Author: Destina Asia

  • JELAJAH DAYA NIAGA FRANCAIS ZON UTARA MENYASARKAN 30 POTENSI USAHAWAN FRANCAIS DENGAN NILAI PELABURAN RM7.5 JUTA

    Yang Berhormat Senator Puan Hajah Fuziah Salleh, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) hari ini telah merasmikan Program Daya Niaga Francais Zon Utara 2023 di Dataran Putra Brasmana, Perlis.

    Program ini adalah program Jelajah Daya Niaga Francais yang pertama dilaksanakan oleh KPDN bagi tahun 2023 hasil perekayasaan Program Franchise Bay sebelum ini. Program tiga (3) hari ini bermula 9 – 11 Mei 2023 ini merupakan pembuka tirai untuk siri program pembangunan perniagaan francais dalam negara.

    Kementerian menyasarkan sekurang-kurangnya 30 potensi francaisi baharu dengan nilai pelaburan sebanyak RM7.5 juta dapat dicapai menerusi 13 syarikat francaisor tempatan yang terlibat dalam program ini.

    Program ini merupakan platform bagi usahawan francais dan peniaga untuk mempromosikan perniagaan mereka dan bersama-sama menyumbang ke arah pengukuhan ekonomi negara. Program ini juga merupakan sinergi 2 kepada inisiatif menangani kos sara hidup di mana Program Daya Niaga lebih mengkhususkan kepada meningkatkan pendapatan rakyat.

    Selain itu, ia juga bertujuan memberi pendedahan tentang sistem-sistem perniagaan francais yang telah wujud di negara ini serta pakej-pakej latihan dan pembiayaan yang disediakan oleh Kerajaan kepada bakal usahawan francais.

    Menerusi inisiatif ini, Kerajaan berharap bidang francais akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negara yang postif bagi tahun 2023. Bidang perniagaan francais telah dilihat sebagai bidang yang dapat meningkatkan ekonomi, daya saing, pendapatan individu, mengatasi masalah kemiskinan melalui pewujudan peluang pekerjaan baru dan seterusnya meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat setempat.

    YB SENATOR PUAN HAJAH FUZIAH BINTI SALLEH, TIMBALAN MENTERI PERDAGANGAN DALAM NEGERI DAN KOS SARA HIDUP, KUALA PERLIS, PERLIS, 9 MEI 2023

     

  • MAJLIS PELANCARAN INISIATIF PAYUNG RAHMAH DENGAN MAJLIS PELANCARAN CAWANGAN TF VALUE-MART DAN TF VALUE-MART DI SUNGAI LALANG, KEDAH

    Yang Berhormat Datuk Seri Salahuddin Ayub, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, merasmikan Majlis Perasmian TF Value-Mart Cawangan Sungai Lalang, Kedah dan Majlis Pelancaran Inisiatif PAYUNG RAHMAH Dengan Kerjasama TF Value-Mart hari ini di TF Value-Mart, Sungai Lalang, Bedong, Kedah.

    Perasmian Cawangan TF Value-Mart di Sungai Lalang, Kedah ini adalah bukti komitmen tinggi pihak pengurusan dan seluruh warga kerja TF Value-Mart sejak pembukaan operasinya pada 13 April 2023 yang lalu iaitu menjelang seminggu sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri di Malaysia. Lokasi TF Value-Mart yang dirasmikan pada hari ini adalah lokasi yang ke-44 dibuka dan beroperasi di Malaysia (dan yang ke-6 di Kedah) adalah simbol kepada hasrat berterusan pihak pengurusannya untuk membuka lebih banyak operasi di bandar-bandar kecil dan kawasan luar bandar dan seterusnya memudahkan rakyat mendapatkan pelbagai barang keperluan dengan harga yang lebih rendah.

    Selaras dengan majlis pada hari ini, TF Value-Mart Cawangan Sungai Lalang melaksanakan Jualan RAHMAH yang terhad untuk tempoh 8 dan 9 Mei sahaja, dengan (antaranya) meliputi barangan keperluan harian seperti berikut:

    • Ayam Segar RM8.99 sekilogram (Harga asal RM9.40 sekilogram);
    • Buah Tomato RM1.99 sekilogram (Harga asal RM3.99 sekilogram);
    • Bawang Merah Besar RM5.00 untuk 3 kilogram (Harga asal RM8.99 untuk 3 kilogram);
    • Minyak Masak Seri Murni saiz botol 5 kg RM26.99 (Harga asal RM28.99 untuk saiz yang sama); dan
    • Pek MILO 2-kilogram RM32.99 (Harga asal RM36.99 untuk pek yang sama).

