Tag: Mahalini

  • LOVECHESTRA MAHALINI LIVE IN KUALA LUMPUR

    Cakna dengan permintaan peminatnya di Malaysia, ‘songbird seberang’ asal Denpasar, Bali, Indonesia, Mahalini Ayu Raharja atau lebih terkenal dengan panggilan Mahalini, kembali ke Kuala Lumpur demi menjayakan konsert ‘LOVECHESTRA MAHALINI LIVE IN KUALA LUMPUR’ malam tadi yang dibawakan khas oleh jenama kosmetik popular Alha Alfa, dan dianjurkan oleh penganjur acara, Kharisma Music.

    “Terima kasih buat semua yang hadir menyaksikan konsert saya tadi, ‘kalian’ are the best,” kata Mahalini, 23 tahun.

    Bermula jam 8:00 malam di ruang hiburan Megastar Arena @ Sg. Wang Plaza, dengan bertemakan ‘all-white’, Mahalini membawakan lagu ‘Bawa Dia Kembali’ sebagai pembuka acara.

    Konsert yang bertemakan ‘Lovechestra’ (love + orchestra) turut diserikan dengan iringan kumpulan orkestra seramai 20 orang pemuzik profesional tempatan yang terpilih dengan pengarah muzik khas dari Indonesia iaitu Ronald Steven, Adrian Kitut, Raymond Aditya dan juga Dennis Nusi.

    Ternyata, kesemua penonton yang hadir dibuai asyik oleh kemerduan suara yang dimiliki Mahalini selama hampir 2 jam dalam menyanyikan hampir 16 buah lagu kesemuanya seperti Sial, Sisa Rasa, Melawan Restu, Bohongi Hati, Kisah Sempurna dan banyak lagi.

    Kongsi salah satu penonton yang hadir, “Sangat menakjubkan, dan persembahan memukau!

    “Saya merupakan fan Mahalini, namun tidak berpeluang menyaksikan konsert sebelum ini, terima kasih tidak terhingga buat pihak penganjur kerana membawa Mahalini kembali.

    Lebih istimewa, malam konsert juga turut diserikan dengan bintang tamu, Rizky Febian, ternyata penonton bersorak riuh apabila ‘Iky’ muncul di pentas menyanyikan bersama lagu-lagu duet Mahalini seperti Aku Yang Salah, Janji Kita, Satu Tuju dan juga You’re Mine, dan Rizky juga turut mendendangkan lagu Selaras Kata dari album terbaharunya, Berona.

    Menurut En. Ahmad Jeffny, Ketua Pengarah Eksekutif & Pengasas Kharisma Music, “Pertama sekali terima kasih kepada semua pembeli tiket yang hadir memeriahkan konsert, serta terima kasih kepada para penganjur yang menjayakan konsert ini seperti Alha Alfa, radio ERA, Batik Air dan HAPM.

    “Ternyata percaturan Kharisma Music dalam membawakan Mahalini ke Malaysia membuahkan hasil kerana pemilihannya dibuat berdasarkan pencapaian beliau dalam meraih pelbagai anugerah serta pengiktirafan di industri muzik Indonesia dengan jumlah penstriman paling tinggi di Spotify (Indonesia), serta lagu-lagu nyanyian sering menjadi viral di media sosial.

    “Buat penggemar muzik live di Malaysia, nantikan pengumuman yang seterusnya dari Kharisma Music!

    Malam konsert tadi juga turut menjadi malam bertuah bagi salah seorang pembeli tiket yang telah berjaya memenangi hadiah utama cabutan bertuah yang merupakan sebuah kereta, serta pemenang lainnya dengan hadiah-hadiah yang menarik.

  • Mahalini Lovechestra Live in KL

    Mahalini Lovechestra Live in KL

    Lovecheastra Mahalini Live in Kuala Lumpur akan berlangsung pada 3 Februari 2024, bermula jam 8 malam. di Megastar Arena, KL@Sungei Wang Plaza, menampilkan bintang tetamu khas Rizky Febian. Dengan kerjasama Kharisma Music, syarikat kosmetik terkenal tanah air, Alha Alfa, menawarkan persembahan ini secara khusus.

