Author: Destina Asia

  • HARGA RUNCIT MINYAK MASAK SAWIT TULEN KEMASAN BOTOL KEKAL

    HARGA RUNCIT MINYAK MASAK SAWIT TULEN KEMASAN BOTOL KEKAL

    Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) ingin memaklumkan kepada orang ramai tentang komitmen kerajaan untuk terus membantu orang ramai dalam mengurangkan kos sara hidup dan menangani masalah kenaikan harga bagi melindungi pengguna dan memastikan sambutan perayaan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri tidak terjejas dengan sebarang isu melibatkan kenaikan harga yang melampau.

    Selain pelbagai inisiatif di bawah Payung RAHMAH, turut diteruskan adalah peranan Kerajaan menerusi KPDN yang menetapkan Harga Runcit Maksimum bagi minyak masak tulen kemasan botol bawah Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Maksimum) (No.5) 2023.

    Secara umumnya, terdapat kenaikan harga minyak sawit mentah (crude palm oil) untuk bulan Mac berbanding bulan sebelumnya yang telah melepasi RM4,000.00 per tan metrik. Purata harga Minyak Sawit Mentah untuk bulan Mac 2023 adalah RM 4,139 per tan matrik berbanding RM 3,908 per tan matrik pada bulan Februari 2023. Kenaikan ini sekaligus akan menyebabkan berlakunya kenaikan harga runcit minyak masak tulen kemasan botol berdasarkan kepada konsep harga siling bergerak. Walau 2 bagaimanapun, bagi mengelakkan bebanan kepada rakyat dan pengguna, Kerajaan dan industri bersetuju untuk mengekalkan harga runcit minyak masak sawit tulen untuk tempoh 8 April 2023 hingga 7 Mei 2023.

    Pengekalan harga runcit minyak masak sawit kemasan botol ini melibatkan pembayaran subsidi kepada pengilang-pengilang penapis secara tuntutan bayaran balik (reimbursement) berdasarkan bilangan tuntutan sebenar.

    Mana-mana pihak yang menjual melebihi harga maksima boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti seperti berikut:

    (a) Individu; boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya dan;

    (b) Syarikat; boleh didenda sehingga RM500,000.

    Akhir sekali, KPDN akan meneruskan pemantauan disamping turut menggalakkan pengguna agar menjadi mata dan telinga kepada Kerajaan untuk menyalurkan maklumat berkaitan pelanggaran undang-undang di bawah bidang kuasa KPDN termasuk harga runcit minyak masak sawit tulen di 3 pasaran secara rasmi melalui saluran berikut:

    • Whatsapp ke 019- 279 4317 / 019-848 8000
    • Portal eaduan.kpdn.gov.my
    • Pusat Panggilan 1-800-886-800
    • Emel e-aduan@kpdn.gov.my
    • Ez ADU KPDN
    • Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) 03-8882 6088/6245

  • INISIATIF MENU RAHMAH DIPERLUASKAN BAGI KOMUNITI NON MUSLIM DI JOHOR

    INISIATIF MENU RAHMAH DIPERLUASKAN BAGI KOMUNITI NON MUSLIM DI JOHOR

    Menu RAHMAH tidak halal yang julung kali diadakan peringkat Negeri Johor telah dihoskan hari ini di Jalan Dedap 22, Taman Johor Jaya, Johor Bharu, dan dihadiri oleh Yang Berhormat Datuk Seri Salahuddin Ayub, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

    Seperti yang sedia maklum, Menu RAHMAH merupakan satu inisiatif di bawah Payung RAHMAH yang digerakkan dengan sokongan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersama rakan strategik yang terdiri daripada pengusaha kedai makanan/minuman bermasak dan juga persatuan berkaitan.

