Author: Destina Asia

  • MERAIKAN PENCAPAIAN DAN POTENSI WANITA MALAYSIA DI PROGRAM WACANA SRIKANDI

    Program Wacana Srikandi yang bertempat di Pusat Konvensyen Shah Alam telah dirasmikan oleh YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Wanita, Keluarga, dan Masyarakat pada 5 Mac 2024. Program ini menjadi platform utama bagi wanita-wanita di Malaysia untuk bersatu, berinspirasi, dan meraikan kehebatan mereka menjelang Hari Wanita Antarabangsa tahun ini.

    Majis yang julung kalinya dianjurkan oleh SACC Convec Sdn. Bhd. (SCSB) menampilkan figa usahawan berjaya yang berkongsi rahsia kejayaan mereka melalui forum yang dihoskan oleh Fedtri Yahya dengan tajuknya ‘Wanita Inspirasi, Ikon Berkualiti’ telah memberikan inspirasi suntikan semangat kepada para tetamu yang hadir terutama dalam mengarus perdana gender.

    Antara panel yang hadir lalah Aliza Ali, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Chatime Malaysia, Aleeya Zailan, Ketua Pegawai Eksekutif Avenys Malaysia Sdn. Bhd. dan Masitah Mohd Affandy, Penerima Anugerah Pesona Wanita Inspirasi Johor.

    “Bersempena dengan Hari Wanita Antarabangsa pada tahun ini dengan tema ‘Wanita Dijulung Negara Gemilang’ yang memberikan penekanan kepada pentingnya membentuk budaya inklusif dan kesaksamaan gender di semua lapisan masyarakat, sebagai usaha untuk memartabatkan wanita di Malaysia, kami di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menggalakkan para wanita untuk sentiasa bergiat secara aktif dalam bidang ekonomi serta tenaga buruh, di mana kedua-dua ini dapat membantu dalam menjana pendapatan untuk diri sendiri, keluarga sekaligus mewujudkan peluang pekerjaan”, ujar YB Nancy ketika ucapan perasmiannya.

    Selain itu, majlis turut diceriakan dengan persembahan yang memukau daripada penyanyi tanah air laitu Anuar Zain, Syamel dan Ernie Zakri serta persembahan fesyen dengan 21 peragaan daripada House of Jedan Shah Alam dengan temanya ‘Cahaya Di Aidilfitri’.

    Program Wacana Srikandi kali ini turut memberikan penghargaan kepada 3 buah rumah kebajikan iaitu Pertubuhan Ibu Tunggal Kebangsaan Malaysia, cawangan Selangor, Yayasan Kebajikan Negara dan Majlis Kanser Nasional (MAKNA) dengan sumbangan sebanyak RM10,000 bagi setiap rumah.

    Sajian istimewa daripada cef berpengalaman di Pusat Konvensyen Shah Alam, saguhati dan hadiah kepada tetamu bertuah merupakan antara pengalaman dan kenangan manis yang dapat dibawa pulang oleh para tetamu yang hadir.

    Program Wacana Srikandi ini disokong oleh Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta ditaja oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) selaku penaja utama dan para penaja lain iaitu Menteri Besar Incorporated, Worldwide Holdings Berhad, Selgate Corporation, Datum Corp International Sdn. Bhd., Johawaki, Argania, Ferraflora, CIMB Bank. Concorde Hotel, Naturel dan House of Jedan Shah Alam dengan kerjasama Thrillerz dan MyTicket Asia.

  • Jom Iftar bersama Restoran Rasa Rosz yang menjadi pilihan pada bulan Ramadan ini

    Restoran Rasa Rosz bakal menjadi pilihan seleksi berbuka puasa bersama ahli keluarga tercinta pada bulan ramadan yang bertempat di Aeon Wangsa Maju. Restoran ini membawakan hidangan istimewa yang sedap dan menyelerakan serta lokasi yang santai, tempat letak kereta yang mudah dan murah serta lengkap dengan tempat solat memberikan kemudahan kepada para pelanggan.

