Author: Destina Asia

  • Memiliki Suara Yang Unik Dan Berjiwa Rock, Tantari Berjudul “Rindu Hatiku Rindu”

    Lagu “Rindu Hatiku Rindu” yang dinyanyikan oleh penyanyi cilik Tantari memang memukau! Kedudukannya yang menduduki tempat pertama dalam trending YouTube selama 17 hari berturut-turut adalah pencapaian yang luar biasa dengan jumlah tontonan sebanyak 1.6 juta hanya dalam masa 3 minggu sejak dimuat naik ke YouTube.

    Nama Tantari atau nama sebenarnya Naufal Azahel Mohd Alfian yang baru berusia 6 tahun mula mendapat perhatian ramai apabila video persembahan dia menyanyikan  lagu popular 90’an, “Cinta Melankolia” dendangan asal Allahyarham Aan dimuat naik ke akaun TikTok LoyyGoji pada 6 Januari lalu menarik lebih 300,000 tanda suka (likes).

    Siapa sangka berdasarkan lagu rock kapak itu, Tantari dilamar oleh Molek fm dengan kerjasama Nova Music untuk merakam lagu sulung, “Rindu Hatiku Rindu” ciptaan komposer ternama, Eddie Hamid manakala liriknya dihasilkan oleh Jaju dan Hakim Hakimi.

    Dilancarkan pada 15 Februari ’24, lagu “Rindu Hatiku Rindu” yang melodinya seakan lagu era 90-an itu bukan sahaja trending di YouTube tetapi juga di TikTok dengan pencapaian tontonan video muzik lagu ini sebanyak 4 juta di akaun TikTok HafizFeisal.  

    Di waktu yang sama, lagu berentak pop rock itu juga sering diputar di corong radio Molek FM dan Hot FM. 

    Menurut Eddie, pertama kali menonton video tular Tantari menyanyi, beliau terus tertarik dan tahu lenggok lagu yang macam mana penyanyi cilik itu sesuai bawakan sebelum lagu itu ditawarkan kepada Tantari oleh Abang Sham selaku orang kuat radio Molek FM.

    “Rindu Hatiku Rindu” juga merupakan karya pertama Eddie yang dibuat khas untuk penyanyi kanak-kanak seperti Tantari yang lahir pada 23 April 2017.

    “Saya lihat kelebihan Tantari terletak pada suaranya yang unik yang sesuai membawa lenggok lagu era 90-an. Kita juga perlu ketengahkan kanak-kanak yang berbakat sebagai pelapis penyanyi sedia ada. 

    “Walaupun dia masih kanak-kanak tapi saya tak ada masalah sewaktu membuat kerja-kerja rakaman di Studio NAR. Di studio, kami hanya mengambil masa kira-kira tiga jam untuk siapkan rakaman,” kata Eddie tentang Tantari.

    Tambah Eddie, beliau tak menyangka lagu “Rindu Hatiku Rindu” nyanyian Tantari itu akan menjadi tular dan mendapat sambutan luarbiasa pendengar. Katanya, ini membuktikan bahawa walaupun zaman sudah berubah masih ramai yang meminati irama rock kapak. 

    Tantari akan memulakan alam persekolahannya dalam Tahun Satu di Sekolah Kebangsaan Bandar Rinching, Semenyih, Selangor tahun ini. Memandangkan Tantari masih di bawah umur, jadi lirik lagu yang ditampilkan tidak bolehlah keterlaluan sebaliknya perlu sesuai dengan usianya. 

    Mungkin ramai yang tak tahu bahawa Tantari sebenarnya mula menyanyi lagu-lagu kegemaran penggemar muzik dewasa  sejak berusia dua tahun. 

    Menurut bapanya, Mohd Alfian Bin Othman, bakat nyanyian Tantari dikesan sejak dia berusia dua tahun lagi dan lagu pertama yang dia nyanyikan di hadapan keluarga ialah lagu 60-an iaitu “Oh Fatimah”. 