    Sementara itu, pelaksanaan semua Inisiatif di bawah Program Payung RAHMAH di semua 44 cawangan pasar raya dan pasar raya besar TF Value-Mart di seluruh negara meliputi aktiviti Jualan RAHMAH dan Pakej RAHMAH yang merangkumi sehingga 1100 SKU (Stock Keeping Unit) produk barangan keperluan harian, yang ditawarkan dengan potongan harga sekurang-kurangnya 10% daripada harga jualan biasa.

    Selain itu, TF Value-Mart turut menyahut seruan KPDN dengan melaksanakan Inisiatif Bakul RAHMAH sempena majlis ini dengan menyumbang kepada 50 keluarga daripada golongan yang memerlukan. Bakul RAHMAH yang disumbangkan ini merangkumi barangan keperluan asas (antaranya) seperti beras, minyak masak dan susu pekat yang bernilai RM100.00. Sumbangan ini adalah sebahagian daripada komitmen pihak pengurusan dan seluruh warga kerja TF Value-Mart untuk mengagihkan sejumlah 2,000 unit Bakul RAHMAH yang bernilai RM200,000.00 pada sepanjang tahun 2023.

    KPDN terus komited untuk memastikan seluruh warga Malaysia MADANI dilindungi dan tidak terbeban dengan peningkatan kos sara hidup (cost of living) dalm situasi mencabar dan tidak menentu pada hari ini. Pada masa yang sama, KPDN sentiasa menyokong usaha yang dilaksanakan oleh warga industri sektor peruncitan di negara ini untuk menggalakkan rakyat Malaysia berbelanja dengan memberi ganjaran tambahan atau nilai tambah kepada pengguna.

    Di bawah Program Payung RAHMAH yang diterajui oleh KPDN, pengguna dijangka dapat berbelanja keperluan harian dengan harga yang berpatutan, disamping berpeluang untuk mendapat ganjaran istimewa yang ditawarkan oleh peniaga. Program Payung RAHMAH adalah manifestasi 3 keprihatinan dan konsep kasih sayang Kerajaan kepada rakyat Malaysia, khususnya golongan berpendapatan rendah dengan kerjasama rakan-rakan strategik yang terlibat.

    KPDN amat berharap agar usaha seperti ini mampu menarik perhatian rakyat Malaysia, khususnya pengguna untuk mendapatkan barangan dengan harga yang murah dan berpatutan tetapi berkualiti seiring dengan jenama produk yang ditawarkan.

    YB DATUK SERI SALAHUDDIN AYUB, MENTERI PERDAGANGAN DALAM NEGERI DAN KOS SARA HIDUP, SUNGAI LALANG, KEDAH, 8 MEI 2023.

  • MENANGANI ISU BEKALAN GULA DI PANTAI TIMUR

    Operasi bersepadu OPS MANIS merupakan salah satu kawalan di peringkat Kementerian untuk mengenal pasti punca asas dan penyelesaian berdaya maju bagi isu kekurangan gula. Selain itu, penguatkuasaan OPS MANIS merupakan strategi serampang dua mata untuk memulihkan gangguan bekalan gula di setiap peringkat rantaian bekalan, memastikan “panic buying” tidak berlaku, memastikan setiap peniaga mengamalkan pematuhan undang-undang, memantau kewujudan penampan gula. inventori stok (stockpile) di kilang atau gudang penyimpanan, dan memastikan tiada masalah penyeludupan gula ke negara jiran.

    Untuk makluman, penubuhan Pasukan Petugas Khas bagi menangani isu kekurangan bekalan gula telah ditubuhkan pada 3 Mei 2023. Sehubungan itu, pelaksanaan operasi bersepadu OPS MANIS 2023 telah dilancarkan bermula 3 Mei 2023 sehingga 9 Mei 2023 (tempoh 7 hari pelaksanaan).

    Aduan kekurangan bekalan telah diterima oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup bermula 23 Mac 2023 iaitu pada awal bulan Ramadan dan kekurangan bekalan gula ini semakin meningkat menjelang Hari Raya Aidilfitri yang jatuh pada 22 April 2023. Kementerian telah mengambil tindakan segera diatas semua aduan yang diterima dan berhubung dengan wakil pengilang gula utama iaitu syarikat MSM dan CSR.

