Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah melaksanakan satu kaji selidik terhadap sejumlah responden yang mewakili golongan peniaga di bazar Ramadan pada 31 Mac 2023 lalu yang melibatkan seramai 1,148 responden di seluruh Negara.
Tujuan utama kaji selidik ini dilakukan adalah bagi mendapatkan maklumbalas daripada peniaga berhubung sambutan pengguna terhadap aktiviti jualan di bazar Ramadan pada tahun ini. Ia melibatkan bazar Ramadan di kawasan bandar, luar bandar dan bazar Ramadan peringkat Negeri.
Kaji selidik ini juga bertujuan untuk menilai sambutan pengguna terhadap bazar Ramadan dan melihat aspek keuntungan yang diperolehi peniaga. Selain itu, kaji selidik ini juga telah mengumpulkan maklumat berhubung hasil jualan yang diperolehi berbanding sasaran jualan oleh peniaga itu sendiri.
Hasil kaji selidik ke atas 1,148 responden itu mendapati, 69% peniaga menyatakan peningkatan pelanggan/pengunjung di premis mereka manakala 31% peniaga memberi maklumbalas penurunan.
Bagi aspek hasil jualan pula, sebanyak 63% peniaga menyatakan peningkatan ke atas hasil jualan manakala selebihnya 37% memberikan maklumbalas penurunan hasil jualan mereka.
Selain itu, dari segi aspek keuntungan pula, semua responden memberikan maklumbalas memperoleh keuntungan di mana sebanyak 70% peniaga menyatakan mendapat peningkatan keuntungan manakala selebihnya 30% peniaga menyatakan pengurangan dari segi keuntungan.
Nilai jualan dan keuntungan yang diperolehi oleh peniaga banyak dipengaruhi oleh faktor seperti berikut:
- Jenis makanan/minuman yang popular;
- Harga yang berpatutan pada pandangan pengunjung bazar;
- Cuaca; iv. Lokasi bazar;
- Kemudahan tempat parkir kenderaan;
- Turun naik harga bahan mentah seperti buah-buahan untuk penyediaan minuman seperti jus dan sebagainya;
- Kedudukan gerai dalam tapak bazar; dan
- Kos sewaan tapak.
Hasil kaji selidik ini juga mendapati, para peniaga mengharapkan pengunjung semakin bertambah dan berbelanja di bazar Ramadan serta kos bahan mentah dapat diturunkan bagi membantu peniaga mengimbangi harga jualan mereka. Selain itu, peniaga juga berharap agar promosi yang lebih baik dapat dilakukan agar pengunjung bazar Ramadan semakin meningkat selain pengurangan kadar sewa tapak, meningkatkan aktiviti penguatkuasaan, kebersihan tapak perniagaan bazar dan bantuan dari segi modal/kewangan.
KPDN ingin menasihatkan para peniaga agar terus mematuhi peraturan dan perundangan yang dikuatkuasakan Kementerian bagi mengelakkan dikenakan tindakan yang tegas selain menjadi peniaga yang beretika seperti meletakkan tanda harga pada setiap barangan yang dijual dengan tepat dan jelas.
Pengguna juga dinasihatkan agar bijak ketika berbelanja dan menggunakan sepenuhnya hak-hak sebagai pengguna bagi mengelakkan dimanipulasi oleh segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab yang ingin mengambil kesempatan selain berhemah di dalam berbelanja agar tidak 3 berlaku pembaziran.
Sekiranya pengguna mempunyai sebarang maklumat berhubung salah laku oleh peniaga boleh melaporkan kepada pihak Kementerian berserta maklumat yang lengkap dan tepat melalui saluran berikut:
- WhatsApp 019-279 4317 / 019-848 8000;
- Portal e-Aduan KPDN iaitu http://e.aduan.kpdn.gov.my;
- Call Centre 1-800-886-800;
- E-mel (e-aduan@kpdn.gov.my);
- Aplikasi Telefon Pintar Ez ADU KPDN; dan
- Bilik Gerakan Penguatkuasaan 03-8882 6088 / 6245.