ALVN, penyanyi dan pelakon terkemuka Malaysia, akan merealisasikan impian besarnya dengan melancarkan album studio pertamanya, “between the lines”. Album ini dibuka dengan lagu “rescue me”, hasil kolaborasi Alvin dengan Hyuk Shin dan Seann Bowe dalam gubahan dan penulisan lirik. Lagu ini, disusun oleh CUURLEY dan diterbitkan oleh Hyuk Shin, mendedahkan kisah peribadi Alvin yang mendalam.
ALVN berkongsi, lagu ini menggambarkan perasaan bahawa cinta seakan-akan bukan untuknya, terutama ketika menyaksikan orang-orang terdekatnya bahagia dalam percintaan. Pengalaman peribadi yang tidak pernah mempunyai hubungan melebihi setahun menjadi inspirasi lagu ini.
Lirik lagu ini, terutama pada pra-korus dan korus, melukiskan situasi tersebut dengan jelas. Frasa seperti “People just float by nobody stays, why is it always this way” dan “I’ve been trapped in this place too long”, “It’s like heaven build a prison for me,” menggambarkan perasaan terperangkap dan kesukaran mencari cinta.
Alvin berharap ramai yang dapat merasakan maksud lagu ini, terutama mereka yang masih berjuang mencari pasangan. Lagu ini ditulis bersama Hyuk Shin dan Seann Bowe di Los Angeles dalam masa hanya dua hari, menunjukkan keserasian dan pengalaman mereka sebagai pemuzik.
Album “between the lines” adalah cara ALVN untuk pendengar mengenali dirinya lebih dekat. ALVN terlibat dalam penulisan kebanyakan lagu dalam album ini, dan jika pendengar dapat “membaca antara baris”, mereka akan lebih memahami ALVN. Lagu-lagu dalam album ini menceritakan perjalanan emosi dari jatuh cinta, patah hati, hingga harapan untuk masa depan.
ALVN tidak mempunyai harapan yang tinggi untuk album ini, hanya ingin memperkenalkan muziknya dan berkongsi pengalaman hidupnya. Album “between the lines” telah dilancarkan di semua platform media digital pada 16 Ogos 2024.