FESTIVAL PERMAINAN MALAYSIA @ KUALA LUMPUR KEMBALI LAGI!

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKKN WPKL) dengan Kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Persatuan Sukan Tradisional Malaysia mengadakan Festival Permainan Malaysia @ Kuala Lumpur 2023 (FPM@KL) 2023 yang berlangsung pada 15 hingga 17 September 2023 (Jumaat-Ahad) bertempat di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Festival Permainan Malaysia @ Kuala Lumpur 2023 atau ringkasnya FPM@KL 2023 merupakan salah satu program dibawah Kalender Pelancongan Budaya yang diadakan setiap tahun bagi mengetengahkan keunikan seni budaya negeri. Program yang telah memasuki lapan (8) tahun penganjurannya ini mengadakan pelbagai aktiviti dan pengisian menarik seperti pertandingan permainan tradisional, permainan interaktif, pemeran dan demonstrasi, persembahan serta jualan.

Selain itu, bagi penglibatan orang ramai turut diadakan ialah Permainan Lagenda Rakyat seperti terompah gergasi, susun bata, kaki hantu, kereta sorong, lari dalam guni berkembar, tarik upih pinang, kelereng, tuju tin, bola beracun dan raja dijulang.

Sepanjang penganjuran program ini sejak tahun 2015, MOTAC telah memperuntukkan sebanyak RM 709,106.00 bagi membiayai pelaksanaan festival ini. Hasil daripada festival ini melibatkan kehadiran khalayak melebihi 200,000 orang telah dicatatkan dan pulangan pendapatan atau Return Of Investment (ROI) melebihi RM 1.5 juta telah direkodkan.

YBrs.Encik Mohd Yusri bin Mohd Yusoff, Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya berkata, sehingga bulan Ogos tahun 2023, sebanyak 28 jenis permainan tradisional masyarakat Malaysia telah diisytiharkan sebagai Warisan Kebangsaan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645) melalui Majlis Perisytiharan Warisan Kebangsaan Permainan tradisional yang berkenaan termasuk baling tin/baling selipar, guli, lastik, lumba kerbau, wau tradisi Malaysia dan lain-lain lagi.

Melalui Festival ini, MOTAC berharap supaya banyak lagi objek-objek warisan seni budaya seperti permainan tradisional semua kaum di Malaysia dapat dicungkil, dibangunkan dan diberikan pengiktirafan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, supaya permainan tradisional, khasnya permainan-permainan tradisional yang hampir pupus, contohnya kuit, rebut negeri dan lain-lain lagi tidak pupus ditelan zaman.

Beliau berharap MOTAC, Jabatan Warisan Negara (JWN) dan JKKN juga mengambil Tindakan inisiatif yang lebih bersrategik, kreatif dan efektif, bekerjasama dengan NGO permainan tradisional dan masyarakat yang berbilang kaum mengadakan ‘Peraduan Mencungkil Harta Karun’, Pameran Khas atau konvoi kembara, bagi mencungkil, mengintegrasikan, mendigitalkan dan merancakkan promosi serta komersialisasi supaya permainan tradisional ini dapat dijadikan sebagai salah satu produk budaya dan kreatif, dan dijadikan satu permainan E-Sukan Malaysia yang unik, sekaligus menarik minat pelancong asing dan pelancong domestic serta generasi baharu.

Permainan tradisional merupakan khazanah negara yang sangat bernilai, jadi marilah kita bersama-sama berusaha untuk mempopularkan dan menarik minat semua golongan, khasnya generasi baharu untuk terus menghargai permainan tradisional hari ini. Dalam masa sama, menjadikan Kuala Lumpur bukan sahaja sebagai bandaraya moden yang kaya dengan pelbagai kegiatan ekonomi, malahan juga mempunyai fenomena seni, budaya dan pelancongan yang unik dan menarik.

Turut hadir sama dalam Majlis Perasmian FPM@KL pada hari ini ialah YBhg. Datuk Sr. Hj. Kamarulzaman bin Mat Salleh, Datuk Bandar Kuala Lumpur.

Maklumat dan keterangan lanjut mengenai program ini, orang ramai boleh melayari laman sesawang JKKN iaitu www.jkkn.gov.my ataupun boleh layari facebook JKKN melalui pautan www.facebook.com/mysenibudaya.

 

Penafian! – Artikel yang disiarkan dan dikongsi di laman web MyPermohonan serta artikel berkaitan dengan "FESTIVAL PERMAINAN MALAYSIA @ KUALA LUMPUR KEMBALI LAGI!" adalah ringkasan daripada sumber asal. Pihak kami tiada kaitan dengan agensi kerajaan, syarikat ataupun pengeluar posting asal. Untuk maklumat lanjut sila ke halaman Penafian.

Leave a Comment