    Pada 2 Mei 2023 perbincangan khas mengenai isu bekalan gula telah diadakan yang dipengerusikan oleh YBhg. Datuk Azman Bin Mohd Yusof , Ketua Setiausaha KPDN bersama Ketua Kumpulan Komersial Syarikat MSM, Tengku Haidar Tengku Ahmad dan Ketua Eksekutif Syarikat CSR, Encik Mohamad Zuki Wan Abdullah. Hasil perbincangan khas tersebut, pihak pengilang telah memberi jaminan bahawa keadaan kekurangan bekalan akan dipulihkan semula dan memaklumkan tiada pemotongan kuota bekalan kepada pihak pemborong. Kekurangan bekalan gula berkemungkinan disebabkan cuti panjang pekerja syarikat pengilang atau Distribution Centre (DC) sempena Hari Raya Aidilfitri.

    Hasil pelaksanaan OPS MANIS yang dilancarkan bermula 3 Mei 2023 sehingga 6 Mei 2023 mendapati isu gangguan bekalan yang berlaku semakin pulih. Pemborong-pemborong utama di kedua-dua negeri telah menerima bekalan daripada pengilang secara berperingkat untuk diedarkan kepada pemborong dan peruncit di seluruh Kawasan.

    Hasil laporan data OPS MANIS yang diterima menunjukkan peningkatan stok penerimaan gula bagi kedua-dua negeri dengan anggaran peningkatan sebanyak 36% dalam 4 hari sahaja berbanding anggaran purata penerimaan gula bagi negeri Kelantan adalah sebanyak 400MT seminggu dan bagi negeri Terengganu sebanyak 300MT seminggu (Asas rujukan data: Laporan Mingguan Pengeluaran dan Pengedaran Pengilang MSM dan CSR). Manakala, dengan pelaksanaan OPS MANIS juga didapati aduan-aduan yang diterima semakin berkurang dan menurun kepada purata 1 aduan bagi sehari pemeriksaan sahaja. Petugas Khas juga melaporkan tiada kes diambil keatas peniaga kerana tiada kesalahan sorok, enggan menjual barang kawalan atau lain-lain kesalahan ditemui. Sehingga 6 Mei 2023, sebanyak 132 pemeriksaan telah dilaksanakan di negeri Kelantan dan 224 pemeriksaan telah dilaksanakan di negeri Terengganu.

    Pengguna dinasihatkan agar tidak panik dan membuat pembelian sesuai dengan keperluan semasa. Manakala bagi pengguna industri, mereka digalakkan untuk membeli gula yg bersaiz 50 kg bagi mengelakkan kekurangan gula bersaiz 1kg dan 2 kg dipasaran.

    Sekiranya mana-mana pihak ditemui melakukan kesalahan, individu atau syarikat tersebut boleh dikenakan tindakan dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961 & Akta Kawalan Harga & Antipencatutan 2011.

    Akta Kawalan Bekalan 1961: (a) Bagi individu boleh dikenakan denda tidak lebih RM 1 juta atau dipenjarakan tidak lebih 3 tahun atau kedua-duanya sekali. Untuk kesalahan kali kedua, boleh didenda tidak melebihi RM 3 juta atau dipenjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali. (b) Manakala bagi syarikat, boleh didenda tidak melebihi RM 2 juta dan untuk kesalahan kali kedua dan seterusnya, boleh didenda tidak melebihi RM 5 juta.

    Akta Kawalan Harga & Antipencatutan 2011 (a) Bagi individu boleh dikenakan denda sehingga RM 100,000.00 atau dipenjarakan tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali atau boleh dikompaun RM 50,000.00 (b) Manakala bagi syarikat boleh didenda sehingga RM 500,000. 00 atau dikompaun sehingga RM 250,000.00.

    Pelaksanaan OPS MANIS selama 4 hari bermula 3 Mei 2023 sehingga 6 Mei 2023 telah memberikan impak positif dalam menangani isu kekurangan bekalan gula yang berlaku di negeri Kelantan dan Terengganu. KPDN akan sentiasa komited mempergiatkan serta mempertingkatkan kawal seliaan dan operasi ke atas pengedaran barangbarang kawalan di seluruh negara bagi memastikan bekalan barang kawalan untuk kegunaan rakyat Malaysia sentiasa mencukupi dan tidak berlaku ketirisan barang-barang kawalan bersubsidi yang akan merugikan negara.

    YB DATUK SERI SALAHUDDIN AYUB, MENTERI PERDAGANGAN DALAM NEGERI DAN KOS SARA HIDUP, BAYAN LEPAS, PULAU PINANG, 7 MEI 2023.

  • Ops TIRIS dilancarkan perangi penyelewengan diesel subsidi

    OPS TIRIS telah diperkenalkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pada 1 Mac dan akan berlangsung hingga 31 Ogos 2023. Matlamatnya adalah untuk menghentikan kecurian dan penyeludupan minyak diesel bersubsidi yang telah merugikan kerajaan. wang dan mengekalkan bekalannya daripada sampai kepada orang yang berhak mendapatnya. KPDN bekerjasama dengan semua agensi penguatkuasaan undang-undang serantau, termasuk Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), dan Jabatan Kastam Malaysia, dalam semua operasi berkaitan, termasuk OPS BERSEPADU dan OPS TIRIS.