    “Tantari mula berani menyanyi di hadapan orang ramai sewaktu berumur enam tahun apabila dia menyertai pertandingan nyanyian ‘Idola Kecil’ mula-mulanya di peringkat pra-sekolah, kemudian ke peringkat daerah dan seterusnya mewakili negeri Selangor. Untuk ketiga-tiga peringkat ini, dia mendapat tempat pertama. 

    “Sebagai bapa, saya bersyukur sebab ramai yang suka dengan nyanyian Tantari. Kalau ikutkan, saya ni tak adalah suka menyanyi lagu rock kapak, ada lagu-lagu tertentu saja. Tantari suka menyanyi lagu berjiwa rock disebabkan saya ada bekalkan sound system di rumah orang kahwin. 

    “Jadi bila buat sound check dan latihan menyanyi di rumah, saya selalu aturkan lagu 80-an dan 90-an. Mungkin sebab saya selalu buka lagu-lagu sebegini membuatkan ia masuk ke dalam dirinya,” cerita Mohd Alfian Othman tentang minat anak sulungnya itu. 

    Sejujurnya, kata Mohd Alfian Otman yang juga guru silat itu, beliau tidak fikir panjang apabila mendapat tawaran daripada Eddie Hamid untuk merakan lagu buat anaknya. 

    “Saya terus terima sebab saya berani katakan yang anak saya mampu buat dan alhamdulillah diizin Allah dan sekarang inilah hasilnya. Dari sentuhan terbaik komposer terkenal Eddie Hamid, Alhamdulillah. 

    “Sewaktu dalam studio, Tantari tak mengambil masa lama untuk rakaman kerana pihak Nova Music mahu terbitkan lagu itu dalam had waktu yang diberikan. 

    “Seingat saya pada hari buat rakaman tu kami datang ke studio pada jam 9 malam untuk mula rakaman dan selesai lebih kurang pukul 11.30 ke 12 tengah malam. Alhamdulillah, semua dipermudahkan,” katanya berkongsi pengalaman Tantari sewaktu di dalam studio rakaman. 

    Terus terang katanya, Tantari tidak mengikuti kelas vokal sebelum menjalani proses rakaman kerana semua persediaan dilakukan di rumah sahaja. 

    “Saya tak hantar dia ke kelas vokal sebab kami bukan dari keluarga senang nak hantar ke kelas vokal atau kelas muzik yang menelan belanja besar. Dia hanya kerap buat latihan di rumah dan disamping itu, kita menjaga waktu rehat, pemakanan dan kesihatannya,” ujarnya. 

    Meskipun Tantari meminati bidang seni, sebagai bapa Mohd Alfian Ohman tetap mengutamakan pelajaran anaknya dalam segala hal. 

    “Antara pelajaran dan seni, sejujurnya kami seimbangkan keduanya sebab pelajaran penting termasuk  ilmu agama yang perlu dititikberatkan. Dari segi penglibatan dia dalam aktiviti seni, minat dan bakat perlu ada. 

    “Pada saya, bakat yang ada pada dia adalah anugerah daripada Allah, jadi kita gunalah sebaiknya. Apa yang kita dapat semuanya adalah pemberian daripada Allah dan yang penting kita guna ke arah kebaikan,” tambahnya.

    Mungkin secara kebetulan bakat nyanyian Tantari itu terbit daripada nama panggilannya sendiri. Tantari adalah nama watak yang dilakonkan oleh Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dalam filem ‘6 Jahanam’. 

    “Nama panggilannya Tantari disebabkan dia adalah seorang pesilat dan saya adalah penggemar filem Tan Sri P. Ramlee. Dalam filem 6 Jahanam watak Tantari adalah seorang pendekar dan seorang pesilat. Saya ambil nama itu dan berikan kepada anak saya. Sampai sekarang, melekat dia dipanggil Tantari,” katanya lagi. 

