Akon Superfan Tour 2024: Persembahan Ikonik Akon di Malaysia & Singapura

Jeeharris Entertainment, syarikat penganjuran acara yang diterajui oleh Harris Baba, kini mengumumkan Akon The Superfan Tour Live in Malaysia & Singapore, acara yang dinanti-nantikan oleh peminat muzik di dua negara.

Konsert ini akan berlangsung pada 19 November 2024 di Mega Star Arena, Kuala Lumpur, dan pada 20 November 2024 di Arena @ Expo Hall 7, Singapura.

Peminat di kedua-dua negara akan disajikan dengan persembahan penuh bertenaga daripada Akon, penyanyi dan penerbit antarabangsa yang dikenali dengan lagu-lagu popularnya seperti Lonely, Smack That, dan I Wanna Love You.

Harris Baba, yang sebelum ini telah menganjurkan acara-acara besar seperti Borneo Mega Raya Fest dan konsert kumpulan Armada dan Ungu di Sabah, menganggap konsert Akon ini sebagai pencapaian terbesar dalam kariernya sebagai penganjur.

“Perancangan untuk membawa Akon sudah bermula sejak Disember tahun lalu dan memerlukan tujuh hingga lapan bulan untuk memuktamadkan semuanya dengan pihak pengurusan Akon. Ia bukan satu tugas mudah, tetapi alhamdulillah, kami berjaya merealisasikannya,” kata Harris.

Menurut Harris, Akon The Superfan Tour adalah unik kerana ia akan diadakan di dua negara dalam masa dua hari berturut-turut.

Peminat di Malaysia dan Singapura pasti tidak mahu melepaskan peluang ini, kerana Akon telah lama dikenali sebagai artis yang mampu mencipta suasana persembahan yang mengasyikkan dengan lagu-lagu hitnya.

“Lagu-lagu Akon masih diputarkan di seluruh dunia, dan saya yakin peminat akan teruja menyaksikan persembahan hebat dari bintang bertaraf antarabangsa ini,” tambahnya.

Konsert ini turut mendapat kerjasama yang kuat daripada rakan strategik dan penaja utama. Astro Radio adalah rakan media rasmi, dengan stesen popular seperti Era, Hits, Sinar Mix, dan Raaga bakal mempromosikan acara ini secara meluas.

Astro Gempak pula menjadi rakan digital rasmi untuk memacu kempen digital acara ini. Selain itu, syarikat seperti El Car Rental dan Motivated Outreach menjadi penyedia pengangkutan rasmi untuk Akon dan pasukannya, manakala Munchies akan menaja sajian sewaktu konsert di Malaysia.

Harris turut menegaskan bahawa kejayaan konsert ini adalah hasil usaha bersama dan sokongan daripada pasukannya serta rakan-rakan strategik. Jeeharris Entertainment tidak bercadang untuk berhenti di sini; Harris bercadang untuk membawa lebih ramai artis antarabangsa ke Malaysia dan Singapura pada masa hadapan.

“Kami sudah merancang beberapa konsert besar untuk tahun 2025, dan saya yakin peminat akan teruja dengan senarai artis yang akan kami bawa ke sini,” katanya.

Tiket untuk Akon The Superfan Tour Live akan mula dijual pada 18 September 2024 untuk pra-pendaftaran, manakala penjualan umum bermula pada 20 September 2024.

Tiket untuk konsert di Malaysia boleh didapati melalui laman web www.ticket2u.com, manakala tiket untuk persembahan di Singapura boleh didapati di www.sistic.com.sg. Pastikan anda tidak ketinggalan untuk menyaksikan persembahan bertenaga dari salah seorang ikon muzik global ini!

Leave a Comment