    Baru-baru ini pada 28 April 2023 di Bukit Kayu Hitam, satu (1) kes berkaitan penyeludupan minyak diesel bersubsidi telah dikesan dan diambil tindakan oleh pihak PDRM melibatkan pasukan dari Bukit Aman. Pihak PDRM telah membuat serbuan di sebuah premis pemborong minyak diesel di Kawasan Perindustrian Bukit Kayu Hitam, Kedah.

    Dalam operasi tersebut, PDRM telah menahan sembilan (9) orang suspek yang mana tiga (3) orang merupakan lelaki warga tempatan, manakala enam (6) orang lagi merupakan warganegara Thailand yang 2 ketika itu sedang mengisi minyak diesel bersubsidi di premis berkenaan. Pihak PDRM seterusnya bertindak menyita minyak diesel yang di anggarkan sekitar 135,760-liter dengan nilai rampasan RM291,884.00. Tujuh (7) buah lori turut disita di mana salah sebuah dari nya bernombor pendaftaran tempatan. Baki enam (6) buah lagi merupakan lori bernombor pendaftaran Thailand.

    Antara barang-barang lain yang turut disita semasa operasi tersebut termasuklah sepuluh (10) unit skid tank, tiga (3) unit mesin pam minyak, lapan (8) unit nozzle pump, dua (2) unit tangki silinder, wang tunai sebanyak THB Thailand 192,902, tujuh (7) unit kunci kenderaan, dua (2) unit alat kawalan jauh dan beberapa dokumen berkaitan. Anggaran nilai rampasan keseluruhan adalah sebanyak RM1.057 juta. Kesemua suspek telah ditahan bagi mendapatkan perintah reman untuk siasatan lanjut.

    KPDN mengambil kesempatan ini untuk merakamkan jutaan terima kasih kepada pihak PDRM dan agensi-agensi penguatkuasaan yang lain di atas kerjasama yang diberikan dalam mengekang penyelewengan minyak diesel dan barang-barang kawalan lain di negeri-negeri sempadan terutamanya di negeri Kedah.

    Siasatan dijalankan dibawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan dibaca bersama Peraturan 9 (2) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974. Sekiranya disabitkan dengan kesalahan di bawah Akta ini boleh dikenakan penalti seperti berikut;

    • Bagi mana-mana orang perseorangan; didenda tidak melebihi RM1 juta (satu juta ringgit) atau penjara tidak melebihi tiga (3) tahun atau kedua-duanya sekali. Bagi kesalahan yang kedua, didenda tidak melebihi RM3 Juta (tiga juta ringgit) atau penjara 3 tidak melebihi lima (5) tahun atau kedua-duanya sekali;
    • Bagi pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi RM2 juta (dua juta ringgit) dan bagi kesalahan yang kedua didenda tidak melebihi RM5 juta (lima juta ringgit).

    Berdasarkan statistik penguatkuasaan OPS TIRIS dari 1 Mac hingga 28 April 2023, sebanyak 495 pemeriksaan telah dilakukan di seluruh negeri Kedah. Daripada jumlah itu sebanyak 24 kes telah dihasilkan melibatkan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM2,667 juta.

    KPDN ingin memberi amaran keras dan menegaskan bahawa Kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam sindiket dan aktiviti penyelewengan barang-barang kawalan ini. Tindakan tegas akan diambil termasuklah mendakwa mereka di mahkamah berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) (Akta 613). Jika disabitkan dengan kesalahan di bawah Akta 613 ini boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau lima juta ringgit yang mana lebih tinggi.

    KPDN sentiasa komited dan akan bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan yang berkaitan bagi mempergiat serta mempertingkatkan kawal seliaan dan operasi ke atas pengedaran barang-barang kawalan di seluruh negara bagi memastikan bekalan barang kawalan untuk kegunaan rakyat Malaysia sentiasa mencukupi dan tidak berlaku ketirisan yang 4 merugikan negara.

    KPDN sentiasa memperkasakan penguatkuasaan yang tegas dan berhemah di semua peringkat, kawasan dan lokaliti termasuk kawasan kepulauan, kawasan sempadan, kawasan perindustrian / eksport, kawasan bandar serta di luar bandar.

