MTPN,CAN komited bantu usahawan tembusi bidang perniagaan di peringkat global

Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) bersama anak syarikatnya Connect and Network (CAN), NW Corporate Advisor Sdn Bhd, dan MATRADE telah menganjurkan seminar “Wawasan Perdagangan Global: Menembusi Pasaran Antarabangsa”. Seminar ini menawarkan peluang emas kepada usahawan tempatan untuk memanfaatkan program kerajaan dalam memperluas jaringan perniagaan ke peringkat global.

Pengerusi CAN, Nicole Ooi Yuet Li, berkata seminar ini bertujuan memberikan analisis dan panduan praktikal untuk membantu syarikat Malaysia mencapai kejayaan global yang lebih besar.

Antara  penceramah yang dijemput  terdiri daripada  Penasihat Perdagangan Akademi Eksport Malaysia (bekas Pesuruhjaya Perdagangan & Pengarah MATRADE), Noraslan Hadi Abdul Kadir dan  Pengurus Kanan Bahagian Halal, Makanan & Minuman dan Agro berasaskan MATRADE, Badrul Hisham Hilal.

Turut menyampaikan ceramah,Timbalan Pengarah Bahagian China & Timur Laut Asia MATRADE, Nur Azni Aziz dan Pengarah Kanan Bahagian Perkhidmatan Pengurusan MATRADE, Remee Yaakub.

Timbalan Pengarah Unit Nasihat & Latihan Pengeksport MATRADE, Noor Ezzwanee Ahmad berkata,visi MATRADE adalah meletakkan Malaysia sebagai negara perdagangan yang kompetitif di peringkat global.

Menurutnya,bagi mencapai matlamat ini MATRADE telah membangunkan Pelan Tindakan Perdagangan Nasional (PTPN 2021-2025 ) yang komprehensif bagi memperbaiki ekosistem dalam bidang perniagaan.

Katanya,pelaksanaan pelan tindakan ini merangkumi langkah-langkah strategik seperti mengukuhkan daya saing global perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan Syarikat Peringkat Pertengahan melalui pendigitalan, kemampanan, dan pembinaan jenama.

“MATRADE akan  memberi tumpuan khusus kepada kumpulan tertentu seperti usahawan asli, wanita dan golongan  muda bagi menyediakan bimbingan intensif yang diadakan selama tiga taun,”katanya.

 

Leave a Comment