Aplikasi penstriman terkenal, iQIYI, kembali dengan drama bersiri terbaharu, ‘Satu Hari Nanti’, yang bakal mencuri perhatian ramai.
Dibintangi oleh pelakon-pelakon popular seperti Bella Astillah, Ezaidi Aziz, dan Eyka Farhana drama ini dijangka membawa sentuhan emosi yang mendalam kepada penonton dengan tema cinta, pengorbanan, dan penghijrahan jiwa.
Drama arahan pengarah terkenal Pali Yahya ini turut mendapat tajaan eksklusif daripada jenama kecantikan Nivea dan telefon pintar Honor, memberikan tambahan kredibiliti kepada produksi tersebut.
‘Satu Hari Nanti’ mengisahkan tentang Noah Lee (lakonan Ezaidi Aziz), seorang mualaf berbangsa Cina yang sedang melalui fasa getir dalam hidupnya selepas kekecewaan besar dalam cinta.
Untuk mengubati hatinya, Noah mula melibatkan diri dalam aktiviti kebajikan dan di situ, dia bertemu dengan Marissa Safiyyah (lakonan Eyka Farhana), seorang wanita Muslim yang bersemangat tinggi memperjuangkan hak-hak wanita.
Walaupun Noah semakin tertarik dengan Marissa, kehadiran Aulia Jane (lakonan Bella Astillah) menambahkan lapisan komplikasi dalam kehidupan dan hubungan mereka. Apakah rahsia di sebalik kehadiran Aulia? Mampukah Noah mencari cinta sejati yang melepasi batas perbezaan agama?
Ezaidi Aziz berkongsi bagaimana watak Noah memberikan satu cabaran besar dalam karier lakonannya. Menurutnya, membawa watak seorang mualaf yang mencari tujuan hidup bukanlah mudah.
“Watak Noah mengajar saya tentang pentingnya kita tidak menghukum seseorang tanpa benar-benar mengenali mereka.
Ada lapisan dalam diri setiap individu yang perlu kita fahami sebelum membuat penilaian,” jelas Ezaidi. Pengalaman ini telah membuka perspektif baru kepadanya, di mana lakonannya bukan sahaja untuk hiburan tetapi juga membawa mesej mendalam kepada penonton.
Sementara itu, Eyka Farhana, yang memegang watak Marissa, menceritakan kegembiraannya apabila diberi peluang untuk menjalani penggambaran di Mekah dan Madinah.
“Pengalaman berada di Tanah Suci sememangnya memberikan satu dimensi rohani yang berbeza dalam lakonan saya.
Drama ini bukan hanya tentang cinta, tetapi juga tentang pencarian makna hidup dan kekuatan iman,” kata Eyka. Dia menambah bahawa wataknya sebagai Marissa mencabar dirinya untuk membawa mesej penting tentang wanita yang berdiri teguh memperjuangkan keadilan dan hak.
Bagi Bella Astillah, wataknya sebagai Aulia Jane dalam drama ini membawanya ke perjalanan emosi yang kompleks.
“Aulia bukan sahaja simbol kepada cinta yang rumit tetapi juga membawa tema penerimaan dan pengorbanan.
Saya sendiri dapat merasakan kesamaan antara watak ini dengan pengalaman hidup saya, terutama dari segi cinta yang tidak selalu berjalan lancar,” kongsi Bella Astillah. Beliau turut menyatakan bahawa penggambaran di Mekah telah memberi kesan mendalam dalam kehidupannya, menjadikannya ruang untuk refleksi dan penyembuhan diri.
Pengarah Pali Yahya, yang terkenal dengan kepekaannya terhadap naratif yang penuh emosi, menyatakan bahawa pemilihan pelakon adalah faktor utama dalam menjayakan drama ini.
“Mengadaptasi sebuah novel ke dalam bentuk visual adalah satu cabaran besar, tetapi dengan kombinasi bakat seperti Ezaidi, Eyka, dan Bella, saya percaya ‘Satu Hari Nanti’ akan mampu menyentuh hati penonton,” kata Pali. Drama ini, menurutnya, bukan sahaja mengisahkan cinta antara dua insan tetapi juga menyentuh hubungan manusia dengan Sang Pencipta dan perjuangan mencari makna dalam kehidupan.
Menurut Jony Dengan Pengurus Besar iQIYI Malaysia & Singapura, drama ini dijangka menjadi salah satu hit besar di platform tersebut.
“Dengan gabungan cerita yang kuat, pelakon berbakat, dan pengajaran hidup yang berharga, kami berharap ‘Satu Hari Nanti’ akan menjadi tontonan wajib pada bulan September ini,” katanya.
Deng turut menambah bahawa drama ini menawarkan lebih daripada sekadar hiburan – ia memberi ruang kepada penonton untuk merenung nilai cinta, agama, dan kehidupan.
Jangan lepaskan peluang untuk menonton drama ‘Satu Hari Nanti’, eksklusif di iQIYI bermula 18 September 2024, jam 9:00 malam.
Muat turun aplikasi iQIYI di App Store atau Play Store, taipkan ‘Satu Hari Nanti’, dan klik ‘Pesan’ untuk menerima notifikasi tontonan awal. Saksikan sendiri bagaimana cinta dan penghijrahan jiwa dapat membentuk kehidupan baru dalam kisah yang penuh emosi ini.