Program nyanyian terkemuka yang dinanti-nantikan, Gegar Vaganza (GV) 2024, atau GV11, telah membuka tirainya dengan konsert minggu pertama yang menyaksikan 14 penyanyi hebat, terdiri daripada legenda industri muzik tempatan serta serantau. Konsert yang berlangsung dengan meriah di Auditorium MBSA, Shah Alam pada 24 November 2024, ini mengembalikan kenangan manis zaman kegemilangan penyanyi-penyanyi terkenal di Malaysia dan Indonesia.
Barisan peserta yang tampil pada minggu pertama ini terdiri daripada nama-nama besar yang sudah lama dikenali dalam industri muzik. Di kalangan peserta tempatan, terdapat Liza Aziz, Ronnie Hussein, Ning Baizura, Yazid Lovehunters dan Reshmonu yang turut mempersembahkan lagu-lagu hits mereka. Tidak ketinggalan, Fairuz Selamat dari kumpulan Q Face, Nai Dinamik, Illa Sabry, Zehra Zambri, Sheila Abdul dan Arrora Salwa turut menyertai pentas gegar tersebut.
Selain itu, program ini juga memperkenalkan legenda dari Indonesia, iaitu Inka Christie, Dyrga Dadali, dan kumpulan The Lima yang diwakili oleh Taura, Bony, serta Arif. Peserta-peserta ini membawa semula lagu-lagu popular mereka yang pernah mewarnai dunia muzik di era mereka, dengan mempersembahkannya menggunakan vokal yang memukau dan penuh emosi.
Seperti biasa, setiap persembahan peserta dinilai oleh barisan juri yang berpengalaman. Ketua juri GV11, Datuk Ramli MS, turut disertai oleh guru vokal terkenal Datuk Syafinaz Selamat, dan ikon dari Indonesia, Hetty Koes Endang, yang mengadili setiap persembahan dengan teliti. Menyemarakkan lagi suasana di pentas, pengacara popular Nabil Ahmad dan Jihan Muse kembali memikul tugas mereka sebagai pengacara utama program ini, yang sudah sinonim dengan mereka berdua.
Tema konsert minggu pertama GV11, “Kembali Menyengat“, memaparkan peserta-peserta yang tidak hanya berjaya memukau penonton dengan vokal yang mempesonakan, tetapi juga mempersembahkan semula lagu-lagu hits mereka dengan penuh penghayatan.
Pada minggu pertama, penyanyi Liza Aziz berjaya menduduki tangga pertama dengan lagu “Bermula Cerita“, yang mendapat markah tertinggi sebanyak 77.50%. Sementara itu, Dyrga Dadali dan Fairuz Selamat masing-masing menduduki tangga kedua dan ketiga dengan markah 67.50% dan 67.00%. Markah-makrah yang diperoleh oleh peserta-peserta ini turut memperlihatkan kecemerlangan mereka dalam persembahan yang telah dihidupkan semula di atas pentas Gegar Vaganza.
Walaupun tiada penyingkiran dilakukan pada minggu pertama, namun Reshmonu, Arorra Salwa, dan Illa Sabry menduduki tangga tiga terbawah dengan markah yang lebih rendah.
Berikut adalah markah penuh untuk 10 tangga teratas dalam Gegar Vaganza minggu pertama:
- Liza Aziz – 77.50%
- Dyrga Dadali – 67.50%
- Fairuz Selamat – 67.00%
- Ning Baizura – 67.00%
- Heila Abdull – 65.75%
- Zehra Zambri – 63.75%
- Yazid Lovehunters – 63.25%
- The Lima – 62.25%
- Ronnie Hussein – 61.50%
- Inka Christie – 61.00%
GV11 akan terus bersiaran secara langsung setiap Ahad pada pukul 9 malam di saluran Astro Ria (104). Program ini juga boleh ditonton secara dalam talian melalui aplikasi Astro Go, Sooka, serta platform On Demand menerusi Astro Box. Dengan barisan peserta yang hebat serta tema yang penuh nostalgia, GV11 pasti terus mencuri perhatian penonton di seluruh negara.