    Pelaksanaan Menu RAHMAH bertujuan membantu dan mengurangkan kos sara hidup rakyat terutama golongan berpendapatan rendah untuk mendapatkan makanan bermasak yang seimbang pada harga RM5.00 dan ke bawah. Menu RAHMAH adalah Private Driven Initiative atau inisiatif yang dipelopori oleh pengusaha makanan atau syarikat swasta secara sukarela. Kerajaan tidak menentukan harga, kaedah pelaksanaan, serta bahanbahan bagi Menu RAHMAH yang ditawarkan, asalkan ianya seimbang dengan kandungan protein, karbohidrat dan serat berupa sayur-sayuran..

    Pada hari ini, Inisiatif Menu RAHMAH diperluaskan bagi makanan komuniti bukan beragama islam di Food Street Taman Johor Jaya, Johor Bahru dan inisiatif ini diusahakan oleh Persatuan Peniaga Makanan dan Minuman Taman Johor Jaya. Untuk makluman, terdapat 49 buah kedai 2 yang terlibat dalam menawarkan Menu RAHMAH Non Halal. Antara Menu RAHMAH Non Halal yang ditawarkan adalah seperti makanan laut, kepak ayam, mi sup, burger, lobak putih goreng, manisan dan banyak lagi.

    KPDN juga telah mewujudkan satu portal bagi membolehkan orang ramai mendapatkan maklumat lokasi premis menjual Menu RAHMAH yang berdekatan dan peniaga juga boleh mendaftar penyertaan mereka dengan melayari https://menurahmah.kpdn.gov.my.

    KPDN menyeru lebih ramai lagi pemain industri khususnya industri restoran dan makanan supaya dapat bersama-sama berganding bahu dengan Kerajaan untuk menjayakan aspirasi ini bagi meringankan kos sara hidup rakyat.

    Untuk sebarang pertanyaan lanjut, pihak pemain industri dan orang ramai boleh menghubungi Sekretariat Perdagangan Pengedaran dan Industri Perkhidmatan (SPIP) di talian hotline 03- 8882 5881/ 5905 atau melalui emel kepada spip@kpdn.gov.my.

  • Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan Majlis Tindakan Sara Hidup (NACCOL) Bilangan 2 Tahun 2023

    Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan Majlis Tindakan Sara Hidup (NACCOL) Bilangan 2 Tahun 2023

    Perhimpunan ini susulan Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan Majlis Tindakan Nafkah (NACCOL) Bilangan 1 Tahun 2023, yang berlangsung pada 9 Januari 2023.

    Mesyuarat turut membincangkan secara terperinci dan memperhalusi syor-syor yang dipersetujui termasuklah :
    1. Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) meneliti cadangan menaik taraf Lembaga Pemasaran Pertanian Malaysia (FAMA) sebagai Agensi Sekuriti Makanan;

    2. KPKM juga akan mendayaupayakan FAMA dalam meluaskan jaringan pemasaran dengan menumpukan kepada kawasan kawasan berkepadatan tinggi dan kawasan luar bandar yang kurang akses kepada khidmat peruncitan;

    3. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah menguatkuasakan OPS TIRIS selama enam (6) bulan bermula 1 Mac 2023 sehingga 31 Ogos 2023 dengan tujuan untuk membanteras penyelewengan minyak diesel bersubsidi yang telah menyebabkan kerugian kepada pihak Kerajaan dan mengakibatkan bekalan diesel tidak sampai kepada yang layak

    4. Sehingga 31 Mac 2023, sebanyak 3,424 pemeriksaan telah dilakukan di seluruh negara yang melibatkan 92 kes dengan jumlah 88 tangkapan serta nilai rampasan sebanyak RM3.02 juta yang melibatkan 41 kes serahan.

