Dua bintang popular industri hiburan tanah air, Achey dan Tantari, telah bergabung buat pertama kali dalam sebuah karya baru yang dinanti-nantikan oleh peminat.
Lagu kolaborasi mereka, bertajuk “Biar”, dilancarkan pada 30 Ogos 2024 dan mendapat sambutan hangat di kalangan pendengar seluruh negara. Selepas hanya beberapa hari dimuat naik ke YouTube pada hari Jumaat, muzik video rasmi “Biar” telah berjaya memasuki carta Top 30 Trending untuk muzik di platform tersebut, dengan lebih daripada 60,000 tontonan dalam masa 3 hari.
Achey, seorang selebriti yang versatil, terkenal bukan sahaja sebagai pelawak, pelakon, dan pengacara, tetapi juga sebagai penyanyi dan penulis lagu berbakat. Beberapa karya sebelumnya seperti “Sakit” (45 juta tontonan di YouTube) dan “Yang Terindah” (35 juta tontonan di YouTube) telah mendapat sambutan luar biasa. Di sisi lain, Tantari, atau nama sebenarnya Naufal Zahirul Azahael Mohd Alfian, merupakan penyanyi muda berusia 7 tahun yang mencipta fenomena melalui single debutnya, “Rindu Hatiku Rindu”, yang menduduki carta #1 Trending di YouTube selama 20 hari berturut-turut dengan lebih 8 juta tontonan.
Kolaborasi antara Achey dan Tantari ini menyatukan bakat luar biasa mereka dan menghasilkan sebuah karya muzik yang penuh keunikan. Single “Biar” ditulis sepenuhnya oleh Achey, sama seperti lagu-lagu hit terdahulu yang dihasilkannya. Menurut Achey, 38, atau nama sebenarnya Mohd Nasir Hamzah, lagu duet ini menceritakan tentang seorang lelaki yang terus berusaha mencari kesempurnaan dalam perhubungannya, namun menyedari bahawa kesempurnaan tidak wujud dalam kehidupan ini.
“Lagu ini menyampaikan mesej bahawa, walaupun kita cuba mencapai kesempurnaan, kita harus terima kenyataan bahawa ketidaksempurnaan adalah sebahagian daripada kehidupan. Melalui lirik-lirik yang bermakna, lagu ini meneroka aspek kehidupan yang kompleks, di mana kesempurnaan adalah sesuatu yang tidak realistik. Saya mahu menggalakkan pemahaman bahawa kelemahan dan kekurangan sebenarnya membawa kita lebih dekat kepada kebahagiaan yang sejati,” jelasnya.
“Biar” membawa tema perpisahan dan ketabahan dalam menghadapi liku-liku hidup. Lirik yang mendalam serta melodi yang menyentuh hati menjadikan lagu ini segera mendapat tempat di hati peminat. Gabungan vokal emosional Achey dengan gaya nyanyian unik Tantari menghasilkan sebuah karya yang penuh makna.
Sementara itu, Tantari menyatakan rasa terharu dengan peluang untuk bekerjasama dengan Achey, seorang penulis lagu dan penyanyi terkenal, walaupun dia masih baru dalam industri muzik. “Tantari seronok dapat jemputan daripada abang Achey untuk berduet. Ramai orang kenal abang Achey, dan ada juga yang kata saya macam abang Achey bila besar nanti,” katanya sambil berseloroh.
Dia turut berterima kasih kepada semua pihak yang menyokong perjalanan karier muziknya sehingga kini. “Sokongan peminat sangat memberi inspirasi kepada Tantari untuk memberikan yang terbaik dalam setiap persembahan. Saya banyak belajar daripada abah yang juga sering buat persembahan di majlis-majlis kahwin,” ujarnya.
Tantari turut berharap kedua ibu bapanya bangga dengan pencapaiannya dan berjanji akan terus fokus pada pelajaran di sekolah, mengikuti nasihat abahnya untuk mendapatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan.
Single “Biar” yang diterbitkan oleh Nova Music dan Seventeen Eleven Music kini boleh didengarkan di semua platform penstriman muzik di Malaysia. Muzik video rasmi “Biar” boleh ditonton di saluran YouTube Seventeen Eleven Music melalui pautan berikut: [https://www.youtube.com/watch?v=d2KLaUi-xq8](https://www.youtube.com/watch?v=d2KLaUi-xq8).