    Jangan risau atau pening kerana Restoran Rasa Rosz, yang terletak di Lot G-05-06, AEON Big, Wangsa Maju juga turut menyediakan juadah berbuka puasa menerusi set promosi Jom Iftar bersama Rasa Rosz dengan harga yang amat berpatutan.

    Restoran yang terletak di dalam AEON Big ini menawarkan suasana yang bersih, sejuk dan dingin ketika berbuka puasa. Ditambah pula dengan keadaan cuaca yang panas sekarang ini sudah pasti Restoran Rasa Rosz adalah pilihan tepat untuk berbuka puasa sambil menjamu selera dan bersantai bersama keluarga tercinta.

    Pemilik Restoran Rasa Rosz, Datuk Sri Rozita Ramelan berkata, sempena kedatangan bulan yang mulia ini, Restoran Rasa Rosz juga turut menyediakan tiga jenis set hidangan berbuka puasa.

    “Sempena jom iftar bersama Rasa Rosz ini kami turut menyediakan beberapa set hidangan yang boleh dipilih pelanggan mengikut cita rasa mereka. Hidangan kami mengandungi set hidangan utama, kuih-muih, pencuci mulut, kurma dan minuman. Diskaun sebanyak 5% akan diberikan kepada tempahan awal sebelum 10 Mac ini.

    “Set jom iftar yang kami sajikan ialah Set A berharga RM38.00 untuk 1 pax. Hidangan ini didatangkan bersama nasi putih dengan acar jelatah, keropok sayur, sambal belacan dan pilihan Masak Lemak Cili Padi Ayam atau Asam Pedas Ayam. Pembuka selera pula, cucur udang dan tauhu bergedil ayam akan dihidangkan bersama kuih-muih, pencuci mulut dan pilihan minuman air kathira, air jagung dan air keladi.

    “Set B pula berharga RM55.00 untuk 1 pax. Hidangan berupa nasi putih dengan acar jelatah, keropok sayur, sambal belacan bersama pilihan lauk Crispy Buttermilk Chicken, Ayam Percik Rasa Rosz atau Udang Harimau Masak Lemak Nenas. Cucur udang dan tauhu bergedil ayam akan dihidangkan bersama kuih-muih, pencuci mulut dan pilihan minuman air kathira, air jagung dan air keladi.

    “Set C yang berharga RM78.00 pula sesuai untuk dinikmati 2 orang. Set ini berupa nasi putih dengan acar jelatah, keropok sayur, sambal belacan bersama pilihan satu lauk Crispy Buttermilk Chicken, Gulai Kawah Tulang, Ayam Percik Rasa Rosz atau Asam Pedas Tulang. Cucur udang dan tauhu bergedil ayam akan dihidangkan bersama kuih muih, pencuci mulut dan salah satu pilihan minuman iaitu air kathira, air jagung dan air keladi.”

    Jadi jangan lepaskan peluang untuk menikmati hidangan set promosi Jom Iftar bersama Rasa Rosz yang bakal dinikmati pada harga yang berpatutan. Jangan lepaskan peluang menikmati diskaun 5% yang ditawarkan pada mereka yang menempah sebelum 10 Mac ini.

    Restoran Rasa Rosz menghidangkan sajian lebih 40 jenis menu masakan tradisional dan fusion yang patut dicuba berupa Soto Ayam Terapung, Lontong Goreng, Cucur Udang, Pasta Asam Pedas Fettucini, Nasi Goreng Belacan Daging Tenderloin, Nasi Goreng Tomyam Ketam, Nasi Ayam Garing, Ayam Masak Lemak Cili Padi, Asam Pedas Tulang, Fried Bao Bao dan banyak lagi.

    Restoran Rasa Rosz dibawah naungan Syarikat Rasa Rosz Sdn. Bhd. ditubuhkan sejak tahun 2018. Bermula dengan pengeluaran produk Ratu Tumis dan kerjasama dengan kedutaan Thailand bagi membawa masuk produk Thailand yang halal.

    Mereka yang ingin mencuba dan merasai keenakan makanan yang disediakan oleh Restoran Rasa Rosz, bolehlah membuat tempahan meja dengan menghubungi talian 013-8082772 (call/whatsapp).

