JAMINAN KEBERADAAN BEKALAN AYAM DAN TELUR AYAM DI PASARAN

Menjelang Ramadan dan Aidilfitri, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi tumpuan untuk membantu rakyat Malaysia MADANI dalam mengurangkan tekanan akibat kos sara hidup dan menyelesaikan masalah kenaikan harga.

Selain pelbagai Inisiatif di bawah Payung RAHMAH, turut diteruskan oleh Kerajaan adalah dengan mengawal dan menetapkan harga maksimum bagi ayam dan telur ayam sepanjang bulan Ramadan dan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Berdasarkan statistik penguatkuasaan berhubung pelaksanaan Penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur Ayam, Kementerian telah melakukan 183,047 pemeriksaan dan menghasilkan 2,711 kes di seluruh Negara. Antara kesalahan yang dikesan adalah menjual melebihi harga kawalan, kegagalan mematuhi penandaan harga serta kesalahan lain. Nilai kompaun yang dihasilkan adalah berjumlah RM 482,400.00.

Pihak Kementerian juga telah mengadakan sesi libat urus bersama Kementerian Kewangan (MoF), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS), Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) serta pihak pengeluar yang diwakili Persekutuan Persatuan Penternak- 2 Penternak Malaysia (FLFAM) bagi memastikan isu bekalan dan harga ayam dan telur ayam dapat ditangani secara holistik.

Pihak pengeluar menerusi FLFAM juga telah memberi jaminan bahawa bekalan ayam dan telur ayam adalah mencukupi sepanjang bulan Ramadan dan menjelang musim perayaan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Pihak pengeluar juga telah menyatakan komitmen bahawa mereka akan bekerjasama dengan pihak Kementerian bagi menangani sebarang isu gangguan bekalan ayam dan telur ayam di dalam Negara dengan menyalurkan segera bekalan ke atas mana-mana lokaliti yang mengalami gangguan.

KPDN akan giat melaksanakan pemeriksaan dan pemantauan di seluruh Negara serta menggalakkan pengguna untuk menjadi mata dan telinga kepada Kerajaan dengan menyalurkan maklumat serta aduan yang lengkap berhubung ketidakpatuhan ke atas undang-undang yang dikuatkuasakan oleh Kementerian terutamanya berhubung isu kekurangan bekalan atau ketidakpatuhan ke atas harga maksimum ayam dan telur ayam melalui saluran berikut:

  1. WhatsApp 019-279 4317 / 019-848 8000;
  2. Portal e-Aduan KPDN iaitu http://e.aduan.kpdn.gov.my;
  3. Call Centre 1-800-886-800;
  4. E-mel ([email protected]);
  5. Aplikasi Telefon Pintar Ez ADU KPDN; dan
  6. Bilik Gerakan Penguatkuasaan 03-8882 6088 / 6245

Leave a Comment