Blog

  • HUJAN, MASDO, BUNKFACE, INSOMNIACKS, NIDJI & LUQMAN PODOLSKI, ENAM PEMUZIK AKAN MENJADI ‘KACAU BILAU’ di SHOWCASE JIWA KACAU 2024 ‘LEVEL UP’

    HUJAN, MASDO, BUNKFACE, INSOMNIACKS, NIDJI & LUQMAN PODOLSKI, ENAM PEMUZIK AKAN MENJADI ‘KACAU BILAU’ di SHOWCASE JIWA KACAU 2024 ‘LEVEL UP’

    Kopi Saigon memeriahkan Jiwa Kacau 2.0 sebagai penaja utama

    Sensasi yang akan membuat hidup semakin “kacau bilau” sedang menanti pencinta muzik yang mengujakan!

    Ya, anda, para peminat kugiran Hujan, Masdo, Bunkface dan Insomniacks ucapkan selamat kembali kepada pemuzik-pemuzik handalan tanah air ini dalam siri Showcase Jiwa Kacau 2024.

    Setelah berjaya mengumpulkan hampir 8,000 peminat pada Showcase Jiwa Kacau 2023, MND Sport & Event Sdn Bhd tidak mahu keterujaan peminat ‘mati’ begitu sahaja. Kali ini Jiwa Kacau berkolaborasi bersama Kopi Saigon sebagai penaja utama.

    Justeru dengan berbesar hati selaku penganjur MND Sport & Event Sdn Bhd membawa kembali barisan kugiran sama iaitu Hujan, Masdo, Bunkface dan Insomniacks yang telah mencetuskan fenomena dalam Showcase Jiwa Kacau 2023 pada Showcase Jiwa Kacau 2024.

    Dijadual berlangsung pada 22 Jun 2024 di Stadium Hoki Bukit Jalil, Showcase Jiwa Kacau 2024 dihangatkan dan bakal meninggalkan momen tersendiri apabila turut disertai oleh sebuah kugiran dari Indonesia iaitu Nidji selain penampilan khas daripada solois tempatan, Luqman Podolski.

    “Sesuai dengan penganjuran kali kedua, Showcase Jiwa Kacau 2024 akan memperlihatkan pertambahan dua lagi pemuzik yang akan menghangatkan malam pesta ini.

    “Ini bermaksud akan ada enam penampilan penuh energatik yang akan menghiburkan pengunjung pada malam Showcase Jiwa Kacau 2024 di Stadium Hoki Bukit Jalil pada 22 Jun 2024.

    “Kami dengan bangga mengumumkan kehadiran Nidji untuk menjadi satu-satunya kugiran terkenal Indonesia yang akan membuat Showcase Jiwa Kacau 2024 lebih ‘kacau bilau’.

    “Dan untuk pertama kali juga di Showcase Jiwa Kacau 2024 kami menampilkan solois iaitu Luqman Podolski sebagai penampilan khas.

    “Harapan kami Showcase Jiwa Kacau 2024 bukan hanya menjadi tempat bersuka ria atau pesta semata-mata tetapi penganjuran ini bakal menjadi medan berkembang, semarak sekali gus melestarikan muzik tempatan terutama buat generasi kini dan akan datang,” ujar Daniel Harith dari MND Sport & Event Sdn Bhd.

    Mewakili rakan seperjuangan yang terlibat dalam Showcase Jiwa Kacau 2024, Masdo menyifatkan penganjuran kali kedua acara muzik ini didorong banyak oleh sambutan dan apresiasi peminat terhadap pemuzik tanah air.

    “Tanpa sokongan dan kehadiran peminat yang di luar jangka pada penganjuran Showcase Jiwa Kacau 2023, kami fikir tidak mungkin ada Showcase Jiwa Kacau 2024.

    “Jadi sebenarnya kami patut mengucapkan terima kasih buat peminat yang berkumpul dan meraikan perbezaan muzik yang ditonjolkan oleh setiap kugiran,” ujar Masdo.

    Showcase Jiwa Kacau 2024 dijadual berlangsung selama tiga jam setengah dengan pembelian tiket boleh dilakukan menerusi www.klticketing.com.

