Bermula 23 Oktober hingga 28 Oktober, Kuala Lumpur akan mengalami total lockdown trafik terutama di sekitar KLCC dan Putrajaya. Kawasan Golden Triangle Kuala Lumpur juga akan ditutup pada waktu puncak persidangan.

Langkah ini diambil berikutan kehadiran semua pemimpin ASEAN bersama rakan dialog dari Amerika Syarikat, China, Afrika Selatan, Finland serta diikuti lebih 12,000 delegasi lain. Kementerian Luar Negeri memaklumkan seramai 20,000 anggota keselamatan dari seluruh negara dikerah ke lokasi persidangan bagi mengawal aliran trafik dan menjaga keselamatan sepanjang acara berlangsung.

Kuala Lumpur Command and Control Centre (KLC3) turut memaklumkan bahawa antara jalan utama yang terlibat dengan penutupan penuh ialah Jalan Ampang, Jalan Sultan Ismail, Jalan P. Ramlee, Jalan Pinang, Jalan Binjai, Persiaran KLCC, Jalan Tun Razak, Jalan Parlimen, Jalan Bukit Bintang, Jalan Imbi, Jalan Damansara, Jalan Istana, Jalan Kuching dan Jalan Perak.

Beberapa persimpangan strategik yang terlibat termasuk Jalan Ampang–Jalan P. Ramlee, Jalan Sultan Ismail–Jalan P. Ramlee, Jalan Perak–Jalan P. Ramlee, Jalan Perak–Jalan Pinang, Jalan Stonor–Jalan Kia Peng serta Jalan Stonor–Persiaran KLCC.

Beberapa lebuh raya utama juga akan terkesan dengan sekatan ini termasuk Maju Expressway (MEX), Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dari Sungai Buloh ke Jalan Duta, Elite Expressway (KLIA–Putrajaya), New Klang Valley Expressway (NKVE) dari Subang ke Jalan Duta, Guthrie Corridor Expressway (Guthrie) dan Lebuhraya KL–Seremban (Sungai Besi–Pusat Bandar). Selain itu, laluan di KLIA, Putrajaya Ringroad dan Subang menuju ke Kuala Lumpur akan mengalami penutupan sementara dari masa ke semasa.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bersedia membenarkan semua kakitangan awam yang tinggal dalam radius 25 kilometer dari kawasan terlibat untuk memohon bekerja dari rumah. Orang ramai yang tidak mempunyai sebarang urusan penting dinasihatkan mengelakkan daripada memasuki kawasan terlibat sepanjang tempoh ini.

Related Post