Aktor berkaliber Zahiril Adzim kini kembali hangat menghiasi kaca televisyen dengan lakonan-lakonan hebat yang membuat peminat tidak boleh meninggalkan walau satu babak pun untuk menonton aksi yang dimainkan.
Terbaharu, Zahiril membuat penonton tertunggu-tunggu apa sahaja aksi yang akan dipertontonkan menerusi watak Uzzam di dalam drama Mutiara Dalam Debuan Kabus bersama rakan aktres Emma Maembong.

Sejak episod satu ditayangkan bermula 6 Oktober lalu menerusi slot MegaDRAMA di saluran Astro RIA pada pukul 10 malam hari Isnin hingga Khamis, Uzzam tampil dengan karakter seorang lelaki yang sarkastik, garang dan pemarah terhadap pasangannya, Aslin (Emma Maembong).
Hal ini membuatkan dirinya dilabelkan sebagai lelaki red flags. “Red flags” adalah istilah yang digunakan untuk menggambarkan lelaki yang menunjukkan tingkah laku atau ciri-ciri yang menandakan hubungan yang tidak sihat, toksik, atau berpotensi membahayakan bagi diri pasangannya.
Bercakap mengenai komitmen dalam drama 24 episod yang menampilkan dirinya seperti lelaki red flags, Zahiril mengatakan sikap kejam itu terpaksa ‘dikeluarkan’ kerana berdepan dengan kejahatan pasangannya.
“Dia sebenarnya nampak macam red flags tapi apa yang dilakukan adalah perkara yang sepatutnya dia buat kepada Aslin. Dia buat kerana kejahatan Aslin yang patut dibalas begitu. Uzzam bangkit dan lawan!” ujar Zahiril.
Malah Zahiril juga mengatakan sikap red flags yang ada dalam diri Uzzam sangat bertentangan dengan dirinya.
“Saya rasa Uzzam sangat berjauhan dengan diri saya. Saya susah nak marah. Marah macam mana pun, tinggi suara macam tu je marah.
“Kalau betul-betul melampaui tahap kesabaran yang saya tak tahu tahap mana. Saya diberitahu supaya tak marah.
“Sebab kalau saya meletup, bahaya. Saya dipesan dan pernah dipesan, orang macam saya jangan marah. Efek nanti kena pada diri saya sendiri.
“Tapi karakter saya pula jenis yang marah-marah, tegas dan sangat garang. Jadi saya kena garang dalam cerita ini. Hakikatnya saya tidak begini dan tidak pernah membawa watak red flags ini ke rumah kerana di rumah saya ada penyejuk hati,” jelas Zahiril.
Selain harus membawa watak lelaki red flags, Zahiril mengaku cabaran lain yang perlu dipenuhi adalah melafazkan dialog yang cukup panjang dan banyak.
“Hampir kesemua scene dalam 99.9 peratus mempunyai dialog panjang-panjang. Semuanya kena hafal. Kena deliver setiap scene macam tak lari tiga hingga empat muka surat. Hari-hari kita ada 18-19 scene. Semua panjang-panjang.
“Cerita ni banyak dialog dan merupakan sesuatu yang agak baru untuk saya,” katanya lagi.
Untuk mengetahui lebih lanjut tentang Mutiara Dalam Debuan Kabus yang diterbitkan oleh SR One Sdn Bhd, jangan terlepas menontonnya setiap Isnin hingga Khamis pukul 10 malam di saluran Astro RIA.

