Blog

  • Produk Baru VIT’S Ramen Asam Laksa Ibu Sumbang kepada Tabung Persatuan Karyawan

    Produk Baru VIT’S Ramen Asam Laksa Ibu Sumbang kepada Tabung Persatuan Karyawan

    Persatuan Karyawan Malaysia telah menganjurkan majlis makan malam amal bagi mengumpul dana untuk tabung mereka. Majlis ini bertujuan untuk membantu ahli persatuan yang mengalami kesulitan, termasuk golongan belakang tabir dan individu yang terlibat dalam pelbagai aktiviti seni di Malaysia.

    Dato’ Freddie Fernandez, presiden persatuan, dengan gembira mengumumkan bahawa lebih dari RM 100,000.00 telah berjaya dikutip melalui jualan meja, yang akan memberi manfaat kepada lebih dari 100 ahli persatuan.

    Sebagai tanda sokongan kepada komuniti seni, VIT’S, sebuah jenama mee segera Malaysia yang telah wujud sejak tahun 1975, telah menyumbangkan dana sebanyak RM 50,000.00 kepada Persatuan Karyawan. “VIT’S ingin bersama-sama membentuk komuniti yang menghargai sumbangan seni dan memberi peluang kepada mereka untuk terus berkarya,” kata En YT Lai, Pengarah Eksekutif VIT’S.

    Selain sumbangan kewangan, VIT’S juga bekerjasama dengan penyanyi legenda Datuk Khadijah Ibrahim untuk menghasilkan produk baru – Ramen Asam Laksa Ibu. Setiap pembelian produk ini akan menyumbangkan RM 1.00 kepada Persatuan Karyawan, dengan harapan dapat membantu ahli persatuan yang memerlukan bantuan.

    Produk Ramen Asam Laksa Ibu dilancarkan dalam sebuah konsert amal yang turut dihadiri oleh Yang di-Pertua Melaka, Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam, Pengarah Eksekutif VIT’S, Encik YT Lai, dan Yang Berbahagia Datuk Khadijah Ibrahim. Semua ini adalah langkah positif dalam memberi sokongan kepada komuniti seni tempatan yang berjasa.

    Konsert yang bermula pada jam 8 malam tersebut telah menyatukan penyanyi-penyanyi legenda seperti Datuk Khadijah Ibrahim, Datuk Awie, Dato’ Ramli Sarip, Rahimah Rahim, dan ramai lagi dalam satu acara gemilang. Lebih dari seribu penonton, terdiri daripada penderma, turut bersama-sama berhibur sambil memeriahkan konsert ini.

    VIT’S juga menghidangkan menu “Ramen Asam Laksa Ibu” di mana pengunjung boleh merasai sendiri produk tersebut. Produk keluaran terbaru ini boleh didapati melalui aplikasi TikTok Shop vits_official.

    Maklumat lanjut sila lawati laman sesawang www.vitsnoodles.com.

  • Penyanyi Berbakat Singapura Rico Setiabudi Tampil Dengan “Wow! Barang Baik”

    Penyanyi Berbakat Singapura Rico Setiabudi Tampil Dengan “Wow! Barang Baik”

    Penyanyi dan penulis lagu berbakat asal Singapura, Rico Setiabudi, bersiap untuk memukau telinga para pendengar dengan single terbarunya, “Wow! Barang Baik”. Lagu ini merupakan karya ketiga yang dikeluarkan oleh Rico Setiabudi di bawah bendera syarikat rakaman terkemuka, Luncai Emas.

    “Wow! Barang Baik” bukan sekadar lagu biasa; ia merupakan sebuah kisah yang menghidangkan cerita tentang pencarian cinta sejati. Dalam liriknya, Rico mengajak pendengar untuk merenung tentang kebenaran bahwa cinta sejati tidak selalu dapat ditemukan melalui penglihatan semata. Sebaliknya, ia menggambarkan betapa pentingnya untuk melihat dengan mata hati yang tulus untuk menemukan cinta yang hakiki. Walaupun cinta itu begitu jelas, namun sayangnya, kebanyakan manusia tidak mampu melihatnya.