    Lagu “Rindu Hatiku Rindu” nyanyian Tantari kini boleh didengar di semua pelantar penstriman digital termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube Music. Video muzik rasmi lagu tersebut juga boleh ditonton di saluran YouTube Nova Music Videos di pautan ini https://youtu.be/LQZeGvclJSU?si=85uEkYd0I4CS9lXm

  • Single Solo Kedua Mateen Berjudul Asma Abu Bakar

    Perjalanan sirah kisah Asma binti Abu Bakar (R.A.) yang sanggup berkorban jiwa dan  raganya bagi membantu perjuangan Nabi s.a.w dan Saidina Abu Bakar dalam peristiwa  Hijrah telah menjadi inspirasi bagi penyanyi nasyid baru Mateen untuk menjadi tema lirik  single terbaru beliau.

    Lagu gubahan Frizdan dan lirik oleh Ito Lara itu membawa pendengar menghayati kisah  Asma yang sedang sarat mengandung namun sanggup mendaki Jabal Thur bagi  menyediakan bekalan makanan dan minuman untuk Rasulullah s.a.w dan ayahnya Saidina  Abu Bakar di Gua Thur.

    “Kisah perjuangan Asma ini sangat menyentuh hati saya apatah lagi setelah digubah  dengan susunan lirik yang indah dan melodi yang menyentuh hati. Ia mengingatkan kita  bagaimana seorang wanita juga memainkan peranan penting dalam membantu  perjuangan menegakkan agama Allah” Ujar Mateen.

    Lagu Asma Abu Bakar merupakan single solo kedua Mateen selepas single pertama beliau  Teratas dilancarkan awal tahun yang lalu.

    “Sebelum ini saya mempertaruhkan lagu Teratas yang agak laju dari segi temponya dan kali  ini untuk single kedua saya memilih lagu yang lebih perlahan dan memerlukan  penghayatan serta memasukkan elemen sirah nabawiyah” Tambah Mateen lagi.

    Pembikinan muzik video lagu Asma Abu Bakar turut memaparkan simbolik dari sirah yang  berlaku lebih 1400 tahun lalu. Lokasi penggambaran telah dilaksanakan di kawasan bukit  berbatu bagi menggambarkan keadaan bentuk muka bumi di Jabal Thur.

    “Saya harap lagu ini akan mendapat maklum balas yang baik dari pendengar semua serta  dapat dihayati dan diambil iktibar dari kisah sirah yang cuba disampaikan” ujar Mateen

    Lagu Asma Abu Bakar baru sahaja dilancarkan pada 16 Februari 2024 yang lalu dan kini  telah berada di semua platform digital termasuk rangkaian Youtube Inteam Digital.

  • Persatuan Francais Malaysia bakal mengadakan Anugerah Francais Malaysia 2024 pada bulan Mei ini

    AFM2024 merupakan pengiktirafan dan penghargaan kepada usahawan francais yang berdaya saing yang telah mencapai tahap keunggulan luar biasa hingga ke peringkat global. Persatuan Francais Malaysia (MFA) bakal menganjurkan anugerah berprestij “Anugerah Francais Malaysia 2024 (AFM2024)’ pada 29 Mei 2024 ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

    Meraikan tahun ke-26 penganjurannya tahun ini, AFM2024 disokong oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), dengan kerjasama rakan strategik termasuk @ Solve, Bubblebee, Marrybrown, Oldtown White Coffee, Ayam Penyet Best dan Little Caliph.

    Pengerusi MFA, Datuk Dr. Radzali Hassan, berkata anugerah ini cukup berkualiti kerana ianya meniadi penanda aras penting kepada penggiat industri francais bagi mengukur prestasi perniagaan mereka berlandaskan piawaian industri menerusi penilaian yang komprehensif yang meliputi aspek integriti, kelestarian perniagaan, ketangkasan kewangan, inovasi berterusan, impak sosial, dan banyak lagi agar penggiat industri francais Malaysia mencapai taraf dunia.

