Blog

  • 17 Tahun Karya dan Pengalaman: Album Pertama Hael Husaini ‘Antonim’

    Album studio terkini beliau, ‘Antonim (Bahagian I),’ yang diumumkan pada 5 Januari, adalah pencapaian yang sangat dinantikan oleh para peminat, menandakan kematangan seni dan ketabahan Hael selama ini.

    #1 iTunes (Malaysia & Brunei) & #2 Apple Music Malaysia

    Pada hari pertama album ANTONIM (PART 1) diluncurkan sahaja, album tersebut terus mendapat sambutan yang cukup hebat sehingga menduduki posisi nombor 1 di carta iTunes Malaysia dan juga Brunei berdasarkan jualan digital, manakala di Apple Music Malaysia pula, ia berada di kedudukan nombor 2 berdasarkan jumlah penstriman oleh pendengar.

    “Saya sangat teruja kerana tidak pernah merasai pengalaman sebegini, seluruh pasukan kerja dan label juga terkejut dengan sambutan luar biasa dari pendengar.

    “Saya sangat berterima kash kepada seluruh pasukan saya yang setia dan sentiasa bertungkus-

    lumus dalam menjadikan album ini sebuah kenyataan, terima kasih buat En. Prem, kesemua wakil muzik dari label saya, penulis serta juga penerbit, wakil pegawai seranta saya, pihak pengurusan Virus Unggu Entertainment, rakan-rakan media, keluarga yang menyokong, dan terutamanya peminat semua, Haelers,” ujar Hael.

    Antonim Part (1 & Il)

    Album yang memakan masa selama 3 tahun untuk disiapkan ini telah melalui beberapa proses, diantaranya pemilihan lagu-lagu yang telah disenarai pendekkan dari lebih kurang 20 buah lagu. Di antara lagu-lagu yang terkandung dalam album ini adalah Diam, Usia, Kejora, Please, Hero dan Sama Seperti Dulu (versi orkestra).

    Tambah Hael lagi, “Album ANTONIM (PART I) ini saya jadikan medan untuk berkarya tetapi konsepnya berlawanan dengan apa yang sering saya hidangkan buat pendengar sebelum ini, namun keseluruhan lagu yang terkandung di dalam album masih lagi berkonsepkan pop dengan nuansa balada serta rock.

    Manakala untuk album kedua pula, ANTONIM (PART II), saya jangkakan akan ada lebih banyak lagi kejutan buat penggemar muzik saya kerana pelbagai pembaharuan yang diketengahkan.

    “Saya berharap agar semua dapat menerima karya-karya saya dalam kedua-dua album ini, semoga pendengar dan penggemar muzik tempatan berlapang dada dalam menerima pembaharuan muzik serta memberi lebih kebebasan kepada anak seni untuk terus berkarya.

    “Dan siapa tahu mungkin ada di antara kita yang mampu berjaya seperti Tan Sri Michelle Yeoh, tetapi mewakili bidang muzik pula.

    Untuk makluman, video muzik (MV) lagu Usia yang melakukan penggambaran di Korea Selatan bakal dilancarkan pada 12 Januari 2024 boleh ditonton secara eksklusif hanya di saluran YouTube Hael Husaini Official.

     

    Manakala album ANTONIM (PART 1) yang sudah berada di pasaran boleh dimuat turun di iTunes serta dijadikan nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan dan boleh didengar pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Joox, KKBox,

    Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music.

  • Konsert Wali ‘Cari Jodoh’ & ‘Dawai’ di Pulau Pinang

    Tandai tarikh pada kalendar anda! Konsert Wali di Spice Arena, Pulau Pinang pada 3 Februari 2024 adalah destinasi gaya hidup yang sempurna untuk menikmati malam dengan hiburan berkualiti. Fadhilah Intan, Saixse, dan Khai Bahar akan memberikan penampilan yang memukau.