    Tidak hanya menyampaikan pesan, lagu ini juga berfungsi sebagai panduan praktis bagi pendengar untuk memahami bagaimana mencapai cinta sejati. Dengan irama yang santai dan lirik yang tepat dan mudah dicerna, “Wow! Barang Baik” diharapkan dapat memberikan semangat dan keceriaan kepada pendengar, serta meninggalkan kesan positif yang mendalam. Untuk lagu ini, Rico Setiabudi bekerjasama dengan rakan-rakan seperjuangan beliau, Rayhul Firdaus sebagai penulis lirik dan penggubah bersama, dan Rifaah Ridzwanulhakim sebagai produser, dan Rici Bell sebagai pereka grafik. Mereka adalah teman seiringan yang telah menemani Rico sepanjang perjalanan seninya dari awal hingga kini.

    “Wow! Barang Baik” dijadualkan untuk dirilis pada tarikh 1 Mei 2024, dan diharapkan akan menjadi angin segar bagi industri muzik dengan pesan yang dibawanya. Jangan lewatkan kesempatan untuk merasakan aura positif dari karya terbaru Rico Setiabudi yang menakjubkan ini.

  • DOLLA Umumkan Konsert Re-Birth The Experience Ogos ini

    DOLLA Umumkan Konsert Re-Birth The Experience Ogos ini

    Meskipun dilahirkan semasa dunia menghadapi puncak wabak Covid-19, kumpulan wanita Malaysia, DOLLA, telah menunjukkan kemampuan mereka untuk bertahan. Dalam beberapa tahun sahaja, kumpulan yang asalnya terdiri daripada empat ahli ini telah mencipta impak yang besar dalam industri muzik. DOLLA bukan sahaja dikenali di Malaysia, tetapi juga mendapat pengiktirafan di pelbagai negara berkat muzik unik mereka dan gerak tari yang bertenaga.

    Walaupun baru sahaja mengumumkan pengunduran salah seorang ahli, Syasya, kumpulan ini terus maju dengan sokongan padu daripada peminat setia mereka, iDollas, serta label muzik Universal Music Malaysia. Dengan semangat dan cita-cita yang tidak pernah padam, DOLLA kini bersedia untuk melakar kejayaan seterusnya dengan mengumumkan konsert terbaru yang dihasilkan oleh Hitman Solutions.

    “Kami di Universal Music Malaysia sangat bangga untuk mengumumkan konsert DOLLA yang akan datang ini. Ia adalah bukti perjalanan luar biasa dan dedikasi mereka. Konsert ini bukan sahaja menonjolkan bakat dan kerja keras mereka, tetapi juga merupakan pencapaian penting dalam misi kami untuk mengangkat industri muzik tempatan dan memperkenalkan artis Malaysia ke pentas antarabangsa. Pencapaian DOLLA dan usaha gigih pasukan kami dalam merealisasikan konsert ini sangat membanggakan. Bersama-sama, kami telah menghidupkan semula kumpulan nyanyian wanita di Malaysia dan menetapkan piawaian baharu untuk eksport muzik serantau. Marilah kita meraikan kejayaan DOLLA dan masa depan muzik Malaysia yang cemerlang,” kata Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kim Lim.

    Rohit Rampal, CEO dan Pengasas Hitman Solutions, menyatakan, “Dengan semangat untuk menonjolkan bakat tempatan, kami mahu memberikan DOLLA, kumpulan yang lahir di Malaysia, kesempatan untuk meraikan kejayaan dan usaha mereka. DOLLA bukan sahaja sebagai penghibur, tetapi juga contoh bahawa kerja keras dan impian besar boleh membawa kepada kejayaan, sesuatu yang dapat dicontohi oleh semua artis muda.” Konsert ini juga memberi peluang kepada DOLLA untuk mempamerkan segala yang telah mereka pelajari sejak kemunculan mereka beberapa tahun lalu.

    “Saya berharap konsert ini akan menjadi pengalaman dan kenangan manis buat semua iDollas yang hadir. Matlamat kami adalah untuk mereka berseronok bersama kami sambil mencipta kenangan yang kekal selamanya. Kami berhasrat untuk mengadakan persembahan yang menakjubkan dan mencipta pengalaman terbaik untuk peminat tercinta kami. Bersiaplah untuk dibawa ke dunia DOLLA,” jelas Tabby dari DOLLA.