    “Pengiktirafan yang diterima menerusi AFM membolehkan usahawan francais tempatan dikenalpasti sebagai satu sistem yang berdaya saing, berdaya maju, dan berwibawa dalam menjalinkan rantaian perniagaan seta mempunyai potensi yang tinggi dalam mengembangkan perniagaan francais ke peringkat antarabangsa.

    Sehingga kini, beberapa Syarikat telah memberi maklum balas yang menggalakkan terhadap pencalonan anugerah ini. MFA menyasarkan lebih 100 pencalonan untuk 21 anugerah dalam 6 kategori yang dipertandingkan,” katanya ketika sesi sidang media AFM2024 di Kuala Lumpur.

    Sesi sidang media tersebut turut dianjurkan bersama taklimat anugerah yang telah disampaikan oleh Pengarah AFM2024, Prof. Madya Dr. Mod Hizam Hanafiah. Turut hadir ialah Naib Pengerusi, Tn. Hj. Mohamad Shukri Salleh.

    Menurut Prof. Madya Dr. Mohd Hizam Hanafiah, AFM2024 turut memperkenalkan anugerah baharu bagi Kategori Francaisi iaitu Best Single-Unit Franchisee of The Year, Best Multi-Unit Franchisee of The Year, Best International Single-Unit Franchisee of the Year dan Best International Multi-Unit Franchisee of The Year. Anugerah baru ini diperkenalkan bagi membuka lebih ramai usahawan francaisi bersaing secara adil dan merangsang amalan terbaik dalam industri francais semasa.

    Lebih menarik, kesemua anugerah ini akan disampaikan pada Malam Anugerah Francais yang bakal diadakan pada Mei nanti. Penganjurannya di pentas yang lebih berprestii pada tahun ini dengan kehadiran wakil francais daripada serata dunia yang turut menghadiri Mesyuarat Tahunan Asia Pacific Franchise Confederation (APFC) dan World Franchise Council (WFC), berlangsung selama 3 hari bermula 27 hingga 29 Mei 2024.

    Pencalonan bagi anugerah ini dibuka kepada semua penggiat francais sama ada ahli atau bukan ahli MA serta organisasi berkepentingan yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam industri francais ini.

    Bagi mendapatkan borang pencalonan dan keterangan lanjut berkaitan AFM2024, sila layari www.mfa.org.my/awards. Pencalonan dibuka sehingga 5 April 2024.

  • Festival Aku.Muzik&Kamu 2.0: Muncul Sebagai Acara Terbesar di Bahagian Selatan Semenanjung.

    Festival Aku.Muzik&Kamu (AMK) yang telah mencipta fenomena di Selatan Semenanjung pada tahun sebelumnya, kini kembali dengan artis-artis baru yang telah mencipta sejarah dan mempunyai pengaruh yang besar dalam dunia muzik Nusantara.

    Festival AMK yang memasuki tahun kedua penganjuran kini bernama AMK 2.0 menjanjikan satu festival muzik yang tidak akan dapat dilupakan di mata pemegang-pemegang tiket. 

    CoAction Events Sdn Bhd, penganjur AMK 2.0, dengan bangganya mengumumkan sembilan (9) pemuzik Nusantara yang akan menghangatkan pesta 10 jam tanpa henti tersebut pada 8 Jun 2024 di Stadium Olahraga Mount Austin, Johor Bahru, Johor. 

    Barisan pesohor muzik tersebut termasuklah kumpulan Masdo, IAMNEETA, Saixse, Feel Koplo, Imran Ajmain dan Ratu Rock Negara, Ella.

    Selain itu, Afgan akan diterbangkan khas dari Indonesia untuk ‘mencairkan’ pengunjung-pengunjung dengan lagu hit-nya seperti Bukan Cinta Biasa dan Jodoh Pasti Bertemu.