    Bertempat di Gula Cakery, KL East Mall, sebuah sidang media khas diadakan untuk mewar-warkan konsert yang bakal diadakan tidak lama lagi, menurut Dato’ Fadzli Idrus, selaku CEO & Pengasas Orange International, “Alhamdulillah setelah beberapa siri konsert yang diadakan seperti konsert ‘Live In Concert Radja (Special Appearance Ella)’ yang berjaya menarik lebih dari 5,000 penonton, pihak Orange International terus berkembang dan terpanggil untuk memajukan industri hiburan tempatan, ekonomi serta aktiviti pelancongan dalam negara.

    “Terlebih dahulu saya ingin memohon maaf kerana Wali Band tidak dapat menghadirkan diri pada majlis sidang media hari ini di atas urusan kerja di Indonesia, tetapi kami tampilkan pada hari ini bintang ‘Dawai’ iaitu Fadhilah Intan sebagai salah satu artis yang bakal membuat persembahan pada malam konsert nanti.

    Wali Band yang dianggotai oleh Faank (vokalis), Apoy (gitaris), Tomi (pemain dram) dan juga Ovie (pemain keyboard) mula ditubuhkan pada 1999 merupakan salah satu kumpulan pop Indonesia popular dalam menyampaikan lagu-lagu bergenre alternatif, rock, religi, balada dengan sentuhan etnik Melayu yang sering menghasilkan hit-hit seperti Baik-Baik Sayang, Cari Jodoh, Doaku Untukmu Sayang dan Ada Gajah Di Balik Batu.

    Konsert yang direncanakan akan berlangsung selama 2 jam lebih ini bakal diserikan dengan persembahan di antara 13 sehingga 15 buah lagu, kesemuanya bergantung diatas permintaan penonton dengan mengangkat tema ‘hijau’ bersempena program ‘Eco-Schools’ yang disarankan oleh kerajaan.

    Tambah Dato’ Fadzli lagi, “Kami sangat mengalu-alukan penonton yang hadir untuk mengenakan pakaian serba hijau pada malam konsert nanti sebagai tanda sokongan anda terhadap program Eco-Schools. 

    “Saya berharap agar peminat muzik akan terus menyokong kami dalam memberikan hiburan yang terbaik dan yang paling penting agar semua ‘enjoy’ dan ‘sing-along’ pada malam konsert nanti selama 2 jam tanpa henti kerana seleksi lagu dari pelbagai genre yang bakal menghiburkan penonton semua.

    Tiket-tiket ke KONSERT WALI “CARI JODOH” & “DAWAI” IN PENANG terdapat dalam beberapa kategori seperti Rock Zone (RM88), Silver (RM99), Gold (RM129), VIP (RM159) dan VVIP (RM259) dan pembelian boleh dilakukan secara atas talian di laman web www.ticket2u.com.my/walipenang atau di talian hotline +6011-1133 7638.

  • A NIGHT WITH ALIF SATAR & THE LOCOS AND ANGGI MARITO

    A NIGHT WITH ALIF SATAR & THE LOCOS AND ANGGI MARITO

    Persembahan A Night with Alif Satar dan The Locos yang meriah Ahad lalu tidak mengecewakan lebih 2,000 peminat yang datang melihat penghibur berbakat itu.

    Bagi pencinta muzik Nusantara, acara yang bertajuk A Night With Alif Satar & The Locos With Anggi Marito and Raihan  telah menghiburkan peminatnya.

    Alif Satar & The Locos, yang ditubuhkan pada 2018, muncul sebagai pemenang tempat ketiga Anugerah Juara Lagu ke-37 (AJL 37) untuk lagu Anugerah Terindah, manakala Anggi mula mendapat perhatian menerusi single hitnya, Tak Segampang Itu.

    Selain memberi hiburan, kumpulan nasyid popular Raihan membuat penampilan istimewa di acara yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur (Zepp KL).

    Alif Satar tiba dan mula memainkan beberapa lagunya yang terkenal seperti Akhiri Penantianku, Kamu Jangan Nakal, dan Sesungguhnya Aku.