    KPDN serius dalam membanteras isu penyelewengan barang kawalan bersubsidi seperti minyak diesel yang diberikan oleh kerajaan. Tujuan pemberian subsidi adalah untuk mengimbangi kos sara hidup rakyat dan bukannya untuk diselewengkan dan seterusnya menafikan hak rakyat Malaysia yang sepatutnya menikmati subsidi ini.

    Pada masa yang sama orang ramai diharap dapat menyalurkan maklumat terutama yang berkaitan kegiatan yang mencurigakan kepada Pejabat KPDN melalui saluran aduan seperti berikut

    1. WhatsApp 019-279 4317 / 019-848 8000;
    2. Portal e-Aduan KPDN iaitu http://e.aduan.kpdn.gov.my;
    3. Call Centre 1-800-886-800;
    4. E-mel (e-aduan@kpdn.gov.my);
    5. Aplikasi Telefon Pintar Ez ADU KPDN; dan
    6. Bilik Gerakan Penguatkuasaan 03-8882 6088 / 6245.
  • Ops Pantau 2023 Tindakan Ke Atas 374 Peniaga Yang Gagal Patuhi Undang-Undang

    OPS PANTAU 2023 telah dilaksanakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sepanjang bulan Ramadan yang bermula pada 23 Mac 2023 dan berakhir pada 21 April 2023. Ini dilakukan bagi memastikan pengguna dapat membeli bekalan makanan dan keperluan harian lain dengan mudah dan selesa dengan harga yang berpatutan.

    OPS PANTAU 2023 yang telah dilaksanakan antara lain bertujuan memastikan tahap pematuhan yang tinggi oleh semua peniaga serta mewujudkan persekitaran perdagangan yang kondusif di samping membantu rakyat Malaysia MADANI mengurangkan impak peningkatan kos sara hidup terutamanya sepanjang bulan Ramadan lalu dan persediaan sambutan Hari Raya Aidilfitri.

    OPS PANTAU 2023 telah dilaksanakan secara seragam dan berfokus di seluruh negara dengan lokasi tumpuan seperti Bazar Ramadan, Bazar Aidilfitri, pasar awam, pasar basah, pasar raya besar, pasar raya, kedai runcit dan aktiviti penjualan secara dalam talian. Pemeriksaan di bawah OPS PANTAU 2023 ini antara lain memfokuskan pemantauan ke atas beberapa perkara antaranya berkaitan bekalan barang, harga barang, jualan murah, alat timbangan, penjualan barang tiruan/cetak rompak, Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa (HRP) Tahun 2023, isu halal dan penjualan barang-barang keperluan Hari Raya Aidilfitri.

    Berdasarkan statistik OPS PANTAU 2023 yang bermula pada 23 Mac 2023 sehingga 21 April 2023, sebanyak 66,701 premis telah diperiksa di seluruh negara dan daripada jumlah pemeriksaan tersebut, sebanyak 374 kes telah dihasilkan atas pelbagai kesalahan dengan nilai kompaun berjumlah RM60,200.00. Sebanyak 1,127 aduan oleh pengguna juga telah diterima dalam tempoh yang sama.

    KPDN akan terus menggiatkan aktiviti penguatkuasaan dan pemantauan setiap hari di seluruh negara serta mengingatkan semua peniaga agar terus mematuhi segala perundangan yang dikuatkuasakan Kementerian, meskipun OPS PANTAU 2023 telah tamat tempoh pelaksanaannya bagi mengelakkan daripada dikenakan tindakan tegas.

    Kementerian juga ingin mengucapkan terima kasih kepada peniaga yang sentiasa memberikan kerjasama dan mematuhi perundangan yang telah ditetapkan oleh Kerajaan sepanjang pelaksanaan OPS PANTAU 2023 kerana tindakan kes pada tahun ini juga menunjukkan penurunan berbanding pada tahun sebelumnya.

    Pengguna juga dinasihatkan agar terus mengamalkan sikap berjimatcermat selain merancang perbelanjaan harian bagi mengelakkan daripada dimanipulasi oleh segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab ketika ini selain mengelakkan pembaziran sepanjang musim perayaan Hari Raya Aidilfitri.

    Pengguna yang mempunyai sebarang maklumat berhubung salah laku oleh peniaga boleh menyalurkan aduan yang lengkap kepada pihak Kementerian melalui saluran berikut:

    1. WhatsApp 019-279 4317 / 019-848 8000;
    2. Portal e-Aduan KPDN iaitu http://e.aduan.kpdn.gov.my;
    3. Call Centre 1-800-886-800; iv. E-mel (e-aduan@kpdn.gov.my);
    4. Aplikasi Telefon Pintar Ez ADU KPDN; dan
    5. Bilik Gerakan Penguatkuasaan 03-8882 6088 / 6245