Album Terbaru Hafiz Hamidun, ‘Haramain’: Menghidupkan Kerinduan terhadap Mekah dan Madinah

Penyanyi dan komposer nasyid terkenal, Hafiz Hamidun, kembali dengan album studio terbaharunya yang berjudul Haramain. Album ini diilhamkan oleh pengalaman spiritualnya di dua kota suci umat Islam, Mekah dan Madinah, yang merupakan destinasi utama dalam ibadah Haji dan Umrah. Album ini merupakan hasil kerjasama dengan penulis lirik berpengalaman seperti ITO Lara, Fedtri Yahya, dan Hafiz sendiri, serta diterbitkan oleh Sony Music Malaysia.

Hafiz berkongsi bahawa kunjungannya ke Tanah Suci memberi kesan yang mendalam dalam penghasilan album ini. “Pengalaman saya berada di Mekah dan Madinah benar-benar memberi inspirasi untuk menghasilkan lagu-lagu yang sesuai dengan tema kerinduan dan keinginan untuk menunaikan ibadah Haji dan Umrah,” kata Hafiz. Beliau juga kini aktif sebagai Presiden dan Pengasas Haje Care, sebuah NGO yang bergerak dalam aktiviti amal.

Album Haramain menandakan kemunculan semula Hafiz selepas album Zikir Terapi (Acapella) pada tahun 2021, yang merupakan kesinambungan dari album popularnya Zikir Terapi Diri yang dikeluarkan pada 2011. “Selepas album terakhir, saya berada di persimpangan antara meneruskan album studio atau hanya fokus kepada single. Namun, setelah melalui pelbagai cabaran semasa PKP, saya memilih untuk fokus pada single. Tetapi pada penghujung 2023, saya mula berazam untuk menghasilkan album konsep,” jelas Hafiz.

Sebagai seorang penggiat seni, Hafiz mengakui bahawa kepuasan sejati dalam berkarya datang melalui penghasilan album penuh. “Album Haramain adalah hasil daripada hasrat saya untuk menghasilkan karya yang lebih bermakna. Lagu Zamzam (trek kedua), yang turut menampilkan kumpulan vokal Ruffedge, menjadi titik tolak bagi album ini,” kata Hafiz. Album ini mengandungi sepuluh lagu, antaranya adalah “Batu Hitam”, “Zamzam”, “Raudah”, “Kota Cinta”, “Jabal Qubais”, “Arafah”, “Baqi'”, “Raudah (Slow Version)”, “Srikandi Solehah”, dan “Kiswah”.

Menurut Hafiz, setiap lagu dalam album ini bukan sahaja menceritakan pengalaman ibadah Haji dan Umrah, tetapi juga merakamkan keindahan sejarah dan warisan Islam di Mekah dan Madinah. “Album ini lebih daripada sekadar muzik; ia adalah perjalanan hati yang mendalam, membawa pendengar untuk lebih dekat dengan Allah SWT,” katanya.

Hafiz turut mengungkapkan rasa syukur kepada Sony Music Malaysia yang menyokong penghasilan album ini. “Setelah beberapa siri perbincangan, kami memulakan proses rakaman album ini pada bulan Jun 2024, dan ia mengambil masa kira-kira enam bulan untuk disiapkan,” jelas Hafiz.

Proses rakaman album ini tidak hanya berlangsung di Malaysia, tetapi juga di luar negara, terutamanya di Turki. “Setiap kali saya berada di Istanbul, saya merakamkan elemen muzik asli Timur Tengah, termasuk instrumen seperti ‘strings’, klarinet, Baglama (gambus Turki), dan perkusi untuk memberi sentuhan unik kepada album ini,” kata Hafiz.

Album Haramain menggabungkan elemen pop nasyid dengan muzik Timur Tengah dari Turki, Arab Saudi, dan Mesir, serta melodi akustik moden yang dirancang untuk menonjolkan keindahan dan kedalaman lirik. Di samping itu, video muzik (MV) untuk lagu-lagu dalam album ini turut memaparkan pemandangan indah Mekah dan Madinah, dengan elemen spiritual yang dihidupkan secara visual, memberikan pengalaman yang mendalam kepada penonton.

Hafiz berharap album Haramain dapat menjadi teman spiritual yang membawa manfaat kepada pendengar. “Saya berharap lagu-lagu dalam album ini dapat mendekatkan kita kepada Allah SWT dan menumbuhkan rasa syukur atas nikmat iman. Insya-Allah, saya juga berhasrat untuk menghasilkan album susulan yang akan dipasarkan di peringkat antarabangsa,” katanya. Hafiz kini dalam proses menyiapkan terjemahan lagu-lagu album Haramain ke dalam Bahasa Inggeris, Arab, Urdu, dan mungkin Mandarin sebagai sebahagian daripada usaha dakwah melalui muzik. “Doakan semoga usaha ini berjaya dan berkembang,” ujarnya.

Leave a Comment