    Sementara itu, persembahan lagu kerohanian Raihan iaitu Iman, Iman Mutiara, dan Puji Pujian x Syukur.

    Konsert tersebut dianjurkan oleh Mutiara Optimum dan MND Sport & Event.

  • Wani Kayrie Menyulam Kebanggaan di Pentas Prestij ’28th Asian Television Awards

    Kejayaan Wani Kayrie mencipta nama di luar negara memberikan kebanggaan kepada negeri asalnya, Sabah. Bakatnya yang memikat telah membawa keunikan budaya Sabah ke persada global, menunjukkan potensi besar artis Malaysia untuk menarik perhatian dunia.

    Terbaharu, Wani akan terbang ke negara Vietnam bagi memenuhi undangan membuat persembahan di majlis penuh berprestij peringkat Asia iaitu ‘28TH ASIAN TELEVISION AWARDS’ pada 12 dan 13 Januari ini.

    Menerusi ciapan di Instagram milik Wani, ada berbaur kekesalan dengan keputusan AJL38, “Tidak apalah, sabar itu indah. Mungkin kena cuba dan tunggu lagi…

    Namun semangatnya sedikit pun tidak goyah malah lebih bersemangat dan tidak sabar-sabar untuk mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa tidak lama lagi, kata Wani, “Perasaan teruja serta  berkobar-kobar sangat menebal di jiwa saya selain merasa bertuah, kerana dipilih mewakili negara buat kedua kalinya untuk membawa nama Malaysia selain nama label naungan saya, Rocketfuel Entertainment.

    “Saya sangat berbesar hati dengan pemilihan ini dan berjanji akan memberikan yang terbaik ketika berada di sana nanti.

    “Saya juga sedang mempersiapkan diri dari segi latihan vokal secara bersendiri tanpa bantuan dari mana-mana pihak, ini termasuk koreografi yang turut dilakukan secara bersendirian juga, dari segi penataan gaya sahaja saya memerlukan khidmat pakar serta khidmat pereka fesyen untuk busana yang bakal disarungkan nanti.

    Dikhabarkan Wani akan menyanyikan tiga buah lagu kesemuanya pada majlis itu nanti, katanya, “Saya akan menyanyikan dua buah lagu sendiri iaitu ‘Kamu Kamu’ dan ‘Fajar’, manakala satu lagi lagu ‘Bang Bang’ nyanyian Ariana Grande dengan versi saya sendiri.

    “Saya berharap agar mendapat sokongan seluruh rakyat Malaysia dan doakan semuanya dapat berjalan dengan lancar. Ini adalah momen saya untuk menunjukkan bakat saya pada semua, kalau boleh rakyat Malaysia membuka mata serta melihat sendiri kebolehan dan kemampuan Wani Kayrie bernyanyi di peringkat antarabangsa.

    Penonton boleh menyaksikan siaran langsung ‘28TH ASIAN TELEVISION AWARDS’ bermula pada 12 dan 13 Januari 2024 ini melalui aplikasi penstriman video atas talian seperti viu.com atau siaran digital melalui saluran YouTube rasmi majlis tersebut.

  • Perjalanan Menuju Dewan Filharmonik dengan NUKILANMU

    Perjalanan Menuju Dewan Filharmonik dengan NUKILANMU

    Keterlibatan Arish Mikael dengan teknologi muzik modern sangat ketara dalam “Nukilanmu.” Penggunaan alat dan aplikasi inovatif menciptakan elemen unik dalam produksi, menunjukkan evolusi teknologi dalam menghasilkan karya seni dalam industri muzik.

     

    Arish Mikael, yang berasal dari Muar, Johor, telah menapak dalam dunia muzik sejak usia remajanya. Pada tahun 2018, semasa masih berada di tingkatan 3, beliau memulakan perjalanan muziknya dengan busking di pelbagai tempat. Walaupun ketika itu beliau belum mengambil muzik secara serius, Arish Mikael mulai menulis lagu-lagu yang penuh makna dan emosi.

