Setelah lebih dua dekad berada dalam industri muzik tanah air dengan karya yang sarat mesej dakwah dan positif, kumpulan nasyid kontemporari terkenal UNIC bakal meraikan perjalanan seni mereka melalui sebuah konsert istimewa berjudul This Is UNIC: Live In Concert. Konsert ini akan berlangsung pada 20 Disember 2025 di Idea Live Arena, Kuala Lumpur, dan dianjurkan oleh Triple Am Global. Ia juga menjadi konsert solo penuh pertama selepas UNIC kembali bersatu dengan barisan terkini iaitu Bazli Hazwan, Dr. Fitri Haris dan Fakhrul Radhi.
Menurut Bazli Hazwan, konsert ini adalah cara UNIC menghargai sokongan peminat selama lebih dua dekad. Mereka mahu mengembalikan semangat nasyid ke pentas besar dan membuktikan muzik berunsur dakwah masih relevan serta mampu menyentuh hati ramai. Konsert ini bukan sekadar hiburan, tetapi juga sebuah pengembaraan muzik yang membawa penonton menelusuri fasa perjalanan UNIC sejak awal kemunculannya hingga kini.
Dr. Fitri Haris menegaskan bahawa konsert ini menonjolkan keseimbangan antara emosi, spiritual dan hiburan, dengan setiap segmen menggambarkan evolusi muzik UNIC. Persembahan akan diiringi oleh live band di bawah pimpinan pengarah muzik berpengalaman, menggabungkan susunan moden dan tradisional untuk memberikan pengalaman yang penuh emosi dan interaktif. Fakhrul Radhi pula menekankan persiapan rapi yang dilakukan dari segi vokal, mental dan fizikal untuk memastikan persembahan berada di tahap terbaik.
Antara tarikan utama konsert ialah lagu-lagu ikonik UNIC seperti Demi Cinta Suci, Hanya Tuhan Yang Tahu dan Ainul Mardhiah yang akan dipersembahkan dengan susunan muzik baharu. Peminat juga boleh menantikan kejutan istimewa dengan kemunculan artis jemputan yang pernah menjadi sebahagian daripada perjalanan UNIC. Ketua Pegawai Eksekutif Triple Am Global, En. Nursyaqif Aimer, menyifatkan konsert ini sebagai simbol kekuatan, kesetiaan dan kasih antara artis serta peminat.
Selepas lebih 20 tahun berkarya, UNIC melihat konsert ini sebagai permulaan baharu, bukan sahaja untuk mereka tetapi juga sebagai usaha mengangkat semula martabat muzik nasyid di arus perdana. Mereka berharap konsert ini akan meniup semangat baharu kepada peminat dan membuktikan bahawa nasyid masih mempunyai tempat di hati rakyat Malaysia.

Tiket This Is UNIC: Live In Concert akan mula dijual pada 17 Oktober 2025 melalui laman rasmi www.ticket2u.com.my/ThisIsUNIC, dengan harga bermula RM89 hingga RM488 mengikut kategori. Konsert ini dianjurkan oleh Triple Am Global dengan kerjasama Astro Gempak sebagai rakan digital rasmi, serta beberapa rakan radio dan strategik. Busana eksklusif UNIC direka khas oleh pereka fesyen terkenal, Eja Shahril.