AEON Co. (M) BHD. atau AEON merayakan ulang tahunnya yang ke-40 dengan penuh semangat dengan melancarkan program ‘Senyum Tour’ di AEON Alpha Angle, Wangsa Maju hari ini. Program ini menawarkan diskaun menarik, promosi istimewa, dan pelbagai aktiviti menarik untuk para pelanggan sepanjang tahun. Ini pasti akan menjadi pengalaman yang menyeronokkan bagi semua pelanggan yang mengunjungi AEON Alpha Angle.
Sejak penubuhannya empat dekad yang lalu, AEON telah merevolusikan landskap runcit di Malaysia melalui kepelbagaian produknya dan pengalaman membeli-belah yang mengujakan. Bermula dari 1985, AEON telah berkembang secara signifikan, bermula daripada operasi sederhana dengan 300 pekerja kepada organisasi dinamik yang kini mempunyai lebih daripada 10,000 orang pekerja. Pada Februari 2024, pasaran modal AEON melepasi RM1.5 bilion, mengesahkan kedudukannya sebagai pilihan utama dalam landskap runcit Malaysia.
Menurut Datuk Iskandar Sarudin, Pengerusi AEON CO. (M) BHD., “Sambutan ulang tahun ke-40 memberi makna yang sangat besar bagi AEON kerana ia mencerminkan komitmen berterusan kami terhadap inovasi, kecemerlangan dan keutamaan terhadap pelanggan. Kami sangat teruja untuk meraikan kejayaan ini dengan kerjasama 400 rakan kongsi perniagaan kami yang telah memainkan peranan penting dalam membentuk kejayaan AEON sepanjang empat dekad yang lalu. Kami komited untuk mengekalkan standard kualiti dan perkhidmatan tertinggi bagi memastikan AEON terus menjadi destinasi pilihan untuk pelanggan di seluruh Malaysia.”
Datuk Iskandar Sarudin, yang juga Presiden Yayasan AEON Malaysia berkata, “Sebagai sebahagian daripada komitmen teguh AEON terhadap tanggungjawab sosial korporat dan memberi bantuan kepada masyarakat, Yayasan AEON Malaysia telah membuat sumbangan kepada empat organisasi terpilih, berjumlah RM20,000 setiap satu.”
Keiji Ono, Pengarah Urusan AEON CO. (M) BHD. menambah, “AEON diberi peluang untuk memulakan operasinya 40 tahun lalu oleh Kerajaan Malaysia. Bagi pihak AEON, saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan, Rakan Niaga dan Pelanggan kami atas sokongan dan naungan berterusan mereka sepanjang 40 tahun yang lalu. Perjalanan kami tidak akan tercapai tanpa kepercayaan dan keyakinan mereka yang tidak berbelah bahagi terhadap jenama kami.”
Acara pelancaran tersebut menyaksikan beberapa siri aktiviti menarik yang menghimpunkan komuniti Wangsa Maju, termasuk sesi Zumba, Jelajah Go Green Agroz – ‘indoor vertical farming’ di AEON Alpha Angle dan aktiviti ‘balloon drop’ yang menawarkan hadiah utama dua tiket ke Universal Studios Beijing.
Jelajah Senyum Tour dijadualkan bermula pada 27 April di AEON Mall Bukit Tinggi serta menjanjikan pengalaman yang tidak dapat dilupakan untuk pelanggan dari semua peringkat umur. Pelanggan boleh menikmati tawaran istimewa semasa Senyum Tour di pusat beli-belah AEON termasuklah barangan istimewa, diskaun 40% untuk item terpilih, 40 item super deal, tawaran harga tetap (flat price) RM40, promosi beli 4 percuma 1, 400 hadiah percuma dan Happy Hour setiap 4 jam.
Untuk maklumat lanjut mengenai sambutan ulang tahun ke-40 AEON dan jelajah ‘Senyum Tour’, sila layari https://aeonretail.com.my/40thanniversary/ atau ikuti kami di media sosial.