     

    Pada saat yang sama, nasib baik melanda diri Arish. Ketika beliau sering dibandingkan dengan Allahyarham Sudirman Hj. Arshad dIsebabkan suara beliau yang sangat mirip dengan penyanyi lagenda tersebut, Arish diberikan peluang emas untuk mengunjungi Luncai Emas dan bertemu dengan Dato’ M.Nasir dan pelbagai pengeluar muzik yang terkenal. Perbualan santai mereka membawa kepada satu peluang luar biasa yang akan mengubah hidupnya.

     

    Antara lagu terawal yang beliau cipta, Nukilanmu merupakan karya yang sangat penting dalam perkembangan muzik Arish Mikael. Beliau berkongsi, “Lagu ini menceritakan tentang sesiapa saja dalam hidup yang mencetuskan inspirasi kepada diri.” “Radzlan selaku penulis lirik lagu ini, terlibat dengan hampir kesemua lagu yang saya cipta buat masa ini. Lagu ini terlahir semasa saya berada dalam tempoh dipengaruhi karya-karya Melayu seperti SM Salim, Ahmad Jais, M. Nasir, Loloq dan sebagainya, walaupun sebelum itu saya telah terdedah dengan muzik-muzik barat.” kongsi Arish pula tentang maksud dan inspirasi di sebalik lagu ini.

    Mengenai proses rakaman Nukilanmu Arish Mikael berkongsi, “Satu pengalaman yang baru dalam produksi muzik kerana dapat bekerja atau rakam dalam studio yang lengkap bersama pemuzik yang lebih ramai. Semestinya ada rasa kekok, sebab sebelum itu saya sudah terbiasa merakam demo sendiri dalam bilik tidur tanpa melibatkan telinga, citarasa, idea atau sudut pandangan orang lain. Jadi ini satu proses yang sangat baik. Tambah pula dengan kehadiran pemuzik yang berbakat seperti Hidayat daripada kumpulan Pitahati, dan Izzat daripada kumpulan Ramayan. Tanpa mereka, projek ini tak akan berseri.”

     

    Namun, pencapaian terbesar dalam kariernya adalah peluang unik yang diberikan kepadanya untuk tampil di Dewan Filharmonik Petronas KLCC untuk mendendangkan lagu-lagu Allahyarham Sudirman sebagai penghormatan atau ‘tribute’ kepada penyanyi tersebut. “Diberi peluang dan kepercayaan untuk membuat persembahan bersama salah satu orkestra terbaik di Malaysia, adalah sesuatu yang luar biasa. Saya rasa bersyukur dapat bekerjasama dengan barisan penyanyi dan pemuzik yang handal walaupun di fasa awal kerjaya saya ini. Rasa teruja dan gementar, tetapi dengan penerimaan yang baik dari masyarakat, itu adalah penghargaan yang besar buat saya.” luah beliau.

     

    Menurut Ilham, selaku penyanyi kumpulan Pitahati & A&R Luncai Emas – “Nukilanmu adalah nukilan yang bakal mewarnai skena nostalgia.”

    Arish Mikael berharap bahawa pelancaran lagu Nukilanmu ini akan menjadi batu loncatan untuk perekmbangan kerjayanya dalam dunia muzik. Dia mengajak semua peminat muzik untuk terus menyokong karya-karya muzik tempatan yang penuh bakat dan potensi. “Semoga ianya menjadi langkah pertama yang memperkukuhkan perjalanan saya dalam dunia muzik. Teruskan menyokong muzik-muzik tempatan.”

    Nukilanmu kini tersedia untuk dimuat turun dan diputar di pelbagai platform muzik. Jangan lepaskan peluang untuk mendengar puisi yang mendalam ini, yang dipersembahkan oleh Arish Mikael dalam gaya folk pop nostalgia yang memukau.