    5. Salah satu inisiatif untuk menangani ketirisan diesel bersubsidi yang dipersetujui di dalam mesyuarat tadi adalah dengan perluasan stesen minyak tanpa subsidi secara berfasa di kawasan sempadan negara seperti:

    i. Kelantan – Rantau Panjang dan Bukit Bunga (Jeli)
    ii. Sarawak – Tebedu, Ba’Kalan dan Lundu
    iii. Perak – Pengkalan Hulu
    iv. Johor – Tambak Johor dan Second Link
    v. Perlis – Padang Besar dan Wang Kelian
    vi. Kedah – Bukit Kayu Hitam

    Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) juga telah memperkenalkan Program Payung RAHMAH bagi membantu kumpulan miskin tegar B10 (pendapatan kurang daripada RM2,500 sebulan) dan golongan kurang berkemampuan untuk mendapatkan bantuan makanan dan barangan keperluan asas. Program Payung RAHMAH yang dilaksanakan ini juga dapat menarik tarikan pengunjung atau pembeli yang secara tidak langsung akan dapat membantu jualan peniaga;

    Inisiatif Payung RAHMAH juga merupakan hala tuju baharu yang dilaksanakan kerana ianya tidak melibatkan subsidi secara langsung daripada Kerajaan sebaliknya Kerajaan menumpukan kepada intervensi dasar bagi membantu operasi peniaga untuk terus kekal lestari;


    Sehingga 1 April 2023, terdapat sebanyak 1,706 pengusaha Restoran/ Kedai Makan di seluruh negara telah melaksanakan Program Menu RAHMAH yang memberikan manfaat penjimatan serta membantu meringankan bebanan kos sara hidup rakyat melalui menu yang ditawarkan.

    Tambahan itu, bersempena dengan bulan Ramadan serta Aidilfitri yang bakal disambut tidak lama lagi, suka juga ingin saya umumkan berkenaan beberapa inisiatif baharu RAHMAH yang pada asalnya bermula dengan Menu RAHMAH kini telah diperluaskan kepada barangan seperti tekstil dan akan dikembangkan kepada perkhidmatan seperti insurans seperti berikut:

    i. Bazar Ramadan RAHMAH di 38 lokasi yang menawarkan menu berbuka puasa pada kadar harga Menu RAHMAH;
    ii. Baju Raya RAHMAH sebagai usaha membantu golongan memerlukan menghadapi persediaan menyambut perayaan Aidilfitri; dan
    iii. Insurans RAHMAH bagi memberi kemudahan perlindungan pada kadar yang lebih berpatutan untuk rakyat

    Suka juga saya maklumkan bahawa Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan ini akan bermesyuarat sebula sekali bagi melihat keberkesanan semua program yang dicadangkan dalam Mesyuarat NACCOL.

  • SESI WALKABOUT YB TIMBALAN MENTERI KPDN DI BAZAR RAMADAN RAHMAH (BRR) WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR

    Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Senator Puan Hajah Fuziah binti Salleh, menganjurkan sesi walkabout hari ini di Bazar Ramadan RAHMAH (BRR), Lorong Tuanku Abdul Rahmah, Kuala Lumpur.

    Bazar Ramadan RAHMAH (BRR) adalah inisiatif terbaru Kerajaan dalam mengurangkan kos sara hidup rakyat dengan menyediakan pilihan hidangan untuk berbuka puasa pada harga murah dan berpatutan. Ini termasuklah dengan menggalakkan peniaga bagi menyediakan kepelbagaian konsep penyediaan makanan atau produk yang seimbang berteraskan Menu RAHMAH kepada pengunjung yang datang ke Bazar Ramadan pada tahun ini.

    Antara kriteria BRR adalah sebahagian peniaga menawarkan Menu RAHMAH, lokasi yang menjadi tempat tumpuan rakyat dan menggalakkan kadar sewa RAHMAH serta berpatutan kepada peniaga berdasarkan lokaliti. Inisiatif BRR ini dilaksanakan secara kerjasama strategik di antara KPDN dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tanpa melibatkan sebarang implikasi kos kepada Kerajaan.

    Sehingga kini, sebanyak 38 lokasi sedang melaksanakan BRR di seluruh negara termasuklah 3 lokasi BRR yang dilaksanakan bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam menyantuni rakyat di sekitar Kuala Lumpur sepanjang bulan Ramadan ini. 3 lokasi BRR di sekitar WP Kuala Lumpur yang menyertai inisiatif ini iaitu di Lorong Tuanku Abdul Rahman, Tempat Letak Kereta Lorong TAR Lot 4, dan di 2 Jalan Raja (Hadapan Gereja). Untuk makluman, jumlah keseluruhan peniaga yang beroperasi bagi 3 lokasi BRR ini adalah 41 peniaga dan kesemuanya menawarkan Menu RAHMAH.

