Lagu ciptaan komposer dari Indonesia Ade Govinda itu turut melakar sejarah tersendiri apabila menduduki carta teratas di stesen radio tempatan dan Indonesia selain ‘trending’ di laman sosial dan nyanyian penyanyi terkenal Malaysia Ernie Zakri, terus mendapat sambutan hangat bukan saja dalam negara, tapi juga di luar negara.
Terkini, Ernie Zakri telah merakamkan lagu Masing Masing dalam versi tradisional. Ernie berkata, versi baharu itu memberikan pengalaman yang berbeza buat dirinya apatah lagi ini pertama kali beliau merakamkan lagu versi tradisional.
“Terasa berbeza kerana ini kali pertama saya merakamkan genre tradisional. Apa boleh dikatakan, ia adalah proses yang tidak susah sebenarnya kerana sejak pertama kali saya dengar muzik Masing Masing versi instrumental yang dibuat khas sempena majlis pelancaran album Aura dan pelantikan duta tudung Ayuwan pada November lalu, saya terus jatuh cinta dan bersetuju jika ia dijadikan juga sebagai versi lain.
“Saya harap ramai dapat menikmati lagu ini sebagaimana mereka mendengarkan lagu-lagu lain. Ramai peminat minta kami untuk rakam bahagian vokal, saya fikir ini juga menjadi peluang terbaik untuk saya memanjangkan tempoh untuk mempromosikan lagu Masing Masing.
“Namun, apa boleh dikatakan Masing Masing versi tradisional ini sangat berbeza sentuhannya. Versi ini adalah hasil idea dan susun semula daripada Encik Feros dan juga komposer Amy Bong. Saya mengharapkan agar usaha kami untuk tampil dengan sedikit kelainan membuka ruang baharu untuk saya dan rakan-rakan penyanyi lain supaya boleh menghasilkan lebih banyak lagu irama tradisional dan saya fikir kena bermula sekarang,” katanya.
Menurutnya, Masing Masing versi tradisional mendapat maklum balas positif daripada peminat. “Setakat apa yang sudah dikeluarkan untuk teaser, ramai orang suka. Orang sudah boleh jangka sebab mereka sudah tahu versi asal. Perasaan sedih itu akan lebih dirasai sebab versi tradisional lebih mendayu,” katanya.
Sementara itu, Ade Govinda turut memuji mengenai lagu Masing Masing versi tradisional. “Pertama kali Encik Feros memperdengarkan kepada saya Masing Masing versi tradisional ini, saya sangat terkejut sebab tempo lagu ini menjadi lambat. Dengan itu, ia boleh ditambah baik dan menjadikan lagu ini lebih berbunyi Melayu, malah lebih ‘deep soul’ lagi.
“Semoga versi lagu ini lebih dikenali dan dapat dipersembahkan pada acara tradisional. Saya sangat menyukai Masing Masing dalam versi ini,” katanya.
Menurut Amy Bong yang juga ‘rearranger’ untuk lagu Masing Masing versi tradisional, susunan lagu itu sudah dibincang antara Feros dan Ade Govinda bagi memberi kelainan kepada kerjaya nyanyian Ernie.
“Kami tahu Ernie berkebolehan menyanyi banyak genre muzik dan banyak mendengar rujukan dari media sosial serta nyanyiannya secara langsung. Irama tradisional Ernie memang hebat, jadi tak salah jika kita angkat semula irama ini dan boleh berikan warna berbeza dalam industri muzik. Sekarang banyak lagu-lagu rancak dan irama tradisional kurang diangkat, jadi disebabkan itu juga kami buat,” katanya.
Video muzik rasmi lagu ini sudah mencecah 6.6 juta tontonan. Malah, lagu ini juga mengekalkan kedudukan nombor 1 di carta RIM semalam empat minggu.
Tanggal 24th Mei 2024, Lagu Masing Masing (Versi Traditional) bagi lirik video telah ditayangkan secara eksklusif di saluran YouTube rasmi Ernie Zakri serta boleh didengari di semua digital platform seperti Spotify, Apple Music, dan YouTube Music.