  • Mohd Khairuddin Othman Telah Dilantik Sebagai KP J-KOM Menggantikan Agus

    Mohd Khairuddin Othman Telah Dilantik Sebagai KP J-KOM Menggantikan Agus

    Mohd Khairuddin Othman, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras dan bekas EXco Selangor, dilantik sebagai Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Masyarakat (J-Kom).

    Perkara itu diumumkan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa dalam hantaran poster ucapan tahniah di Facebooknya.

    “Semoga J-Kom akan terus memperkukuh komuniti Madani yang berbudaya ilmu, berkemahiran digital dan berjiwa patriotik,” katanya

    Baru-baru ini, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil memaklumkan calon bagi jawatan itu sudah dimuktamad dan akan diumumkan selepas selesai dokumentasi.

    Jawatan Ketua Pengarah J-Kom dikosongkan selepas peletakan jawatan peyandangnya, Dr. Mohammad Agus sejak November tahun lalu yang terpalit dengan dakwaan rakaman perbualan tidak bermoral dengan seorang pegawai J-KOM.

    Agus kini berdepan siasatan berkait dakwaan melakukan gangguan seksual terhadap kakitangan J-Kom, Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani.

    Siasatan dibuat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul dan Seksyen 377D akta sama atas kesalahan melanggar kesopanan.

  • “MASIHKAH ADA RASA ITU?” PENUTUP PENANTIAN EMPAT TAHUN MISHA OMAR.

    Sebagai seorang penyanyi yang mengutamakan kejujuran dan kecemerlangan dalam mencipta karya, Misha Omar sangat berhati-hati serta teliti dalam memilih lagu untuk memastikan hasil karyanya diterima oleh ramai, dan mampu kekal relevan dan berdaya tahan sepanjang masa.

    Lantaran itu, penyanyi kelahiran Kelantan berusia 42 tahun tersebut tidak pernah sesekali mengeluh, meskipun terpaksa menanti lama kerana percaya, penantian panjangnya itu bukan sesuatu yang sia-sia.

    Hampir empat tahun tanpa single terbaru selepas kemunculan Tanpa Rela pada Ogos 2020, kelahiran Masihkah Ada Rasa Itu? merungkai segala keresahan dan persoalan peminat yang sentiasa mendambakan buah tangan terbaru daripadanya.

    Bakal diperdengarkan kepada umum di semua platform muzik bermula 1 Mac 2024, Masihkah Ada Rasa Itu? menyaksikan Misha kembali bekerjasama dengan komposer Sharon Paul yang pernah mencetus fenomena menerusi Sampai Bila, enam tahun lalu.

    “Kesempurnaan sesebuah komposisi tidak semata-mata bergantung kepada kekuatan melodi dan lirik, malah penghayatan penyanyi turut memainkan peranan penting untuk membawa lagu tersebut terus ke depan.

    “Sebagai penyanyi yang sudah lama berada dalam industri, peminat sedia maklum akan kekuatan dan kekurangan saya. Justeru, saya mencari sebuah karya yang dapat membantu dan pada masa sama, menyerlahkan lagi kekuatan serta kematangan saya.

    “Sepanjang empat tahun itu, saya berusaha mencari di samping mengkaji keberagaman lagu pop yang dihasilkan penyanyi lain untuk disesuaikan selera peminat masa kini. Bertitik tolak dari situ terlahirnya Masihkah Ada Rasa Itu?,” katanya.

    Sinonim dengan karya balada, Misha bersama Sharon dibantu Datuk Syafinaz Selamat sebagai pengarah vokal berusaha menyuntik sedikit nuansa baharu dalam gaya penyampaiannya tanpa sesekali membelakangkan identiti yang sudah sebati dengan dirinya.

    Misha menyifatkan Masihkah Ada Rasa Itu? yang liriknya ditulis oleh Que Afiq dan ia juga merupakan hasil kolaborasi bersama dua syarikat rakaman yang amat gah di Malaysia, Sony Music Entertainment Malaysia dan Alternate Records Sdn Bhd menjadikan karya itu lebih ringan dari sudut penceritaannya berbanding karya terdahulu seperti Bunga-Bunga Cinta, Pulangkan dan Sampai Bila.