    Turut mewakili keghairahan muzik Indonesia, AMK 2.0 akan menampilkan Kumpulan Nidji yang tidak pernah mengecewakan dalam persembahan-persembahan penuh tenaga mereka. 

    Dan mewakili kebanggaan seluruh Bangsa Johor, kumpulan Exists turut akan mencipta sejarah baharu dalam AMK 2.0 yang akan bermula dari pukul 3 petang sehingga 12 malam.

    “Seramai 12,000 orang hadir di Aku.Muzik&Kamu yang julung kali diadakan tahun lepas. Festival ini begitu berjaya sehingga dicalonkan sebagai Acara Dalam Negeri Terbaik Johor untuk 2023. Tahun ini, kami menjangka kehadiran dalam 15,000 pengunjung dari Malaysia, Singapura, Indonesia, Brunei, Sabah dan Sarawak. 

    “Festival muzik kali ini akan terus menampilkan sembilan pesohor seni muzik bakat tempatan dan Indonesia.  Mereka mewakili genre muzik yang berlainan untuk menepati citara pengunjung kami nanti.

    “Ini adalah landasan kami untuk menyemarakkan industri seni, dengan menyatukan bakat-bakat muzik Nusantara, sekaligus memberi kepuasan maksima kepada semua pembeli tiket,” ujar Pengarah Eksekutif CoAction, David Emir Baring. 

     Beliau juga berterima kasih kepada rakan kongi strategik festival tersebut, seperti pihak Tourism Johor, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Visit Johor dan juga rakan kongsi media, Astro Malaysia Holdings kerana turut bersama menjayakan festival tersebut.  

     Untuk Exists, menyertai Festival AMK 2.0 adalah seperti ‘menunaikan kewajipan’ kembali ke negeri kelahiran, Johor lalu menghiburkan peminat mereka yang bukan hanya dari Malaysia tetapi Indonesia dan Singapura.

     “Bersedialah untuk berpesta dengan lagu-lagu yang akan membawa kalian pulang ke zaman nostalgia. Jumpa di Festival AMK 2.0,” ujar Ajai, mewakili Exists.

    Selain daripada persembahan yang hangat, festival ini juga akan menampilkan festival makanan dari MaQan Space untuk memuaskan pelbagai citarasa pengunjung, menawarkan pengalaman gastronomi yang melengkapi suasana festival ini.

    Harga tiket adalah RM229 (CHILL ZONE FREE SEATING), RM229 (GALAU ZONE FREE STANDING), RM369 (ROCK ZONE FREE STANDING) dan RM569 (ROCK ZONE + VIP LOUNGE ACCESS) dan boleh dibeli menerusi platform www.ticket2u.com.my

    Jadi, jangan sampai terlepas peluang bersama-sama mencatat sejarah baharu dan menikmati keghairahan dalam Festival Aku. Muzik & Kamu 2.0 di Stadium Olahraga Mount Austin, Johor Bahru pada 8 Jun 2024 ini!

  • D Alpha Legacy Mahu Masyarakat Fahami Apakah Korsakoff Melalui Filem Yang Menarik

    Keberuntungan datang kepada syarikat produksi tempatan D Alpha Legacy ketika karya asli mereka berjudul ‘KORSAKOFF’ telah dinobatkan sebagai pemenang dalam kategori istimewa ‘Best Psychological Film’ di Cannes World Film Festival (CWFF) dan kini, menjadi pemenang terbaru di World Film Carnival – Singapore (WFCS) yang ke-33.

    Menurut Nur Aminahtul Marrdiah Md Nor, selaku Pengasas D Alpha Legacy, “Alhamdulillah, segala kerja keras keseluruhan pasukan produksi dan pelakon-pelakon hebat negara kita terasa berbaloi apabila karya anak tempatan diiktiraf di mata dunia oleh para penilai antarabangsa.