    Jangan sampai terlepas tawaran harga tiket yang menarik untuk menyaksikan enam persembahan yang bakal membuat jiwa anda kacau teruk!

  • Dalam acara akhir Anugerah Lagu Indie 2023, lagu “Pembunuh Malam” telah dipilih sebagai pemenang dalam kategori Lagu Terbaik

    Dalam acara akhir Anugerah Lagu Indie 2023, lagu “Pembunuh Malam” telah dipilih sebagai pemenang dalam kategori Lagu Terbaik

    Pada 8 Mac 2024 di Spacerubix, ketika mencapai puncak Anugerah Lagu Indie 2023 (#ALI2023), penonton dikagumkan oleh penampilan 15 finalis dalam tiga kategori yang berbeza – Pop, Rock, dan HipHop – semalam.

    Lunar yang membawakan lagu berjudul “Pembunuh Malam”, sebuah lagu ciptaan Hazeeq Hilman dan Muhd Haziq dalam kategori Pop telah tampil sebagai Juara Lagu Terbaik Anugerah Lagu Indie 2023 serta berjaya merangkul hadiah tunai keseluruhan berjumlah RM20,000 (RM5,000 daripada Anugerah Pop Terbaik dan RM15,000 daripada AnugerahLagu Terbaik).

    Selain daripada Anugerah Lagu Terbaik, anugerah lain yang dipersembahkan adalah persembahan terbaik, dan juga anugerah bagi ketiga-tiga kategori. Dalam Top 5 kategori Pop, “Pembunuh Malam” telah menewaskan empat lagu lain iaitu “Pura”, “Stargazing”,“Luka” dan “Derana” serta merangkul gelaran Anugerah Pop Terbaik.

    Dalam Top 5 kategori Rock pula, “Souled Out” tampil sebagai Juara Anugerah Rock Terbaik menewaskan “Jiwa (Takhta Milik Kita)”, “In The Haze”, “Inti Sari” dan “Terra Luna”.

    Manakala dalam Top 5 kategori HipHop, “LXF” merangkul Juara Anugerah HipHop Terbaik menewaskan “Ice Cold Castle”, “Candy Mind”, “Gard O Gard” dan “Mimpi Untuk Semalam”.

    Senarai penuh Juara Anugerah Lagu Indie 2023 adalah seperti berikut:

    Kategori & Hadiah ALI2023                                                                 Juara

    Anugerah Lagu Terbaik                                             Pembunuh Malam
    RM15,000 + Trofi                                                              Komposer: Hazeeq Hilman & Muhd Haziq
    Lirik: Hazeeq Hilman & Muhd Haziq
    Artis: Lunar

    Anugerah Persembahan Terbaik                          Stargazing
    RM5,000 + Trofi                                                                 Komposer: Odelia Tirza                                                                                                                                                                          Lirik: Odelia Tirza
    Artis: Odelia Tirza

    Anugerah Rock Terbaik                                             Souled out
    RM5,000 + Trofi                                                                  Komposer: Vota
    Lirik: Vota
    Artis: Vota

    Anugerah Pop Terbaik                                                  Pembunuh Malam
    RM5,000 + Trofi                                                                   Komposer: Hazeeq Hilman & Muhd Haziq
    Lirik: Hazeeq Hilman &
    Artis: Lunar

    Anugerah HipHop Terbaik                                        LXF                                                   
    RM5,000 + Trofi                                                                   Komposer: Sabbala, Rahhh5kaki,
    Issa Goodmusic, Jaymhd7, A.D.K.,
    Zemo, Benzooloo, Danye, Rebel
    Asia & Dj Ruckes
    Lirik: Sabbala, Rahhh5kaki, Issa
    Goodmusic, Jaymhd7, A.D.K.,
    Zemo, Benzooloo, Danye, Rebel
    Asia & Dj Ruckes
    Artis: LXF

    Anugerah Yoodo Presents: Lagu Terpaling        Armpunk Sindicate
    Platinum ‘Carta Indie Kita’
    RM1,000 + Trofi

