Penyanyi popular Dato’ Sri Siti Nurhaliza telah merasmikan pelancaran single terbarunya yang berjudul Sejarah di restoran The Roomah, Solaris Dutamas, pada hari ini.
Lagu Sejarah membawa makna yang amat dalam dalam perjalanan seni Siti Nurhaliza, yang bakal menyambut ulang tahun ke-30 dalam industri muzik. Lagu ini adalah hasil kerjasama antara Erwin Gutawa dan anak perempuannya, Gita Gutawa, yang bertanggungjawab menulis lirik. Erwin berkongsi bahawa lagu ini dicipta khusus untuk Siti, dengan tujuan menggambarkan keindahan vokalnya dan personaliti istimewanya.
Menurut Erwin, beliau meminta Gita menulis lirik yang menceritakan mengenai seseorang yang memiliki pengalaman hidup yang kaya, dan memuatkan rasa syukur dalam setiap perkataan yang dilafazkan. Selain itu, susunan muzik lagu ini turut melibatkan Czech Symphony Orchestra, memberi sentuhan istimewa kepada lagu yang dirangka khusus untuk Siti Nurhaliza.
Sejarah adalah sebuah hadiah istimewa daripada Siti Nurhaliza kepada para peminatnya sebelum menutup tahun 2024, setelah terlibat dalam beberapa siri konsert sepanjang tahun ini. Bagi Siti, lagu ini sangat berharga kerana menandakan kerjasama semula beliau bersama Erwin Gutawa untuk mencipta sebuah lagu yang menceritakan perjalanan seni beliau.
“Saya amat berterima kasih kepada Erwin Gutawa yang telah menghasilkan lagu yang sangat menyentuh jiwa saya. Setiap lirik dan melodi lagu ini membawa saya mengimbau setiap fasa perjalanan seni saya, dan setiap kenangan itu hadir semula ketika saya menyanyikannya,” kata Siti dengan penuh perasaan.
Siti juga ingin merakamkan penghargaan kepada Aubrey Suwito yang telah membantu dalam proses rakaman vokal lagu ini yang berlangsung di Kuala Lumpur.
Single ini diterbitkan oleh SN Legacy Sdn. Bhd dan Universal Music Sdn. Bhd, dan sudah boleh didengari dan dimuat turun di platform digital sejak 14 November 2024.
Dalam acara yang sama, Siti turut mengambil peluang untuk meraikan hubungan eratnya dengan pihak media yang sentiasa memberikan sokongan padu dalam perjalanan kariernya. Siti menganggap media sebagai keluarga dan sahabat yang banyak membantu memperkenalkan beliau kepada masyarakat dan peminat di seluruh negara.
Sebagai tanda penghargaan kepada kerjasama yang telah terjalin, Siti mengadakan sesi cabutan bertuah dan memberikan cenderamata kepada semua yang hadir. Di samping itu, Universal Music turut menyerahkan plak penghargaan kepada Siti sebagai pengiktirafan atas pencapaiannya, termasuk anugerah gelaran Biduanita Negara serta pelancaran single Sejarah.