Tag: #LivePerformance

  • KONSERT SEMALAM DIADAKAN KETIKA TAHUN KE-55 PENUBUHAN SWEET CHARITY.

    KONSERT SEMALAM DIADAKAN KETIKA TAHUN KE-55 PENUBUHAN SWEET CHARITY.

    Melangkaui lima dekad pembabitannya dalam dunia muzik rantau ini, band legenda, Sweet Charity bakal kembali ke ibu kota, mengimbau nostalgia selepas kali terakhir muncul dalam sebuah konsert, 13 tahun lalu.

    Dianjurkan oleh Malaysia Shipowner’s Association, Konsert Semalam Di Malaya Lima Dekad Sweet Charity yang berdurasi hampir tiga jam itu akan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 26 Januari depan.

    Iaitu, di tahun ke-55 penubuhan Sweet Charity yang diterajui Datuk Ramli Sarip sebagai vokalis yang juga pengasasnya bersama Rahman Sarbani (dram), dan turut dianggotai Rosli Mohalim (gitar) dan Ahmad Jaafar (keyboard dan vokalis kedua).

    Ramli berkata, lamaran untuk Sweet Charity kembali ke Kuala Lumpur ibarat pucuk dicita ulam mendatang.

    “Konsert ini ada nilai sentimental kerana ia diadakan di Kuala Lumpur selepas kali terakhir kami beraksi di Stadium Merdeka pada 2011 yang menjadi fenomena. Sesuatu seperti ini kadang hanya datang sekali, atau dua kali, ia tidak boleh selalu melainkan ada momen istimewa.

    “Sweet Charity dikenali dengan persembahan livenya, jadi pemilihan lagu yang tepat adalah penting. Selain bernostalgia, jangkakan sebuah persembahan yang segar kerana kami memiliki lagu-lagu yang boleh diolah, dibuat susunan baharu, termasuk antara 15 lagu dalam senarai all-time favourite seperti Batu, Kamelia, Teratai dan Zakiah.
    “Dan kenapa Semalam di Malaya? Judul yang nostalgia, zaman kami di Singapura, merentasi Johor menaiki bas, tanpa perlu pasport sebelum ada pemisahan negara. Banyak kenangan di situ,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

    Biar pun tidak kembali ke stadium, menurut Ramli, Zepp Kuala Lumpur dengan kapasiti 2,500 orang itu berupaya memenuhi jangkaan persembahan kerana lokasi itu ada formula untuk mendukung sesebuah konsert, daripada suasana ke akustiknya, malah chemistry.

    “Penganjur ini, saya lihat, mahu buat sesuatu yang mereka lalui, ketika mereka membesar, namun memberi kebebasan untuk kami mengekspresikan seni. Konsert Semalam Di Malaya Lima Dekad Sweet Charity ini sememangnya tidak harus dilepaskan peminat.

    “Kerana Sweet Charity, persembahannya ada roh dan semangat yang tersendiri, seperti mana-mana band apabila sampai pada kedewasaannya. Mudah-mudahan persembahan kami lebih dewasa dengan perasaaan,” tambahnya.

    Konsert Semalam Di Malaya Lima Dekad Sweet Charity merupakan sebuah produksi Rasa Karya, bersama Mewah Event Management sebagai rakan strategik, manakala ilassotickets bagi pengurusan tiket.“Sama tapi tak sama,” kata Ramli, merujuk perbandingan dengan konsert di Singapura, baru ini. “Persembahan di Kuala Lumpur kali ini lebih padat, malah ada peminat yang sudah menonton di Singapura, mahu ke Kuala Lumpur juga.

    “Gaya persembahan, tentunya akan memberikan kelainan kerana Sweet Charity ada aura tersendiri, kekuatan tersendiri. Orang sukakan Sweet Charity kerana persembahan livenya dan itulah yang menjadi kekuatan kami selama lebih 50 tahun ini.

    “Sweet Charity tidak begitu dipengaruhi oleh apa-apa kerana pada masa itu, pada era akhir 60an, tiada video, VHS pun tiada. Jadi kami mencipta identiti sendiri, membawa muzik rock, memberikan apa yang kami rasa, perasaan waktu membuat persembahan itu.”