    “Kami sekadar mencuba nasib dengan menghantar penyertaan dan akhirnya
    dimaklumkan sebagai pemenang untuk bulan Ogos kategori bagi ‘Best Psychological Film’, banyak juga negara lain yang menghantar karya mereka namun nasib berpihak kepada kami, terima kasih diatas pengiktirafan ini.

    Walaupun filem ini sudah pun dipertontonkan di hadapan juri-juri profesional antarabangsa untuk dinilai, rakyat Malaysia hanya berpeluang menontonnya secara rasmi dan juga eksklusif, ‘Di Pawagam Rumah Anda’ Astro First bermula 14 Mac 2024 ini.

    Dibintangi oleh barisan pelakon pemenang anugerah tanah air seperti Erra Fazira, Azhan Rani, Iqram Dinzly, Ning Baizura dan watak utamanya iaitu ‘Jelita’ dipegang oleh pendatang baharu, Elly Arifin.

    Aminahtul berkata “Walaupun Elly adalah aktres baharu dan kali pertama memegang watak heroin, dia disokong oleh pelakon-pelakon handalan negara, dan kerjasama diantara mereka inilah yang membuatkan filem ini berjaya.

    “Pemilihan pelakon dibuat berdasarkan kemampuan mereka dalam menghidupkan watak filem ini, sebagai contoh, Erra adalah seniwati negara yang tidak perlu dipertikaikan lagi bakatnya, manakala Azhan merupakan seorang pelakon method yang disegani, bagi Iqram pula, ramai yang merindui lakonan bermutunya, manakala Ning pula mempunyai presence yang kuat di layar kamera dan bagi Elly sendiri, seorang pelakon yang berpotensi dan mampu untuk pergi jauh.

    Idea asal filem ini tercetus dari perbualan diantara pengarah, penerbit dan penulis skrip yang gemarkan cerita-cerita berunsurkan psikologi dan pada masa yang sama, ingin berkongsi informasi tentang kondisi penyakit Korsakoff ini.

    Kongsi Aminahtul, “Kami hanya berbual kosong sesama sendiri dan berhasrat mengetengahkan kewujudan penyakit ini, maka terhasillah sinopsisnya sebelum ia berkembang menjadi sebuah naskhah yang diterbitkan.

    “Naskhah ini diilhamkan dari kisah-kisah benar yang pernah berlaku dan ada hubung kaitnya dengan penyakit Korsakoff itu sendiri yang kemudiannya dijadikan sebuah cerita imaginasi bersama.

    “Manakala proses penggambaran mengambil masa kira-kira 15 hari, ini tidak termasuk sesi lakon layar yang memakan masa 4 bulan lebih.

    Pihak produksi, D Alpha Legacy juga turut berkolaborasi dengan aplikasi media sosial yang popular iaitu TikTok Malaysia dalam usaha mereka menyokong karya-karya filem tempatan yang bermutu.

    Walaupun penyakit Korsakoff itu sendiri jarang didengari, namun ianya wujud di kalangan kita, dan D Alpha Legacy mahu masyarakat Malaysia fahami apakah ia secara am melalui medium yang cukup menghiburkan.

    “Naskhah ini jauh dari sempurna dan banyak kelemahan yang perlu kami perbaiki, namun kami berharap ia dapat memberikan satu ilmu baharu melalui keseronokan menonton bersama keluarga di bulan Ramadhan nanti,” akhiri Nur Aminahtul Marrdiah.

    Jangan lupa untuk saksikan sendiri filem KORSAKOFF ‘Di Pawagam Rumah Anda’ yang bakal ditayangkan bermula 14 Mac 2024 ini.

    Untuk melanggan, sila ke saluran 480 atau anda juga boleh strim di Astro Go atau On Demand dengan harga hanya RM15 (tidak termasuk cukai), dan anda boleh menontonnya selama 48 jam (2 hari) secara berulang-ulang.