Tugas Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) tidak terbatas hanya kepada pengurusan aset dan pelaburan milik Kerajaan Negeri Selangor, tetapi juga melibatkan peranan strategik sebagai wakil kerajaan dalam aktiviti perniagaan di luar bidang kuasanya.
Encik Azri, Ketua Yayasan MBI Selangor, menegaskan komitmen teguh MBI Selangor dalam mempromosikan dan menyokong pembangunan negeri Selangor. Beliau juga menekankan dedikasi yayasan dalam melaksanakan tanggungjawab sosial demi kesejahteraan masyarakat.
“Platform Selangor (PLATS) merupakan inisiatif terkini Kerajaan Negeri Selangor yang bertujuan untuk mengubah peniaga mikro, seperti penjaja dan peruncit kecil, ke era digital. Ia tidak hanya menyediakan platform promosi, tetapi juga menjadi direktori digital yang memudahkan mereka mengatasi cabaran ekonomi semasa yang dipengaruhi oleh pandemik COVID-19.
“Beberapa inisiatif diteruskan dengan mewujudkan direktori digital dengan pembentukan Rakan Digital Selangor bagi membantu peniaga mikro dalam aktiviti promosi melalui saluran media digital dan sosial pada tahun 2021”, ujarnya ktika di temui media dalam majlis Malam Anugerah Platform Selangor (MAPS) 2024 yang telah berlangsung di Sunway Hotel & Resorts di Subang Jaya pada 12 Julai lalu.
“Meskipun pinjaman yang kita berikan tidak begitu besar, iaitu hanya RM3000. Kita percaya dengan modal permulaan itu, mereka mampu membuat inovasi terhadap diri sendiri sekaligus menganjak jati diri untuk terus berusaha dan berdaya saing agar terus maju”.
Pada saat ini lebih daripada 20,000 peniaga mikro di Selangor kini telah meraih manfaat daripada PLATS, dan lebih daripada 1,000 peluang pekerjaan telah tercipta untuk kumpulan B40 melalui inisiatif PLATS Rakan Digital Selangor (RDS).
“MAPS 2024 yang di anjurkan adalah untuk meraikan 12 peserta telah dipilih untuk menjadi peserta terbaik berdasarkan pencapaian mereka sepanjang menjalani Program Latihan Pembangunan Usahawan PLATS (U-PLATS Digital) mewakili 12 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)”
“MAPS 2024 bukan sahaja menjadi platform untuk mengiktiraf pencapaian peserta PLATS tetapi juga sebagai sumber inspirasi kepada mereka untuk terus maju dan berjaya dalam bidang keusahawanan terutamanya usahawan mikro Selangor pada masa hadapan”. jelasnya.
MBI Selangor yakin inisiatif PLATS ini merupakan usaha progresif dan pemangkin kepada ekonomi digital di Selangor sekali gus menjadi penyumbang kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.
PLATS telah menarik minat 37,018 peniaga hingga 31 Jun 2024, menjadikan kejayaan program ini semakin jelas. Kolaborasi dengan 12 PBT di Selangor dan Selangor Youth Community (SAY) telah menghasilkan inisiatif berjaya seperti PLATS Masuk Pasar (PMP), PLATS Masuk Bazar semasa Ramadan, dan Program U-PLATS Digital.