Rumah Produksi Merah Sdn. Bhd. dengan bangganya mengumumkan penganjuran Konsert WINGS 40 Tahun: 4 Dekad Terbang Tinggi, yang bakal berlangsung pada 28 November 2025 di IDEA LIVE Arena, 3 Damansara. Konsert ini merupakan hadiah istimewa buat para peminat setia WINGS sempena ulang tahun ke-40 kumpulan lagenda rock tanah air ini dalam industri muzik. Menurut vokalis WINGS, Dato’ Awie, konsert kali ini akan tampil dengan kelainan berbanding persembahan mereka sebelum ini, dan dijanjikan bakal meninggalkan memori manis kepada para penonton. Konsep dan butiran penuh konsert akan diumumkan dalam sidang media rasmi yang akan datang.

Menurut Dato’ Eddy Amir, Pengarah Urusan Rumah Produksi Merah Sdn. Bhd. (RPM), setiap pembeli tiket akan menerima barangan eksklusif sebagai door gift mengikut kategori tiket masing-masing, menjadikannya satu kenangan berharga sempena konsert istimewa ini. Sebanyak 500 tempat pra-pendaftaran telah dibuka bermula 17 Julai 2025 dengan diskaun eksklusif 10%. Dalam tempoh hanya 2 jam, lebih 1,000 pendaftaran telah diterima. Sehingga kini, jumlah pendaftaran telah melebihi 2,000. RPM telah memutuskan untuk melanjutkan diskaun 10% kepada semua yang mendaftar sehingga 20 Julai 2025, jam 11.59 malam, sebagai tanda penghargaan kepada sokongan peminat selama empat dekad.

Pra-pendaftaran biasa tanpa diskaun pula akan dibuka dari 21 Julai 2025 sehingga 24 Julai 2025. Mereka yang mendaftar akan diberi keistimewaan untuk membeli tiket lebih awal daripada jualan umum iaitu pada 25 Julai 2025, jam 11 pagi, sekali gus dapat memilih tempat duduk yang diinginkan, ujar Dato’ Eddy. Tiket konsert akan mula dijual kepada umum pada 30 Julai 2025, jam 11 pagi menerusi platform rpm.uberticket.asia, dengan harga bermula serendah RM240. Selain itu, pembeli juga boleh memilih bayaran ansuran sebanyak dua kali melalui platform Ubertickets.

Konsert WINGS 40 Tahun ini bersifat eksklusif dengan tiada kategori berdiri, dan kapasiti terhad kepada hanya 4,444 tempat duduk sahaja. Hanya individu berumur 12 tahun ke atas dibenarkan masuk ke lokasi konsert bagi memastikan keselesaan dan keselamatan semua penonton. Pihak RPM amat teruja untuk menganjurkan konsert ini buat semua peminat WINGS dari pelbagai lapisan umur. Ia dijangka menjadi sebuah pengalaman yang tidak akan dilupakan, menampilkan persembahan pentas bertaraf antarabangsa, sistem bunyi dan pencahayaan berteknologi tinggi, serta hadiah-hadiah Lucky Draw eksklusif.

Jangan lepaskan sidang media rasmi yang akan datang untuk pengumuman menarik mengenai hadiah-hadiah eksklusif dan konsep penuh konsert. Untuk info lebih lanjut, sila ikuti media sosial rasmi kami di Instagram, Facebook, dan TikTok @rpmevents.

Related Post