    Ahli kumpulan DOLLA, Angel, turut berkongsi harapan yang sama untuk masa depan kumpulan tersebut. “Konsert DOLLA ini akan menjadi era baharu, kelahiran semula DOLLA. Kami sedang menyediakan susunan lagu DOLLA yang baru dan segar untuk konsert ini. Persembahan ini akan menjadi sesuatu yang tidak pernah dilihat oleh sesiapa sebelum ini! Ia akan menjadi pengalaman yang penuh emosi dan istimewa untuk iDollas,” kata Angel.

    Konsert yang dihasilkan oleh syarikat konsert dan acara terkenal Malaysia, Hitman Solutions, menjanjikan pengalaman visual dan audio yang luar biasa. Konsert ini juga merupakan platform untuk DOLLA menunjukkan kelahiran semula mereka dengan perspektif yang berbeza.

    “Kelahiran semula DOLLA membawa visi baharu yang berani, satu evolusi yang menangkap intipati keperibadian kami hari ini. Kami akan melangkah ke satu ruang yang belum diterokai, menerima perubahan dan mengatasi segala rintangan. Bersedia untuk menyaksikan era baharu DOLLA. Ini bukan sekadar konsert; ia adalah pernyataan dedikasi kami untuk sentiasa berkembang dengan peluang yang tiada had di hadapan kami. Kami teruja untuk memberi peluang kepada semua yang telah bersama kami untuk mentakrifkan semula DOLLA yang baharu,” kata Sabronzo dari DOLLA.

    Peminat juga boleh menjangkakan karya yang lebih hebat dan peribadi. Seiring dengan masa, DOLLA akan semakin terlibat dalam semua aspek muzik mereka, memberikan sentuhan unik kepada lagu-lagu mereka untuk pendengar dan peminat. “Yang pasti, kami tidak akan memperlahankan rentak kami untuk karya-karya masa hadapan,” tambah Tabby di akhir perbualan.

    Konsert DOLLA akan berlangsung pada 3 Ogos 2024, Sabtu di Zepp Kuala Lumpur. Tiket boleh dibeli di www.hitmanlive.com bermula 30 Mei 2024 (Khamis).

  • Konsert Divas & Diamonds 2024: Rossa, Dayang Nurfaizah & Jamal Abdillah Bakal Menggegarkan JB Pada Bulan September Ini!

    Konsert Divas & Diamonds menampilkan gabungan hebat tiga penyanyi terkenal dari Malaysia dan Indonesia: Dato’ Sri Rossa, Dato’ Jamal Abdillah, dan Dayang Nurfaizah. Lebih menarik, penganjur Mega Eve Sdn Bhd akan membuat kejutan dengan mengumumkan seorang superstar tambahan yang akan diumumkan kemudian.

    Mega Eve Sdn Bhd ditubuhkan dengan satu matlamat utama untuk menghadirkan detik-detik hebat dalam muzik kepada rakyat Malaysia melalui konsert ‘live’. Inisiatif ini dicetuskan oleh empat pencinta muzik yang telah bergabung tenaga dan impian mereka untuk mencipta pengalaman muzik yang luar biasa.

    Ketiga-tiga barisan penyanyi yang bakal menggegarkan Arena Larkin pada September nanti adalah permata berkilau dalam industri muzik negara. Malah, ada di antara mereka telah mengumpulkan lebih daripada 60 album sepanjang kerjaya gemilang mereka.

    Ketua Pegawai Eksekutif Mega Eve Sdn Bhd, Dr. Farhan Razali, menyatakan bahawa hasil kutipan daripada konsert ini akan disalurkan untuk membantu saudara-saudara Islam di Gaza.

    Lima peratus daripada hasil tiket akan disalurkan bagi menyokong bantuan di Gaza, Palestin. Sumbangan ini akan diserahkan terus kepada pegawai Kedutaan Palestin untuk membantu saudara dan saudari di Gaza.