    Ahmed Faris Amir, Penerbit Eksekutif Anugerah Lagu Indie berkata, “Tahniah saya ucapkan kepada semua finalis yang telah memberikan persembahan terbaik mereka di Pentas Akhir sebentar tadi. Kesemua 15 persembahan yang dipertontonkan telah berjaya membuktikan bahawa penggiat muzik indie juga lebih daripada mampu untuk menghasilkan lagu yang berkualiti. Sebagai sebuah platform yang dicipta khusus untuk meraikan bakat-bakat indie tempatan yang kreatif, saya berharap agar Anugerah Lagu Indie dapat diteruskan lagi bagi memberi inspirasi kepada penggiat muzik indie untuk terus menghasilkan karya yang berkualiti serta kompetitif dalam arena muzik.”

    “Saya ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pihak yang telah menyokong dan menjayakan Anugerah Lagu Indie musim keempat ini, terutamanya seluruh tenaga produksi #ALI2023, Kementerian Belia dan Sukan menerusi Rakan Muda (Rakan Muzik), Rakita 107.9, Honda Motorcycle Malaysia, 1901 Hot Dog dan rakan-rakan media yang bersama-sama menyokong semangat Anugerah Lagu Indie iaitu Music Addicts, Relevan, Media Variasi, Selebriti Online, Medialah!, Malaysia Music Scene, Malaya Roll, Big Media Works, Malaysia Tribune, Writer’s Daily, LUAS, dan Pocket News Media, serta Rakan Kerjasama Anugerah Terpaling Platinum CIK, Yoodo,” tambah beliau lagi.

    Selain daripada persembahan finalis, penonton juga telah disajikan dengan persembahan ‘Tribute Butterfingers’ oleh Leaism dengan lagunya “Epitome”, “Chemistry”, “Ngilu”, “1000 tahun”, “Mati Hidup Kembali”, dan persembahan penutup oleh Bunkface dengan lagu mereka “Silly Lilly”, “Situasi” dan “Malam Ini Kita Punya”.

    Anugerah Lagu Indie musim kali ini juga membariskan juri-juri professional yang terdiri daripada AG Coco, Wing Meng, Juwita Suwito, Roshan Jamrock, Edwin Raj, Ariana Adnan, dan Diandra Arjunaidi.

    Untuk maklumat penuh mengenai keputusan Pentas Akhir Anugerah Lagu Indie, sila layari laman media sosial @anugerahindie atau tonton di Youtube Anugerah Lagu Indie.

    Tentang Anugerah Lagu Indie

    Anugerah Lagu Indie (ALI) adalah Rancangan Anugerah Indie Malaysia sendiri untuk mengiktiraf sumbangan bakat-bakat muda dalam komuniti tempatan dan industri muzik indie. “Muzik Indie” merujuk kepada muzik yang diterbitkan secara bebas (karya sendiri) tanpa sebarang ikatan dengan label rakaman komersial dari proses penulisan, rakaman hingga penerbitan lagu. ALI terbukti menjadi batu loncatan untuk artis indie ke peringkat yang lebih tinggi. Salah seorang pemenang ALI, “Pelukan Angkasa” oleh SOG dan Shila Amzah memenangi AJL 2022; dan Late Night Frequency yang memenangi ALI 2022 memenangi satu kategori dalam AIM 2022.

  • Lagu ‘Lemas’ Buat Khai Bahar Pasrah

    Khai Bahar kini telah melancarkan single terbaru bertajuk Lemas, menandakan kehadiran terbarunya dalam industri muzik. Dalam tempoh tujuh tahun berkecimpung dalam seni, beliau telah menghasilkan lebih daripada 20 single yang mendapat sambutan luar biasa daripada peminat, mencerminkan keupayaannya yang unggul dalam bidang ini.

    Ketika ditanya mengapa dia menerima lagu Lemas ini, Khai Bahar berkata lagu ini sangat istimewa buat dirinya kerana liriknya berkait rapat dengan pengalaman peribadinya, keluarga malahan orang sekeliling. Sikapnya yang sering mendahulukan orang lain demi kebahagiaan jelas terpancar apabila dia menerima lagu ini. 