    MENGENAI MALAYSIA SHIPOWNERS’ ASSCOCIATION (MASA)
    Malaysia Shipowners’ Association atau MASA ditubuhkan pada 1976 dengan objektif untuk melindungi dan mempromosi kepentingan pemilik-pemilik kapal Malaysia, juga sebagai peneraju dalam memperkasa Industri Perkapalan Malaysia yang berdaya maju bagi menyokong aspirasi kebangsaan untuk menjadi negara maritim utama di persada dunia.

    Dengan moto “Towards Maritime Excellence”, misi MASA adalah untuk membantu dalam pembangunan Industri Maritim Malaysia, selain berkolaborasi dalam usaha pembaikan standard maritim secara berterusan demi faedah bersama selain melindungi dan mempromosi kepentingan ahli.

    MASA yang mewakili industri perkapalan mengekalkan hubungan akrab dengan agensi kerajaan yang berkenaan seperti Jabatan Laut Malaysia (JLM) dan Bahagian Maritim Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT). Selain itu, MASA turut menjadi Ahli tetap dalam beberapa badan Kerajaan antaranya Lembaga Pelesenan Perkapalan Dalam Negeri (LPPDN), Lembaga Dius Api, Kumpulan Wang Pusat Perdagangan Laut (KWPPL) serta wakil industri beberapa Lembaga Pemaliman.

    Di bawah kepimpinan Pengerusi, Mohamed Safwan Othman, MASA menerusi Inisiatif Strategik menyaksikan pelbagai usaha sedang dilakukan, antaranya pengukuhan Perkapalan Domestik di Sabah, Sarawak dan Labuan melalui polisi perkapalan domestiknya, pemanjangan pengecualian cukai pendapatan dan lain-lain.

    Untuk Pengurusan, sila hubungi:
    Presenter: Mohd Helmi Zaharudin, Pengurus Besar, MASA – 014 3309857
    Konsert: Juria Banding, Pengurus, Rasa Karya Sdn Bhd – 013 2633938
    Media: Aida Husin, Pengurus, Mewah Event Management – 012 2166873

     

  • Sekitar 2500 peminat Nidji yang bakal hadir ke Konsert ‘Nidji: Pelangi Di Miri’.

    Dengan kolaborasi bersama antara Northbound Events dan Space Two Sdn Bhd sebagai agensi artis, kami dengan penuh kegembiraan mengumumkan konsert yang menakjubkan, ‘Nidji: Pelangi Di Miri’, yang akan menyentuh hati penonton pada 3 Februari 2024. Acara ini akan menampilkan penyanyi terbaru, Ubay, yang baru saja bergabung dengan keluarga Nidji, dan diharapkan memberikan pengalaman baru kepada peminat setia di Miri dengan memimpin dalam kebolehan vokal yang luar biasa dan aura energik yang khas Nidji.

    Konsert yang bakal berlangsung di Eastwood Valley Golf & Country Club ini dijangka dihadiri oleh 2500 peminat yang bukan sahaja dari sekitar Miri dan Brunei malah mendapat perhatian dari Nidjiholics dari Johor Bahru, Ipoh dan Pulau Pinang.

    Konsert ini turut dimeriahkan dengan penampilan 2 kugiran tersohor tempatan, D_Va dan MonoSterio yang bertindak sebagai artis pembuka konsert ini. D_Va yang kini dianggotai oleh Kesha, Zarul, Don Guerzo dan Amar Hamka, sedang giat dalam proses rakaman EP terbaru mereka yang bakal terbit pada tahun ini. Penampilan mereka kali ini turut menjadi langkah pemasaran dalam usaha mempromosi single terbaru mereka ‘insta famous’ yang bakal diterbitkan tidak lama lagi.

    Monosterio juga tidak ketinggalan dalam mempromosikan kemunculan muzik video terbaru ‘Jerangkung’ pada 4 Januari lalu yang turut menjadi OST filem ‘ Banglo Seksyen 12’. Mereka yang kini giat beraksi dalam sirkit muzik indie tempatan turut meluahkan kegembiraan mereka sebagai artis pembuka konsert ini yang juga mencoret permulaan perjalanan mereka pada tahun 2024.