    Pada masa yang sama, KPDN juga meneruskan perluasan Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (Retail Digitalisation Inisiative – ReDI) dengan pemberian Insentif e-tunai kepada pengguna/ peniaga dalam bentuk e-wallet dengan kerjasama penyedia e-wallet di BRR tersebut tertakluk kepada 500 pengguna terawal.

    KPDN WP Kuala Lumpur merakamkan setinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat terutamanya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Persatuan Usahawan Food Truck Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta Persatuan Food Truck Kawasan Masjid India di atas komitmen yang mampan sepanjang menjayakan Inisiatif BRR dan ReDI ini bagi membantu golongan yang memerlukan dalam meringankan beban kos sara hidup mereka di Kuala Lumpur di samping meningkatkan pendapatan para peniaga di sini.

  • JAMINAN KEBERADAAN BEKALAN AYAM DAN TELUR AYAM DI PASARAN

    Menjelang Ramadan dan Aidilfitri, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi tumpuan untuk membantu rakyat Malaysia MADANI dalam mengurangkan tekanan akibat kos sara hidup dan menyelesaikan masalah kenaikan harga.

    Selain pelbagai Inisiatif di bawah Payung RAHMAH, turut diteruskan oleh Kerajaan adalah dengan mengawal dan menetapkan harga maksimum bagi ayam dan telur ayam sepanjang bulan Ramadan dan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

    Berdasarkan statistik penguatkuasaan berhubung pelaksanaan Penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur Ayam, Kementerian telah melakukan 183,047 pemeriksaan dan menghasilkan 2,711 kes di seluruh Negara. Antara kesalahan yang dikesan adalah menjual melebihi harga kawalan, kegagalan mematuhi penandaan harga serta kesalahan lain. Nilai kompaun yang dihasilkan adalah berjumlah RM 482,400.00.

    Pihak Kementerian juga telah mengadakan sesi libat urus bersama Kementerian Kewangan (MoF), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS), Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) serta pihak pengeluar yang diwakili Persekutuan Persatuan Penternak- 2 Penternak Malaysia (FLFAM) bagi memastikan isu bekalan dan harga ayam dan telur ayam dapat ditangani secara holistik.

    Pihak pengeluar menerusi FLFAM juga telah memberi jaminan bahawa bekalan ayam dan telur ayam adalah mencukupi sepanjang bulan Ramadan dan menjelang musim perayaan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

    Pihak pengeluar juga telah menyatakan komitmen bahawa mereka akan bekerjasama dengan pihak Kementerian bagi menangani sebarang isu gangguan bekalan ayam dan telur ayam di dalam Negara dengan menyalurkan segera bekalan ke atas mana-mana lokaliti yang mengalami gangguan.

    KPDN akan giat melaksanakan pemeriksaan dan pemantauan di seluruh Negara serta menggalakkan pengguna untuk menjadi mata dan telinga kepada Kerajaan dengan menyalurkan maklumat serta aduan yang lengkap berhubung ketidakpatuhan ke atas undang-undang yang dikuatkuasakan oleh Kementerian terutamanya berhubung isu kekurangan bekalan atau ketidakpatuhan ke atas harga maksimum ayam dan telur ayam melalui saluran berikut:

    1. WhatsApp 019-279 4317 / 019-848 8000;
    2. Portal e-Aduan KPDN iaitu http://e.aduan.kpdn.gov.my;
    3. Call Centre 1-800-886-800;
    4. E-mel (e-aduan@kpdn.gov.my);
    5. Aplikasi Telefon Pintar Ez ADU KPDN; dan
    6. Bilik Gerakan Penguatkuasaan 03-8882 6088 / 6245