    “Apabila saya amati lirik Lemas, saya seolah-olah dapat hubungkan dengan keadaan yang pernah saya lalui. Saya seorang yang akan mengetepikan perasaan sendiri dan memberi peluang kepada orang lain. Secara ringkasnya, saya ni jenis pasrah, tidak hiraukan perasaan sendiri asalkan orang tersayang bahagia. Kadang-kadang bila kita buat orang lain bahagia, secara tidak langsung, hati kita tenang walaupun pedih untuk menerimanya. Lama-lama nanti perasaan sedih itu dengan sendirinya akan hilang. Sebab itulah bila saya lihat lirik lagu ini, saya terus setuju untuk jadikan single terbaharu saya.”

    Khai Bahar telah menunjukkan komitmen yang tinggi ketika rakaman tanpa mengira kesihatannya. “Ketika rakaman untuk lagu ini dilakukan, saya dalam keadaan yang kurang sihat. Saya tidak mahu melengah-lengahkan rakaman ini kerana saya menghargai serta menghormati kerja keras sahabat saya di dalam studio terutamanya komposer Hykal Kadir dan penulis lirik Hamizan Azli. Saya amat menghormati kedua-dua mereka kerana mereka masih muda dan bakat mereka sangat berkualiti.”

    Ketika ditanya tentang pemilihan lagu, Khai Bahar menghormati kreativiti setiap karyawan. “Saya boleh dikatakan masih lagi baharu dalam bidang ini. Namun saya terbuka untuk menerima sesiapa sahaja komposer asalkan melodi, lirik dan lagu sedap didengar dan melekat di hati saya. Alhamdulillah berkat kerja sama semua, rakaman selesai dalam masa dua jam setengah,” jelas King of Smule ini.

    Kepada yang masih belum mendengar lagu ini, boleh muat turun lagu Lemas di iTunes atau melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Spotify, Apple Music, Youtube Music, Tidal dan Deezer. Untuk mendapatkan maklumat terkini tentang Alternate Records & Talents, layari akaun rasmi media sosial Alternate Records & Talents di Facebook, @alternate.my_ di Instagram, dan @alternate.rt_ di TikTok.

  • Terhasil Lagu ‘Teman’ Disebabkan Muzik Insomniacks Sering Menemani Peminat

     

    Kumpulan tempatan Insomniacks telah menjadi kenalan tetap dalam seni muzik Malaysia sekarang. Sejak mula terlibat dalam industri ini, lagu-lagu mereka telah menjadi kegemaran dikalangan remaja tempatan dan viral di pelbagai platform media sosial. Kini, mereka kembali dengan lagu terbaru yang menarik berjudul ‘Teman’.

    Melodi muzik dan lirik ditulis oleh ahli kumpulan ini sendiri iaitu Iqie, digubah dan dibantu oleh Bajai, penerbit yang tidak asing lagi bersama Insomniacks.

    “Lagu ini tentang sentiasa berada di sisi orang yang kita sayang. Ia ditulis dengan niat untuk menemani mereka yang sukar tidur di waktu malam,” ujar Iqie

    “Kami mendapat ilham untuk menulis lagu ini selepas ramai pendengar kami memberitahu bahawa muzik kami sering menemani mereka dalam pelbagai aktiviti, seperti dalam perjalanan ke tempat kerja atau belajar, selain waktu mengulang kaji pelajaran dan juga saat masih terjaga di waktu malam. Kami mahu diskografi kami mengandungi lagu-lagu yang boleh menjadi lagu pengantar tidur juga.

    Selain itu, proses rakamannya juga menyenangkan. Ia merupakan satu penghormatan buat diri saya kerana dapat bekerja dengan dua orang ayah saudara saya yang juga pemuzik berbakat dengan banyak pengalaman dalam industri muzik,” jelas Iqie lagi tentang karya ini.

