MENCINTAI RASULULLAH BERSAMA TV ALHIJRAH BERSEMPENA MAULIDUR RASUL

Peristiwa Maulid

Menyambut Maulidur Rasul adalah salah satu kaedah umat Islam memberi penghormatan dan menunjukkan rasa sayang mereka kepada Nabi Muhammad SAW. Memandangkan Islam menggalakkan kebaikan, pasifisme, dan belas kasihan kepada semua makhluk, kelahiran Baginda Nabi Muhammad SAW melambangkan kesempurnaan akidah Islam.

 

Bersempena kelahiran Nabi Muhammad SAW, TV AlHijrah bakal menayangkan enam program istimewa iaitu Cinta Ilmu Maulidur Rasul, Assalamualaikum Khas Maulidur Rasul, Peristiwa Maulid, Dakwah Live Maulid, Hijrah Berselawat Maulidur Rasul dan Ketika Cinta Bertasbih 2.

Cinta Ilmu

Memulakan siaran, Cinta Ilmu, sebuah program pengajian berkitab akan menemui penonton pada setiap Isnin hingga Rabu, mula jam 7.30 malam dan tamat pada jam 8 malam. Untuk minggu Maulidur Rasul kali ini, tiga segmen istimewa telah disusun khas buat penonton. Segmen pertama iaitu segmen Islam membincangkan sifat wajib dan sifat kemanusiaan rasul. Untuk segmen kedua iaitu segmen Iman pula akan berkongsi cerita tentang perjuangan dan akhlak Rasulullah SAW. Terakhir, segmen ketiga iaitu segmen Ihsan akan memfokuskan topik makna cinta kepada Allah. Untuk perkongsian lebih terperinci, saksikan Cinta Ilmu Khas Maulidur Rasul pada 25 September 2023, jam 7.30 malam di TV AlHijrah.

 

Assalamualaikum Khas Maulidur Rasul pula akan menemani penonton pada Khamis 28 September 2023 pada jam 7 pagi. Assalamualaikum Khas Maulidur Rasul akan membawa penonton untuk mengenali dan memahami sunnah-sunnah yang dilakukan oleh Rasulullah dari sekecil-kecil perbuatan yang boleh dijadikan sebagai amalan harian dalam hidup kita. Turut diselitkan juga dalam program Assalamualaikum, siaran langsung sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan yang membawa tema “Perpaduan Teras Malaysia Madani”. 

 

Sambutan Maulidur Rasul di TV AlHijrah kian menarik dengan tayangan program khas Maulidur Rasul berjudul Peristiwa Maulid.  Program yang berlangsung selama 60 minit ini akan menayangkan peristiwa-peristiwa penting yang berlaku di dalam kehidupan Nabi Muhammad SAW. Objektif program ini adalah untuk memberikan iktibar kepada penonton menerusi kisah-kisah dan cabaran yang dihadapi oleh Rasulullah ketika diuji dengan pelbagai ujian daripada Allah SWT. Jadi, mari bersama-sama kita hayati perjuangan Nabi Muhammad SAW pada 28 September 2023, jam 9 malam dengan penampilan istimewa Habib Nael Ben Tahir.

 

Seterusnya, Dakwah Live edisi istimewa Maulidur Rasul dihidangkan dengan kupasan topik kasih Rasulullah SAW terhadap umatnya meskipun baginda sudah lama meninggalkan dunia. Kuatnya kasih dan cinta Rasulullah terhadap umatnya masih dapat dirasai sehingga kini. Bersama-sama dengan pengacara Faizal Ismail, Ustazah Isfadiah dan pengacara bersama Wasiril Aswad serta undangan Prof Madya Dato’ Dr. Mohd Farid Ravi membincangkan topik ini dengan lebih lanjut pada 27 September 2023, jam 9 malam.

 

Istimewa, program Hijrah Berselawat juga akan bergema kembali dengan alunan selawat kepada junjungan mulia Nabi Muhammad SAW. Selawat dan qasidah yang dialunkan bertujuan untuk menyampaikan kerinduan, kasih dan sayang kepada Rasulullah. Masih mengekalkan Ustaz Don Daniyal sebagai pentausiyah, namun kali ini Ustaz Don Daniyal ditemani oleh Ustaz Megat Mohd Zain, kumpulan InTeam, Ustaz Husaini, Amer Munawer, Azan Addin, Pot Amir, Naqiu dan adik Umar Razeeq. Sama-sama kita meriahkan program Hijrah Berselawat bersempena Maulidur Rasul pada 30 September 2023, jam 9 malam. 

KBC2

Bagi penggemar filem Indonesia, ayuh saksikan filem Ketika Cinta Bertasbih 2 pada 1 Oktober 2023, jam 9 malam. Filem ini mengisahkan tentang seorang pemuda bernama Azzam yang bergelut dalam mencari kerja usai menamatkan pengajianya di Universiti Mesir. Kegusaran Azzam kian menebal apabila gadis yang dicintainya iaitu Anna bakal berkahwin dengan rakannya sendiri. Saksikan kesudahan perjalanan hidup Azzam dalam Filem Ketika Cinta Bertasbih 2.

 

Kesemua rancangan istimewa Maulidur Rasul ini juga boleh ditonton menerusi aplikasi digital AlHijrah Plus. Aplikasi digital AlHijrah Plus adalah platform alternatif untuk para penonton menonton rancangan hiburan kekeluargaan di stesen TV AlHijrah walau di mana jua mereka berada.

Penafian! – Artikel yang disiarkan dan dikongsi di laman web MyPermohonan serta artikel berkaitan dengan "MENCINTAI RASULULLAH BERSAMA TV ALHIJRAH BERSEMPENA MAULIDUR RASUL" adalah ringkasan daripada sumber asal. Pihak kami tiada kaitan dengan agensi kerajaan, syarikat ataupun pengeluar posting asal. Untuk maklumat lanjut sila ke halaman Penafian.

Leave a Comment