PROGRAM JUALAN RAHMAH PERINGKAT NEGERI PERAK MENCATAT JUALAN MELEBIHI RM 3 JUTA

GOPENG, 3 SEPTEMBER 2023 – Yang Berhormat Senator Puan Hajah Fuziah binti Salleh, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup hari ini melancarkan dua program Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Peringkat Negeri Perak di Dewan Bandaran Gopeng, Perak iaitu Program Jualan RAHMAH Bergerak (PJRB) dan Aduan Suri.

Sehingga kini, sebanyak 129 Program Jualan RAHMAH (PJR) telah dilaksanakan di kesemua 24 kawasan Parlimen dan 59 kawasan DUN seluruh negeri Perak dan telah memberi manfaat kepada lebih dari 160,000 orang rakyat Malaysia MADANI dengan jumlah jualan melebihi RM3 juta.

Manakala PJR seluruh Malaysia pula telah merekodkan kehadiran melebihi 2.9 juta orang rakyat Malaysia MADANI dengan rekod jualan melebihi RM70 juta di semua 222 Parlimen.

Program Jualan RAHMAH Bergerak (PJRB) pada hari ini pula telah diadakan dengan kerjasama daripada rakan strategik KPDN iaitu Kerjaya Emas Trading yang telah menawarkan diskaun antara 15 hingga 30 peratus lebih 2 murah berbanding harga pasaran setempat kepada 13 jenis barangan keperluan asas kering, sayur-sayuran serta buah-buahan.

Pada hari ini sebanyak dua (2) buah lori berkapasiti lima (5) dan sepuluh (10) tan telah digunakan bagi jelajah PJRB di kawasan terpilih seluruh negeri Perak. Sehingga kini, PJRB telah menjangkau rakyat Malaysia MADANI di bandar, di pinggir bandar dan di luar bandar meliputi 575 lokasi di seluruh negara.

Jumlah PJR dan PJRB pula telah dilaksanakan di 1,748 lokasi atau 7 lokasi setiap parlimen sejak ianya diperkenalkan pada Januari 2023. Terdapat tiga (3) model Program Jualan RAHMAH iaitu dalam premis, luar premis, dan bergerak (mobile).

PJRB atau #KedaiCariRakyat terbukti dapat memberi kesan yang positif dalam usaha untuk meringankan kos sara hidup dan kini telah menjangkau di semua peringkat termasuk kawasan yang tiada pasar raya atau pasar raya besar.

Pada acara yang sama juga, YB Senator Puan Hajah Fuziah binti Salleh turut menyempurnakan Majlis Perasmian Aduan Suri Peringkat Negeri Perak. Fokus utama Aduan Suri adalah kepada suri rumah tangga yang sering berurusan dengan pembelian barang keperluan secara harian dan sering berdepan dengan masalah kenaikan harga dan kekurangan bekalan.

Pendekatan program ini adalah selaras dengan hasrat Kementerian dalam membentuk komuniti suri rumahtangga supaya dapat menjadi mata dan telinga serta rakan strategik Kementerian dalam memberikan maklumat lapangan di seluruh Malaysia. Selain itu, Aduan Suri juga bertujuan menggalakkan para suri 3 rumah untuk bertindak dan berdaya upaya dalam memperkasakan hak-hak sebagai pengguna.

Melalui inisiatif baharu dalam Aduan Suri, golongan suri rumah tangga dapat membuat aduan kepenggunaan melalui aplikasi Kod QR WhatsApp. Melalui mekanisme ini, pengadu hanya perlu mengimbas Kod QR tersebut dan ianya akan terus disalurkan ke aplikasi Whatsapp aduan KPDN. Melalui kemudahan ini, besar hasrat Kementerian agar pengguna dapat memanfaatkan semua saluran aduan yang disediakan serta dapat membantu Kerajaan dalam membanteras salah laku peniaga atau sebarang pelanggaran terhadap undang[1]undang di bawah seliaan KPDN.

