FM Group, melalui program Precious Of Malaysia, menguji kreativiti pereka fesyen muda dengan mengadakan International Cultural Fashion Week (ICFW) di Tun Razak Exchange (TRX), Kuala Lumpur dari 2 hingga 4 Ogos ini.
Jonathan dan Farel Mikhail, sebagai penganjur acara, memberi peluang kepada pereka muda untuk menonjolkan rekaan mereka dalam pertandingan ini.
ICFW merupakan salah satu inisiatif tahun ketiga yang bertujuan mendorong pereka fesyen berbakat untuk mencapai impian mereka sebagai pereka tersohor di masa hadapan. FM Group menekankan pentingnya kreativiti yang relevan dengan tren semasa tanpa melanggar batas-batas budaya.
Mereka menasihati pereka fesyen agar tidak ‘melacurkan’ budaya dengan mencipta rekaan yang dapat menimbulkan persepsi negatif. Contohnya, memodifikasi baju Melayu dengan memperlihatkan bahagian tubuh yang sepatutnya tidak ditonjolkan atau menggunakan tanjak sebagai aksesori yang tidak pantas.
Farel menyatakan bahawa pengetahuan mendalam mengenai adat istiadat budaya sangat penting dalam industri fesyen. ICFW bukan hanya sebagai platform untuk menunjukkan bakat tetapi juga untuk mempromosikan penghargaan terhadap warisan budaya yang kaya dan berharga.
Pertandingan ini juga melibatkan pereka dari negara-negara serantau, menunjukkan keragaman budaya melalui fesyen tradisional dan kontemporari.
FM Group berharap agar acara ini menjadi titik tolak bagi pereka muda untuk melangkah lebih jauh dalam bidang fesyen, menghormati serta menghargai identiti budaya masing-masing dengan penuh penghargaan dan kehormatan.
“Dua tahun berturut-turut kami libatkan pereka fesyen tempatan sahaja. Kelainan untuk tahun ini kami turut menerima penyertaan dari negara-negara serantau iaitu Indonesia, Filipina, Thailand dan India.
“Menerusi pertandingan ini, kita dapat lihat pelbagai budaya yang dibawakan menerusi fesyen dari Malaysia dan negara luar.
“Untuk Malaysia, kami nak ketengahkan elemen Malaysia seperti batik, songket tenun atau pun apa-apa tradisi. Dalam masa yang sama, rekaan kontemporari atau gabungan tradisional danmoden pun dibenarkan.
“Pertandingan yang berkonsepkan tradisional kali ini agak mencabar kerana melibatkan pereka fesyen dalam dan luar negara,” tambahnya.
Pertandingan ini melibatkan melibatkan 10 kategori iaitu Best Collection, ASIAN Emerging Fashion Designer, Most Talented Fashion Designer, Up Coming Fashion Designer, Promising Fashion Designer, Best Showcase, Best Cultural Inspiration, Up Lifting Traditional Design, Excellent Fashion Designer dan Best Model Catwalk.
Antara penaja yang turut serta dalam Precious Of Malaysia adalah Affin Bank Berhad, Pavilion Damansara Heights, Vivo, MyCar dan banyak lagi.
Selain ICFW, Precious Of Malaysia juga akan menganjurkan Hari Tanjak Malaysia bersempena bulan kemerdekaan Ogos ini dan Hari Malaysia pada 16 September 2024.
Hari Tanjak Malaysia yang akan diadakan pada 10 Ogos ini di Pavilion Damansara heights mensasarkan 1000 orang hadir memakai tanjak pada hari tersebut. Sempena acara ini, turut dianjurkan pameran dan booth bermula 5 hingga 11 Ogos.