Tingginya Menyapu Awan: Suara Hati yang Terangkat ke Langit Pentas

Suasana pentas teater tempatan bakal digegarkan dengan pementasan Tingginya Menyapu Awan, sebuah karya menyentuh jiwa hasil nukilan Malina Manja dan arahan kreatif Dr. Marlenny Deenerwan. Pementasan ini dijadual berlangsung pada 25, 26 dan 27 Julai 2025 di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur.

Program ini dianjurkan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKKN WPKL) dan Pertubuhan Rumpun Seni Mekar Budaya dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka, sebagai satu usaha menyemarakkan semula dunia teater tanah air dan memberi penghormatan kepada karya asli tempatan yang kaya dengan nilai budaya serta identiti nasional.

“Tingginya Menyapu Awan” mengetengahkan kisah kehidupan sekumpulan gelandangan yang tinggal di penempatan setinggan di pinggir kota. Dalam kekurangan, mereka hidup saling menyokong dan menghargai satu sama lain. Konflik utama bermula apabila seorang lelaki tua yang sedang nazak menyuarakan hasrat terakhirnya untuk meminum susu dan makan buah segar. Namun, permintaan itu tidak kesampaian apabila makanan tersebut dimakan oleh Melur, seorang gadis terencat akal. Kejadian ini membuka tirai rahsia hubungan antara Melur, ibunya dan lelaki tua tersebut menyentuh tema besar tentang marah, dendam, kematian dan pengampunan.

Naskhah ini mengangkat tema eksistensialisme dan realisme sosial dengan cara yang halus dan menyentuh, memberi suara kepada komuniti marjinal yang sering terpinggir daripada wacana arus perdana. Ia menjadi cerminan kejujuran hidup masyarakat gelandangan serta persoalan mendalam tentang kemanusiaan dan kasih sayang.

Pementasan ini juga menampilkan barisan pelakon berbakat yang akan membawa watak-watak penuh emosi, antaranya Jay Iswazir, Hazzy Alzeeq, Nik Aqil, Nain Hamdan, Adli Shinichi, Farhana Fahizam, Aizy Ezmi dan Azhar Ja’a. Setiap daripada mereka dijangka memberi persembahan bertenaga dan menyentuh hati penonton.

JKKN WPKL melihat pementasan ini bukan sekadar sebuah persembahan, tetapi satu usaha kolektif dalam memupuk semula minat masyarakat terhadap teater sebagai medium penting dalam pendidikan budaya, ekspresi kreatif dan pembangunan nilai sosial.

Orang ramai yang ingin menyaksikan pementasan ini boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan menghubungi Encik Shahrizal Abdan di talian 012-3688570 atau Puan Shariza Isa di 013-9391535. Pertanyaan juga boleh dihantar melalui e-mel ke wpkl@jkkn.gov.my.