    Seiring dengan terbitan lagu ini oleh Universal Music Malaysia, lagu ini juga ditampilkan dengan visual dan jalan cerita yang menarik dari segi cinematography dan visual grafik yang menarik untuk pendengar menghayati bait bait lagu ini melalui visual pesanan, untuk mementingkan persahabatan dan sentiasa berada disisi di saat diperlukan. Ada yang merasa menemani seseorang itu membuang masa dan tiada pulangan, Ia mungkin kedengaran benar namun hidup perlu bermasyarakat, membantu satu sama lain dan berada di samping orang yang kita sayang adalah penting kerana kita tidak tahu bila kita mungkin perlukan teman sendiri.

    Berkenaan proses rakaman video, Pengarah, Dick Wai dan pasukannya daripda Unfold Production banyak membantu kami dari segi lakonan dan permintaan kami untuk mewujudkan jalan cerita yang kukuh dan baik’, ujar Iskandar tentang pembikinan video muzik Teman.

    “Saya berharap pendengar dapat memahami maksud di balik lagu yang penuh bermakna buat kami ini. Semoga lagu ini menjadi ikutan dan siulan di konsert-konsert dalam kalangan peminat kami. Saya juga harap mereka dapat merasai nilai persahabatan yang cuba kami paparkan di dalam video ini,” bingkas Dan menutup bicara.

    Single Teman boleh didengari di semua digital platform seperti Spotify, Apple Music, KKBOX, Deezer dah Youtube Music pada 1 Mac 2024, muzik video juga ditayangkan secara eksklusif di saluran YouTube rasmi Insomniacks.

  • VIVO Y100 MUNCUL DENGAN KEHEBATAN TEKNOLOGI TERKINI

    Pada 27 Februari lalu, Vivo telah melancarkan telefon pintar terbaru mereka, Vivo Y100 5G, di Brick Studio, Sunway Damansara. Telefon ini menampilkan sejumlah pembaharuan teknologi yang bertujuan untuk meningkatkan pengalaman pengguna dengan lebih mudah dan cekap.

    Vivo Y100 5G menggunakan 8-core CPU dan chip Snapdragon 4 Gen 2 serta menggunakan Operating System (OS) vivo iaitu Funtouch OS 14. Ia mempunyai 8GB RAM yang boleh ditambahbaik dengan tambahan 8 GB RAM dan menjadikan ia 16 GB RAM.

    Telefon pintar ini juga menggunakan 6.67-inch 120 Hz Ultra Vision AMOLED Dotch Display dan ditambah dengan 300% Volume Audio serta Dual Stereo Speaker untuk menjadikan telefon ini sebagai sebuah panggung wayang mini.

    Dengan bateri yang mempunyai 5000 mAH serta FlashCharging, ia membolehkan pembeli untuk menggunakannya untuk jangka masa yang lama tanpa menggunakan charger. Ia turut tiba dengan Overnight Charging Protection yang mengikut corak tidur pengguna dan hanya akan charge sehingga 80%. Ia akan sambung sehingga 100% sebelum pengguna bangun dari tidur.

    Kamera vivo Y100 5G mempunyai 8MP kamera potrait, 50MP kamera utama, 8MP kamera Ultra Wide Angle dan kamera Flicker Sensor. Ia akan membantu pengguna untuk menangkap gambar dengan lebih cantik, jelas terutama sekali dengan penggunaan Ultra Wide Angle yang memudahkan pengguna untuk menangkap gambar tanpa bergerak ke belakang untuk muatkan objek dalam gambar.

    Ia dibuat menggunakan EcoFibre Leather dan menggunakan frame Metalic High Gloss yang memberikan pengguna rupa astetik untuk telefon ini. Leather yang digunakan vivo merupakan satu teknologi baharu yang berfungsi untuk menghalang pelbagai jenis kotoran dan sinaran UV.

    Harga Vivo Y100 5G akan bermula dijual pada 28 Februari pada harga RM1199 untuk variasi 8GB+256GB. Pembeli boleh membeli telefon ini di stor konsep vivo, vivo e-store, Shopee, dan Lazada. Untuk pertanyaan dengan lebih lanjut mengenai telefon pintar ini, kunjungi ke website rasmi, Facebook atau Instagram Vivo Malaysia