    Tidak kurang juga, Nidji bakal melancarkan album baru mereka pada tahun ini yang bakal menyajikan Ubay buat pertama kali dalam album mereka selain repertoar yang mencakup hits terbaik Nidji, bersama dengan kejutan-kejutan khas untuk para peminat setia. Konsert ini akan menyaksikan pecahan yang dinamik, harmoni yang memukau dan performa panggung yang luar biasa seterusnya bakal menjadi pengalaman yang tak terlupakan bagi peminat muzik di sekitar Miri.

    Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan band yang telah merevolusikan dunia muzik Indonesia ini, secara langsung di Miri dan sertai kami untuk pengalaman muzik yang tidak dapat dilupakan.

  • Ernie Zakri Menyanyikan Lagu Popular ‘Astana’

    Ernie Zakri Menyanyikan Lagu Popular ‘Astana’

    Pada esok hari, Ernie Zakri, penyanyi yang masyhur dengan suara uniknya, akan mengetengahkan lagu hit “Astana” secara eksklusif pada peringkat Separuh Akhir Muzik Muzik ke-38.

    Syarikat rakaman Universal Music Malaysia yang mewakili Ernie berkata, perkara itu diputuskan selepas pihak Rocketfeul menghubungi mereka, semalam.

    “Rocketfuel ada menghubungi kami untuk berbincang perkara ini. Selepas mengambil kira banyak perkara selain tidak mahu membiarkan isu ini berlanjutan, jadi Universal Music Malaysia bersetuju dan membenarkan Ernie selaku penyanyi asal dan komposer lagu Astana untuk membuat persembahan.

    “Berhubung terma perbincangan yang belum selesai antara pihak Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) dan Persatuan Penerbit Malaysia (MPA) dengan Media Prima Berhad, pihak RIM menyerahkan perkara ini kepada kami di Universal Music Malaysia untuk membuat keputusan.

    Ditambah lagu ini sudah pun dicalonkan sejak Februari.

    “Pada masa sama, kami tidak mahu isu ini terus berpanjangan dan diperdebatkan. Diharap pihak terbabit segera mencari solusi terbaik,” katanya.

     

     

    Sementara itu, Erni berkata, dia lega apabila dapat menyanyikan lagu Astana.

    “Seperti yang diperkatakan sebelum ini, saya selaku penyanyi asal dan komposer lagu ini sudah tentu mahu menyanyikan lagu ini. Mana mungkin tidak. Malah, tidak pernah sekali saya berkata atau mengeluarkan kenyataan tidak mahu dan tarik diri.

     

    “Jadi, selepas melalui proses perbincangan yang panjang antara semua pihak dan pihak Universal Music Malaysia pun tidak pernah menghalang saya untuk menyanyikan lagu ini, saya dengan penuh gembira akan menggalas sendiri tanggungjawab untuk mempersembahkan lagu Astana.

    “Terima kasih sekali lagi kepada pihak Universal Music Malaysia yang sentiasa memahami dan percaya akan bakat saya. Kepada peminat dan semua pihak yang sentiasa ambil berat, saya hargai sokongan anda,” katanya.

    Terdahulu, RIM dan MPA dalam kenyataan berkata, mereka masih dalam rundingan dengan Media Prima mengenai terma dan syarat pencalonan lagu dalam program Muzik Muzik yang disiarkan di TV3.

    Pengerusi RIM Rosmin Hashim berkata, sesi dialog sudah dibuat membabitkan semua pihak sejak Ogos lalu namun tidak dapat mencapai penyelesaian yang memuaskan.

    Malah, Universal Music Malaysia juga berkata, Ernie selaku artis yang kini di bawah naungan mereka cakna mengenai kenyataan RIM dan MPA mengenai terma dan syarat pencalonan lagu dalam Muzik- Muzik yang masih dalam perundingan.

    Lagu Astana adalah ciptaan bersama Ernie dengan Omar K, Syamel dan Syazriq Azeman yang tercalon ke Separuh Akhir Muzik-Muzik (SFMM) ke-38 seperti yang diumumkan pada majlis sidang media yang dianjurkan oleh TV3 pada 10 Disember lalu.