Ucapan takziah diucapkan oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia kepada semua keluarga mangsa nahas pesawat jenis Beechcraft 390 (Premier 1) yang terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina, Shah Alam.
Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan@toqqi berkata kejadian malang itu amat mengejutkan seluruh Malaysia dan pihaknya mendoakan semoga kesemua ahli keluarga dan sahabat mangsa tabah menghadapi dugaan ini.
Nadzim dalam satu kenyataan berkata sudah tiba masanya semua pekerja dalan sektor gig ekonomi seperti penghantar makanan diwajibkan mencarum dengan program Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
“Dalam kita bersedih dengan kejadian yang menimpa saudara Islam kita, saya bersimpati dan sedih mengenang nasib keluarga mereka yang ditinggalkan,” katanya.
Walaupun semua pemandu dan penunggang e-hailing sebelum ini diwajibkan mencarum dengan SKSPS, pihaknya dimaklumkan mangsa yang terlibat di dalam kejadian semalam tidak mencarum.
“Semua pihak harus lebih proaktif dalam memastikan semua rakyat Malaysia yang bekerja di dalam sektor apa sekalipun mencarum dengan Perkeso untuk perlindungan mereka,” katanya.
Nadzim berkata pihaknya mahu Perkeso lebih tegas dengan majikan atau penyedia perkhidmatan sektor ekonomi gig atau lejang untuk memastikan semua pekerja mereka sentiasa dilindungi.
“Jika mereka hanya pekerja separuh masa, pastikan sedikit wang hasil pendapatan dicarumkan walaupun RM2 bagi memastikan nasib mereka terbela jika berlaku apa-apa musibah,” katanya.
Khamis lalu, penghantar makanan dalam talian, Foodpanda Allahyarham Muhamad Hafiz Muhamad Salleh terkorban dalam nahas pesawat ringan di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina, Shah Alam, Selangor.
Seorang lagi mangsa, pemandu e-hailing Sharipuddin Shaari turut terkorban dalam tragedi sama.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan sepuluh mangsa maut termasuk dua daripadanya membabitkan orang awam yang secara kebetulan melalui lokasi nahas berkenaan dalam kejadian pada pukul 2.40 petang Khamis.
Selain Muhamad Hafiz, nahas pesawat jenis Beechcraft 390 (Premier 1) itu turut mengorbankan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelangai, Datuk Seri Johari Harun.
Pesawat jenis jet peribadi yang dikendalikan oleh Jetvalet Sdn Bhd itu dilaporkan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi pada jam 2.08 petang.
Ia kemudiannya, mendapat kebenaran untuk mendarat Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, di Subang namun terhempas tiga minit sebelum mendarat.
Sebarang pertanyaan, hubungi Hotline Unit Media PPIM di talian +60136116666 (Adi).