    Namun, akui Misha, Masihkah Ada Rasa Itu? tetap menuntut penghayatan emosi tersendiri, sekali gus memberinya cabaran baharu kerana perlu bijak mengimbangi permainan rasa ketika menyampaikan lagu tersebut.

    “Misha Omar dikenali ramai sebagai penyanyi balada yang sarat emosi. Tetapi, Masihkah Ada Rasa Itu? pula menuntut saya menjadi sebaliknya apabila memerlukan saya untuk mengakali emosi tatkala menyampaikan lagu itu supaya tidak terlalu larut dalam perasaan.

    “Lagu ini membawa pendengar terkenang perkara yang sudah berlalu, namun masih belum dilepaskan sepenuhnya. Saya bersyukur dengan bantuan Syafinaz, tuntutan lagu itu dapat saya sampaikan dengan baik,” katanya.

    Akur ramai pasti mengharapkan kolaborasi terbarunya bersama Sharon itu mengulangi pencapaian cemerlang yang dilakar Sampai Bila, Misha bagaimanapun enggan dirinya dibebani harapan besar itu.

    “Saya bukan seorang yang cerewet, malah tidak pernah sesekali memberi tekanan kepada Sharon untuk menghadirkan magis dalam ciptaannya. Saya realistik, malah sentiasa percaya, kejayaan sesebuah karya turut berkait rapat dengan rezeki.

    “Apa yang dapat saya katakan, sentuhan Sharon mempunyai satu sisi yang dapat menyentuh hati sesiapa yang mendengar lagu ciptaannya. Sebagai komposer, Sharon sangat istimewa kerana mempunyai kelebihan itu,” katanya.

    Berterima kasih kepada Sharon yang banyak memberinya dan Syafinaz kebebasan dalam mewarnakan cara penyampaian Masihkah Ada Rasa Itu?, Misha mengakui, berdepan debaran yang sukar diungkapkan ketika melangkah ke studio rakaman.

    Dia sentiasa berasakan dirinya seperti kali pertama memasuki studio rakaman, meskipun sudah terbiasa dengan suasana ketika proses rakaman berlangsung.

    “Saya seperti berada dalam dewan peperiksaan penting kerana proses merakamkan lagu baharu membentangkan pengalaman dan perjalanan berbeza untuk setiap penyanyi.

    “Sharon dan Syafinaz banyak membantu mententeramkan perasaan saya sepanjang proses rakaman berlangsung. Sebagai komposer, Sharon begitu memahami dan sentiasa memberikan kata-kata semangat.

    “Situasi itu mengingatkan saya supaya sentiasa berpijak di bumi nyata. Saya tidak pernah anggap diri sebagai yang terbaik. Malah, kekurangan yang ada mendesak saya supaya sentiasa memburu dan menggali ilmu untuk terus memperbaiki diri,” katanya.

    Masihkah Ada Rasa Itu? bakal menjadi lagu tema drama bersiri, Wanita Syurga lakonan Redza Rosli, Siti Khadijah Halim, Riena Diana dan Nazim Othman yang akan menghiasi slot Akasia di TV3 atau saluran 103 jam 7 malam dan platform penstriman, iQIYI jam 8 malam, satu jam selepas siaran TV3 sepanjang Ramadan nanti.

    ‘Masihkah Ada Rasa Itu?boleh dimuat turun di iTunes dan dinikmati melalui semua platform muzik seperti Apple Music, Deezer, KKBox, Spotify, YouTube, dan YouTube Music.

  • Persembahan Hebat 3 Band Indie Dalam Showcase UND3RGROUND Bagi Meraikan Ulang Tahun Ke-15 Hitman Group

    Showcase ‘UND3RGROUND’ mengumpulkan tiga kumpulan rock indie yang ikonik – Butterfingers, Hujan, dan Bunkface untuk meraikan ulang tahun ke-15 Hitman Group dengan kehadiran penonton seramai 6,000 orang di Surf Beach, Sunway Lagoon.

    Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) & Pengasas Hitman Solutions, En. Rohit Rampal, “Kami memilih showcase UND3RGROUND bagi meraikan tahun ke-15 penubuhan Hitman Group sebagai penghargaan kepada perjalanan perniagaan yang kami terajui dengan kerja keras yang telah diusahakan selama beberapa dekad ini yang selari dengan pengalaman band-band yang terlibat dalam showcase ini.

    “Ia adalah kombinasi yang bersesuaian dengan kejayaan yang telah diraih oleh pengkarya indie negara, bermula dari bawah sehingga dikenali dan disegani, disamping menyediakan platform untuk pengusaha bebas.

    Showcase yang bermula pada jam 8:00 malam dan berlangsung sekitar 3 jam menyaksikan persembahan hebat dari ketiga-tiga band indie yang beraksi bersama-sama di atas satu pentas semasa pembukaan Showcase UND3RGROUND. Showcase kemudiannya dihiburkan dengan persembahan selama 45 minit dari setiap band.

    Butterfingers yang dianggotai Loque, Emmett, Loko dan Kadax telah mempersembahkan karya-karya nostalgia mereka seperti Taman Tasik Perdana, Tentang Tentang, Garden City Of Lights dan lain-lainnya yang nyata mengimbau kenangan masa lalu.

    Seterusnya, kumpulan Hujan pula yang terdiri daripada Noh Salleh, AG Coco, Azham dan Izzat mengubati rindu peminat mereka dengan lagu-lagu yang pernah mengangkat nama band tersebut seperti Lonely Soldier Boy, Kotak Hati dan Mencari Konklusi.

    Manakala band Bunkface yang muncul sekitar tahun 2005 menggamatkan keadaan dengan nukilan hits mereka seperti Darah Muda, Ekstravaganza, Revolusi dan juga beberapa lagu baharu.

    Tambah En. Rohit, “ Kami menggabungkan showcase UND3RGROUND dengan sambutan ulang tahun ke-15 ini yang merangkumi segala aspek perkhidmatan yang kami sediakan, dari pengurusan acara, penerbitan acara, sehingga rangka promosi showcase, kepada pakar teknikal AV (audiovisual), pemasaran dan juga reka bentuk, bagi memberikan yang terbaik.

    Permulaan sejak 15 tahun lalu banyak memberikan pengalaman yang berharga buat En. Rohit sendiri, katanya, “Saya amat bersyukur dan berbangga dengan semua yang terlibat dalam perjalanan ini, keluarga, rakan-rakan dan dedikasi dari pasukan yang sentiasa memberikan yang terbaik dalam semua hal.

    “Semuanya bermula ketika saya masih lagi remaja dengan menceburi acara kecil-kecilan sehingga berkembang menjadi syarikat pengurusan acara yang menyediakan bukan sahaja perkhidmatan penerbitan acara serta melabur dalam peralatan showcase, dan kini, kami menawarkan perkhidmatan 360 darjah untuk pakej lengkap. Saya terharu melihat tahap yang telah kami kecapi, dengan sikap yang positif dan pasukan yang betul, semuanya bakal menjadi.

    Tahun 2024 menjadi permulaan baharu buat Hitman Group yang semakin menerajui industri pengurusan acara di negara ini dan apabila ditanya apakah perancangan seterusnya buat penggemar muzik, kata En. Rohit, “Jikalau saya diajukan soalan ini 15 tahun lalu, tidak saya jangka pengalaman yang kami tempuhi sekarang ini. Tetapi hakikatnya kami di sini, dan apa yang direncanakan seterusnya? Pastinya lebih besar, lebih hebat dengan industri yang pelbagai dan berskala besar.

    “Matlamat kami adalah memberikan pengalaman menakjubkan yang berterusan buat rakyat Malaysia, samada pengalaman showcase, berkongsi momen dengan yang tersayang atau sentuhan istimewa pada acara korporat, kami hanya mahu membina memori yang berpanjangan.