Merakam semula lagu-lagu lama yang dipopularkan oleh artis legenda adalah perkara biasa di seluruh dunia. Lagu-lagu ini sering kali memiliki irama yang tak lapuk ditelan zaman. Selepas diberi nafas baharu, karya-karya emas ini semakin dihargai oleh generasi masa kini.
Namun, tidak semua penyanyi berjaya menjadikan rakaman semula lagu sebagai karya yang mudah diingati. Ada yang gagal dan ada juga yang berjaya mencuri perhatian. Hanya beberapa penyanyi hebat yang mampu menghidupkan semula karya lama.
Dato’ Aishah, penyanyi senior Malaysia dengan vokal luar biasa, adalah antara yang mahu melakukan ini. Setelah menembusi pasaran antarabangsa bersama kumpulan The Fan Club, Dato’ Aishah kembali dengan rakaman semula lagu “Di Pinggir Kayangan” yang per
nah dibawa oleh Datuk Sharifah Aini.
“Saya dibesarkan dengan lagu-lagu Allahyarham Datuk Sharifah Aini. Saya sangat meminati suara beliau dan pernah berkongsi pentas yang sama dengan arwah. ‘Di Pinggir Kayangan’ adalah lagu cinta dengan semangat positif, gembira, dan lenggok kemelayuan yang merdu,” ujar Dato’ Aishah
.
Beliau juga mahu generasi muda mengenali lagu-lagu lama yang bagus. Lagu seperti “Di Pinggir Kayangan” harus diperkenalkan semula kepada generasi baru. Ia sangat bermakna buat beliau kerana mengingatkan beliau kepada idolanya.
Terdapat beberapa perbezaan dalam versi Dato’ Aishah. “Akan kedengaran kelainan dari segi susunan muzik dan sudah semestinya suara saya berbeza dari penyanyi asal. Lagu juga dirakamkan dalam nota yang lebih tinggi,” katanya.
Beliau berharap projek terbaharunya ini diterimabaik oleh semua. “Semoga lagu-lagu seperti ‘Di Pinggir Kayangan’ mendapat tempat dalam kalangan para pendengar muda dan pendengar senior. Menghayati lagu-lagu lama membantu kemajuan mencipta lagu-lagu baharu,” ujar Dato’ Aishah.
Sony Music Malaysia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Dato’ Aishah atas pencapaian 17x Platinum dari penjualan keseluruhan kombinasi album fizikal dan digital. “Di Pinggir Kayangan” versi Dato’ Aishah akan dikeluarkan pada 19 Julai 2024 dan boleh dimuat turun di iTunes serta dinikmati melalui semua platform digital seperti Apple Music, Deezer, KKBox, Spotify, YouTube, dan YouTube Music.