Ops Pantau 2023 Tindakan Ke Atas 374 Peniaga Yang Gagal Patuhi Undang-Undang

OPS PANTAU 2023 telah dilaksanakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sepanjang bulan Ramadan yang bermula pada 23 Mac 2023 dan berakhir pada 21 April 2023. Ini dilakukan bagi memastikan pengguna dapat membeli bekalan makanan dan keperluan harian lain dengan mudah dan selesa dengan harga yang berpatutan.

OPS PANTAU 2023 yang telah dilaksanakan antara lain bertujuan memastikan tahap pematuhan yang tinggi oleh semua peniaga serta mewujudkan persekitaran perdagangan yang kondusif di samping membantu rakyat Malaysia MADANI mengurangkan impak peningkatan kos sara hidup terutamanya sepanjang bulan Ramadan lalu dan persediaan sambutan Hari Raya Aidilfitri.

OPS PANTAU 2023 telah dilaksanakan secara seragam dan berfokus di seluruh negara dengan lokasi tumpuan seperti Bazar Ramadan, Bazar Aidilfitri, pasar awam, pasar basah, pasar raya besar, pasar raya, kedai runcit dan aktiviti penjualan secara dalam talian. Pemeriksaan di bawah OPS PANTAU 2023 ini antara lain memfokuskan pemantauan ke atas beberapa perkara antaranya berkaitan bekalan barang, harga barang, jualan murah, alat timbangan, penjualan barang tiruan/cetak rompak, Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa (HRP) Tahun 2023, isu halal dan penjualan barang-barang keperluan Hari Raya Aidilfitri.

Berdasarkan statistik OPS PANTAU 2023 yang bermula pada 23 Mac 2023 sehingga 21 April 2023, sebanyak 66,701 premis telah diperiksa di seluruh negara dan daripada jumlah pemeriksaan tersebut, sebanyak 374 kes telah dihasilkan atas pelbagai kesalahan dengan nilai kompaun berjumlah RM60,200.00. Sebanyak 1,127 aduan oleh pengguna juga telah diterima dalam tempoh yang sama.

KPDN akan terus menggiatkan aktiviti penguatkuasaan dan pemantauan setiap hari di seluruh negara serta mengingatkan semua peniaga agar terus mematuhi segala perundangan yang dikuatkuasakan Kementerian, meskipun OPS PANTAU 2023 telah tamat tempoh pelaksanaannya bagi mengelakkan daripada dikenakan tindakan tegas.

Kementerian juga ingin mengucapkan terima kasih kepada peniaga yang sentiasa memberikan kerjasama dan mematuhi perundangan yang telah ditetapkan oleh Kerajaan sepanjang pelaksanaan OPS PANTAU 2023 kerana tindakan kes pada tahun ini juga menunjukkan penurunan berbanding pada tahun sebelumnya.

Pengguna juga dinasihatkan agar terus mengamalkan sikap berjimatcermat selain merancang perbelanjaan harian bagi mengelakkan daripada dimanipulasi oleh segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab ketika ini selain mengelakkan pembaziran sepanjang musim perayaan Hari Raya Aidilfitri.

Pengguna yang mempunyai sebarang maklumat berhubung salah laku oleh peniaga boleh menyalurkan aduan yang lengkap kepada pihak Kementerian melalui saluran berikut:

  1. WhatsApp 019-279 4317 / 019-848 8000;
  2. Portal e-Aduan KPDN iaitu http://e.aduan.kpdn.gov.my;
  3. Call Centre 1-800-886-800; iv. E-mel ([email protected]);
  4. Aplikasi Telefon Pintar Ez ADU KPDN; dan
  5. Bilik Gerakan Penguatkuasaan 03-8882 6088 / 6245

 

Leave a Comment