Kali terakhir penyanyi dan pelakon Hannah Delisha tampil dengan single adalah pada 2021 melalui lagu Terlalu Mudah.
Selepas tiga tahun, Hannah yang kini berusia 26 tahun kembali bergiat sebagai penyanyi di bawah label rakaman Faithful Music. Lagu Akan Tiba menjadi buah tangan pertamanya, dicipta sepenuhnya oleh Faizal Tahir, Ja’a, Romeo, dan Eugene Lai.
Hannah menjelaskan bahawa lagu Akan Tiba membawa mesej motivasi yang kuat tentang harapan dan daya tahan. Selepas mengalami keguguran baru-baru ini, Hannah menyalurkan emosinya ke dalam lirik lagu tersebut, mengajak pendengar untuk terus maju, meninggalkan kesedihan di masa lalu, dan percaya bahawa masa depan yang lebih cerah akan datang.
“Lagu Akan Tiba bukan sekadar sebuah lagu biasa, tetapi lebih daripada itu. Lagu ini menyampaikan pesan inspiratif tentang harapan dan kekuatan dalam menghadapi cabaran dengan semangat yang tinggi. Dengan ritma yang menyemarakkan semangat dan lirik yang penuh dengan nilai positif, lagu ini mampu membina keyakinan dalam diri pendengarnya.
“Melalui melodi yang bersemangat, Akan Tiba dapat merangsang perasaan positif dan menguatkan tekad untuk tidak menyerah di tengah ujian hidup. Pesan motivasi dalam lagu ini sangat relevan dengan kehidupan harian ramai orang yang mungkin sedang menghadapi masa-masa sukar.
“Mendengarkan melodi yang menggerakkan jiwa dan lirik yang membangkitkan semangat, pendengar dapat merasakan kehangatan harapan yang mampu menerangi kegelapan. Lagu ini adalah sumber inspirasi yang dapat mempertajam fokus dan membangkitkan semangat juang untuk terus maju mencapai impian,” katanya.
Hannah menambah bahawa lagu Akan Tiba juga ditujukan khas kepada peminat setianya sejak awal karier.
“Akan Tiba bukan sekadar lagu, melainkan mewakili dari semangat pantang menyerah dan keyakinan atas datangnya waktu yang lebih baik dalam hidup setiap individu.
“Diharapkan lagu terbaharu ini mampu diterima baik peminat serta membawa sentuhan yang segar dan berbeza dalam landskap muzik Malaysia,” katanya.
Elemen kreatif yang digabungkan dalam lagu Akan Tiba, pastinya membuktikan bahawa Hannah adalah seorang artis serba boleh yang mampu mencipta impak dalam industri muzik tempatan.
Lagu Akan Tiba ini bakal dilancarkan secara rasmi pada 12 Julai ini menerusi sesi siaran langsung yang bakal dikendalikan oleh Hannah di akaun TikTok miliknya bermula jam 8 malam.
Sesi siaran langsung ini dibuat selepas kali terakhirnya pada 2023 yang sebelumnya bersiaran tiga ke empat kali seminggu.
Serentak dengan itu, lagu Akan Tiba juga boleh distrim di semua platform muzik digital dan video muzik boleh ditonton di saluran YouTube Faithful Music.