    Ditanya mengapa mahu kembali ke Malaysia buat kedua kalinya, Mahalini berkata, “Sebenarnya idea disebalik konsert ini muncul ketika konsert FABULA 1.0 dan 2.0 tahun lalu, saya ingin memberikan sajian pertunjukan dan pengalaman yang berbeza dari sebelumnya dengan konsep muzik, busana, penari latar, kesan visual dan set pentas yang lebih menarik.

    “Dan sudah pastinya merindukan peminat-peminat di Malaysia yang mahu saya kembali lagi. Bertempat di sebuah restoran terkemuka di tengah-tengah ibu kota yang diserikan dengan deko menawan oleh Kayangan Gallery, bermula 7:00 malam, sebuah sidang media bersama rakan-rakan media Malaysia diadakan bagi membuat hebahan tentang rencana konsert LOVECHESTRA MAHALINI LIVE IN KUALA LUMPUR yang bakal diadakan.

    Menurut En. Ahmad Jeffny, Ketua Pengarah Eksekutif & Pengasas Kharisma Music, “Pemilihan Mahalini dibuat berdasarkan pencapaiannya dalam meraih pelbagai anugerah serta pengiktirafan di industri muzik Indonesia beserta jumlah penstriman yang tertinggi di Spotify (Indonesia), dengan karya-karya nyanyiannya yang sering menjadi viral di medsos, dan juga sifat prihatin Kharisma Music dalam mengambil berat permintaan penggemar muzik di Malaysia yang mendambakan hiburan ‘live’ dalam bentuk fizikal.

    “Bertemakan ‘Lovechestra’ (love + orchestra), ia menggabungkan gubahan dan susunan muzik orkestra yang berkisarkan kisah cinta, kisah suka dan duka sepanjang karier seni serta peribadi Mahalini yang mudah didekati dan sentiasa membuat orang sekelilingnya senang, dan istimewanya konsert ini akan dijayakan bersama 20 pemuzik tempatan yang terpilih. Oleh itu, rugi barang siapa yang tidak menontonnya.

    Setakat ini, Mahalini masih lagi mempersiapkan diri dari segi susunan muzik yang baharu, latihan di studio dan lain-lain persiapan menjelang tarikh konsert.

    “Konsert ini nanti dijangkakan akan berlangsung selama lebih kurang 2 jam dengan hampir 15 sehingga 17 buah lagu yang akan dipersembahkan bersama-sama band saya sendiri yang dipanggil ‘Lini’ dengan pengarah muzik khas dari Indonesia iaitu Ronald Steven, Adrian Kitut, Raymond Aditya dan juga Dennis Nusi.

    “Paling istimewa, ‘Iky’ (panggilan mesra buat Rizky Febian) akan turut serta membuat persembahan bersama saya nanti,” jelas Mahalini tersipu malu.

    Selain penganjur bersama, Alha Alfa dan Kharisma Music, konsert ini turut mendapat sokongan dari rakan radio rasmi, ERA, rakan deko, Kayangan Gallery, rakan penerbangan, Batik Air, dan rakan bersama, HAPM.

    Ditanya apakah yang penonton bakal rasai di konsert itu nanti, jawab Mahalini teruja, “Mereka akan terbawa ke dalam dunia saya melalui persembahan yang cukup istimewa, mereka akan merasai sendiri sebuah momen cerita indah dalam kehidupan mereka yang berawal dari karya-karya saya yang mewakili perasaan penonton semua.

    “Jadi jangan lupa temujanji kita dan ‘yuk’ berhibur di konsert Lovechestra Mahalini nanti!

    Sebagai makluman, pembeli tiket konsert LOVECHESTRA MAHALINI LIVE IN KUALA LUMPUR berpeluang memenangi cabutan bertuah dengan hadiah utamanya berupa sebuah kereta, serta hadiah-hadiah lain yang tidak kurang menariknya, jadi dapatkan tiket-tiket anda dengan kadar segera!

    Tiket-tiket konsert terbahagi dalam beberapa kategori: Standing (RM279), Gold Seated (RM299), VIP Standing (RM399), VIP Seated (RM429) dan VVIP Seated (RM799).

    Pembelian boleh dilakukan di laman web www.ticket2u.com.my/mahalini.