Lagu ciptaan komposer terkenal Iqie Hugh dan Firdaus Rahmat, iaitu “PENTAS,” single pertama Bil Musa iaitu penyanyi serta penggubah lagu yang berbakat besar ini seringkali menjadi bualan dan tumpuan para penggemar muzik indie tempatan, diterbitkan oleh Armani Entertainment Group (AEG).
“Sebagai insan kreatif, saya perlu mengambil masa untuk menghasilkan sesebuah karya seni, sejurus lagu Pantang dilancarkan, sebuah kolaborasi bersama Noki, ramai yang agak ‘terperanjat’ dengan arah tuju muzik saya, rata-rata mengatakan lagu tersebut ‘catchy’ dan sedikit lari dari genre saya. “
“Sudah tentu, peminat lebih mengharapkan saya kembali kepada stail yang terdahulu dengan komposisi lagu-lagu ‘healing’ yang lebih sinonim dengan saya sebagai seorang pengkarya muzik,” jelas Bil, atau nama sebenarnya Nabilah Musa, 30.
Lagu PENTAS yang berunsurkan kerohanian merupakan idea Iqie Hugh dan Firdaus Rahmat, kata Bil, “Idea asal lagu ini datang dari komposernya sendiri yang mahukan sebuah karya tentang hubungan manusia dengan Sang Pencipta dalam perjalanan hidupnya.
“Kali pertama mendengar demo lagu PENTAS, hati terus terpaut padanya, rasa sebak pun ada juga. Bagi mereka yang sudah lama mengikut perjalanan seni saya faham bahawa laluan saya bukanlah ‘linear’ kerana walaupun mempunyai peminat tegar, muzik saya seakan tidak ‘sampai’ di Malaysia. Agak susah bagi penyanyi indie seperti saya untuk menyentuh jiwa pendengar secara umumnya.
“PENTAS bagi saya sangat ‘relatable’ kerana ia menceritakan tentang perjalanan hidup seseorang yang ‘lost’ atau kehilangan arah dan terpaksa menghadapi cabaran, namun dengan kuasa iman, beserta sifat tidak mudah menyerah kalah, dan kepercayaan yang masanya akan tiba suatu hari nanti.
Lagu bernuansa balada pop ini dinyanyikan Bil dengan stail ‘signature’ yang tersendiri dan kedengaran nyaman walaupun padat dengan maksud yang mendalam mengambil masa selama tiga hari untuk dirakamkan kerana memerlukan konsentrasi serta penghayatan yang tinggi, kata Bil lagi, “Saya mempunyai lingkungan vokal yang tidak terlalu besar, jadi kadangkala susah untuk mencipta kepelbagaian, kini saya mula konsisten dalam mengambil kelas vokal untuk memperbaiki diri. Tambahan lagi, untuk menjadi seorang artis yang dikenali di Malaysia, kita perlu mendedahkan banyak aspek dari kehidupan peribadi supaya bisa mendapatkan cerita ‘insani’, akan tetapi saya seorang yang ‘private’, jadi inilah cabaran saya.
Selain single, lirik video juga turut dilancarkan pada tarikh yang sama dengan konsep ‘breaking-fee’ yang penuh simbolik, dengan maksud abstrak yang mempunyai estetika tersendiri.
Ulas Dato’ KK Chua, Ketua Pegawai Eksekutif AEG, “Bil Musa adalah penyanyi masa kini yang berbakat bukan sahaja dalam bidang nyanyian bahkan dalam bidang penciptaan lagu juga kerana minatnya yang mendalam terhadap muzik, semoga lagu PENTAS dapat memberi lebih ‘exposure’ buat dirinya agar terus dikenali dan disukai ramai.
Bil yang sedang dalam proses merakamkan sebuah EP, bakal dilancarkan pada tahun depan berkata, “Saya berharap pendengar dapat menerima PENTAS kerana dalam lagu ini saya dedahkan semuanya, segala kelemahan dan kekurangan yang ada pada diri, semoga peminat dapat menghargainya dan cuba hayati bait-bait lirik yang saya sampaikan.
Lagu PENTAS boleh dimuat turun di iTunes Store dan dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengar dan nikmati pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian utama seperti Apple Music, Spotify, YouTube Music, KKBox dan Deezer.
Manakala lirik video ini pula boleh ditonton secara eksklusif di YouTube Armani Entertainment.