    Butiran Konsert

    Tarikh: 7/9/2024

    Masa: 8 malam

    Lokasi: Arena Larkin, Johor Bahru

  • Merasai Kehebatan Disko: Diskoria dan Sheila Majid Bakal Menggegar Zepp Kuala Lumpur

    Mendengar namanya sahaja sudah cukup untuk membuatkan badan bergoyang dan ingin berdansa. Bayangkan betapa hebatnya apabila kumpulan pelopor muzik disko lokal Indonesia, DISKORIA, yang kini hangat dengan single terbaru mereka, “Badai Telah Berlalu” (bersama Bunga Citra Lestari & Laleilmanino), tampil di depan anda untuk mempersembahkan karya mereka secara langsung.

    Inilah yang akan anda nikmati di Zepp Kuala Lumpur pada 14 Jun 2024! MY Deteksi, bersama penganjur Sembang Kari Entertainment dan Tourism Malaysia, dengan bangganya mempersembahkan satu-satunya konsert yang bakal dibanjiri oleh muzik disko menerusi A TIME TRAVEL DISKORIA WITH A SPECIAL GUEST SHEILA MAJID.

    Bonus Berganda! Anda akan mendapat bonus berganda kerana penampilan perdana DISKORIA di Malaysia akan dimeriahkan lagi dengan kehadiran pesohor seni tempatan yang bersinar di Nusantara, Datuk Sheila Majid, sebagai penampilan khas.

    “Ucapkan selamat datang kepada DISKORIA yang akan menyebarkan aura disko dan pesta dalam A TIME TRAVEL DISKORIA WITH A SPECIAL GUEST SHEILA MAJID pada 14 Jun 2024 ini di Zepp Kuala Lumpur.

    “Sebagai penganjur, kami di MYdeteksi bersama Sembang Kari Entertainment dan Tourism Malaysia dengan rendah diri dan penuh kebanggaan atas persetujuan legenda Datuk Sheila Majid untuk tampil sebagai penampilan istimewa.

    “Mahu tahu bagaimana konsert ini akan berlangsung kelak apabila DISKORIA ‘berpesta’ dan Sheila Majid menjadi ‘bumbu khas’? Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan persembahan mereka dalam konsert ini.

    “Ucapan terima kasih juga kepada JEMPUT DENGAR yang akan menjadi artis pembuka konsert ini,” kata Shafika Mazlan dari MYdeteksi.

    Malam Magis dan Penuh Nostalgia Pertama kali berkongsi pentas bersama Sheila Majid, pendiri DISKORIA, Merdi Simanjuntak dan Fadli Aat, berharap agar A TIME TRAVEL DISKORIA WITH A SPECIAL GUEST SHEILA MAJID dapat mencipta magis dan membawa masa silam ke dunia masa kini melalui persembahan mereka.

    “DISKORIA sangat gembira dijemput ke Malaysia, terutamanya di konsert perdana kami yang bakal menampilkan Datuk Sheila Majid. Bagaimana konsert ini akan berlangsung? Kami pastikan anda akan berpesta ria, mengalami kembali kegemilangan masa silam muzik disko yang dijalin dengan teknologi masa kini,” ujar duo tersebut.

    Jangan Lepaskan Peluang! Pastikan anda tidak terlepas untuk hadir di pesta A TIME TRAVEL DISKORIA WITH A SPECIAL GUEST SHEILA MAJID pada 14 Jun 2024 di Zepp Kuala Lumpur. Nikmati lagu-lagu hits seperti “Balada Insan Muda”, “Pelangi Cinta”, atau “Serenata Jiwa Lara” dengan harga tiket:

    • SERENATA JIWA LARA (RM165)
    • SINARAN (RM165)
    • C.H.R.I.S.Y.E (RM220)
    • BADAI PASTI BERLALU (RM320)

    Jangan lewatkan peluang untuk membeli tiket menerusi www.myticket.asia.

    Sampai jumpa di A TIME TRAVEL DISKORIA WITH A SPECIAL GUEST SHEILA MAJID di Zepp Kuala Lumpur pada 14 Jun 2024 ini! Pastikan anda hadir dan merasakan malam yang penuh dengan pesta dan nostalgia disko!