih ganti. Saya juga baru kehilangan ibu baru-baru ini. Bagaimanapun saya tidak mahu kesedihan yang dilalui menjadi penghalang untuk melaksanakan program ini.

    “Semoga dengan rezeki yang dikongsi ini juga dapat memberi pahala buat arwah ibu dan ayah. Doa-doa mereka ini semua akan menjadi bekalan buat kita semua juga,” jelasnya.

    Sementara itu bercakap tentang perjalanan kerjaya seni, Amaris memberitahu dia tidak pernah meletakkan kata nokhtah terhadap dunia lakonan meskipun kini semakin sibuk dengan perniagaan.

    “Saya masih berlakon cuma tidak aktif seperti dahulu kerana tumpuan sekarang lebih kepada perniagaan.

    “Rasa cinta dan rindu terhadap dunia lakonan tidak pernah hilang. Jika ada tawaran yang sesuai pastinya saya sedia untuk kembali ke set penggambaran,” luahnya.