Sejak Aduan Suri dilancarkan pada 12 Januari 2023 sehingga 31 Ogos 2023, sejumlah 9,908 aduan melalui Aduan Suri telah diterima oleh Kementerian dengan kategori berkaitan transaksi dalam talian adalah yang tertinggi iaitu sebanyak 3,028 aduan, diikuti dengan aduan berkaitan harga sebanyak 2,473 aduan, perkhidmatan yang mengelirukan sebanyak 1,555 aduan dan selebihnya bagi pelbagai kategori iaitu sebanyak 2,852 aduan.

Bagi negeri Perak, sebanyak 423 aduan melalui Aduan Suri telah diterima. Kategori aduan tertinggi melalui Aduan Suri adalah berkaitan transaksi dalam talian iaitu sebanyak 181 aduan, diikuti dengan aduan berkaitan harga sebanyak 97 aduan dan perkhidmatan mengelirukan sebanyak 52 aduan dan selebihnya bagi pelbagai kategori iaitu sebanyak 93 aduan.

Pengguna terutama golongan suri rumahtangga yang prihatin boleh melaporkan sebarang ketidakpatuhan peniaga melalui pelbagai saluran aduan rasmi KPDN seperti berikut:

i. Kod QR Aduan Suri;

QR

ii. WhatsApp 019-279 4317 / 019-848 8000;

iii. Portal e-Aduan KPDN iaitu http://eaduan.kpdn.gov.my;

iv. Call Centre 1-800-886-800;

v. E-mel ([email protected]);

vi. Aplikasi Telefon Pintar Ez ADU KPDN;

vii. Bilik Gerakan Penguatkuasaan 03-8882 6088 / 6245.

Peniaga diingatkan agar tidak meletakkan pembelian bersyarat ke atas apa jua jualan barangan kawalan kepada pembeli. Sebagai contoh, sekiranya pengguna ingin membeli barangan kawalan, peniaga meminta pengguna membeli barangan lain terlebih dahulu sebelum dapat membeli barangan kawalan.

Tindakan tegas telah diambil dengan penghasilan kes di dua (2) buah negeri iaitu Perak dan Kelantan kerana mengenakan pembelian bersyarat bagi pembelian barangan kawalan iaitu gula dan minyak masak. Sejumlah tujuh (7) kes telah dihasilkan dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961. Sekiranya disabitkan dengan kesalahan di bawah Akta ini boleh dikenakan penalti seperti berikut:

(i) Bagi mana-mana orang perseorangan; didenda tidak melebihi RM1 juta (satu juta ringgit) atau penjara tidak melebihi tiga (3) tahun atau kedua-duanya sekali.

(ii) Bagi pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi RM2 juta (dua juta ringgit) dan bagi kesalahan yang kedua didenda tidak melebihi RM5 juta (lima juta ringgit).

Penyerahan sumbangan Bakul RAHMAH juga turut diadakan dengan nilai keseluruhan berjumlah RM2,500 ribu yang terdiri daripada barangan keperluan asas makanan. Sumbangan ini diberikan kepada 50 penerima dari kalangan kurang berkemampuan di sekitar kawasan DUN Teja. Untuk makluman, Bakul RAHMAH ini disumbangkan oleh YB Sandrea Ng Shy Ching, ADUN Teja.

KPDN berharap agar pengguna dapat memanfaatkan saluran aduan kepenggunaan yang disediakan oleh pihak Kementerian dalam membantu pihak kerajaan dalam membanteras salah laku peniaga atau perkara yang menyalahi undang-undang di bawah kawalan Kementerian. Sekaligus, membentuk masyarakat Malaysia yang mampu bertindak dan berdaya upaya dalam memperkasakan hak-hak mereka sendiri.

Pada masa yang sama, KPDN akan terus komited untuk memastikan seluruh warga Malaysia MADANI dilindungi dan tidak terbeban dengan peningkatan kos sara hidup dalam situasi yang mencabar dan tidak menentu yang melanda seluruh dunia pada hari ini.

Leave a Comment