Pada Majlis Pelancaran Pakej RAHMAH hari ini, yang diadakan di Tamu Hotel & Suites Kuala Lumpur, Yang Berhormat Datuk Seri Salahuddin Ayub, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, telah disertai tetamu dari Kuala Lumpur Hotel & Suites.
Pelaksanaan Inisiatif Payung RAHMAH di Tamu Hotel & Suites Kuala Lumpur melalui Pakej RAHMAH merangkumi promosi pakej Penginapan dan Iftar iaitu pakej Penginapan Dua Hari Satu Malam di Bilik Standard, Termasuk Sahur dan Iftar untuk Dua Orang Bernilai RM250 sahaja.
Di bawah Pakej RAHMAH Bersama Tamu Hotel & Suites Kuala Lumpur, harga bagi setiap pengunjung yang ingin menikmati ruangan bilik yang lebih luas iaitu di lain kategori pilihan di hotel seperti Bilik Deluxe, Bilik Junior Suite, Bilik Executive Suite ataupun kategori pilihan di Residence seperti Satu, Dua atau Tiga Bedroom Residence, cas tambahan sebanyak RM50 sahaja akan di kenakan bagi setiap permintaan untuk kenaikan taraf bagi kategori pilihan.
Mengetengahkan Menu Hidangan Makanan Masakan Tradisi Melayu dengan harga mampu bayar dan sajian yang membuka selera. Lebih daripada 45 jenis pilihan hidangan bakal disajikan kepada para pengunjung yang membeli Pakej RAHMAH Bersama Tamu Hotel & Suites Kuala Lumpur. Lokasi Bufet Pakej RAHMAH Bersama Tamu Hotel & Suites Kuala Lumpur adalah di Restoran Tamu Junction Place, Di Aras Lobi bermula pada jam 6.30 petang sehingga tamat waktu berbuka iaitu pada jam 9.30 malam.
Untuk pengetahuan, Tamu Hotel & Suites Kuala Lumpur merupakan Hotel Pertama Di Malaysia yang melancarkan Pakej RAHMAH dibawah gabungan pakej perkhidmatan dan Iftar.
KPDN melihat inisiatif ini sebagai salah satu tawaran yang sangat berbaloi untuk dinikmati oleh setiap lapisan golongan masyarakat bukan sahaja tertumpu pada golongan B40 sahaja. Seterusnya KPDN terus komited untuk memastikan seluruh warga Malaysia MADANI dilindungi dan tidak terbeban dengan peningkatan kos sara hidup dalam situasi mencabar dan tidak menentu pada hari ini. Pada masa yang sama, KPDN sentiasa menyokong usaha yang dilaksanakan oleh industri sektor perkhidmatan khususnya Hospitaliti di negara ini untuk menggalakan rakyat Malaysia berbelanja dengan berpatutan menjelang musim perayaan yang bakal menjelang.
Di bawah Inisiatif Payung RAHMAH yang diterajui oleh KPDN, pengguna dijangka dapat merasai menginap di hotel bertaraf 4 bintang dan menikmati menu iftar dengan harga yang berpatutan, disamping dapat mengeratkan tali silaturahim di bulan yang mulia ini. Inisiatif Payung RAHMAH adalah manifestasi keprihatinan dan konsep kasih sayang 3 Kerajaan kepada rakyat Malaysia, khususnya golongan berpendapatan rendah dengan kerjasama rakan-rakan strategik yang terlibat.
KPDN amat berharap agar usaha seperti ini mampu menarik perhatian rakyat Malaysia, khususnya pengunjung untuk menikmati Pakej RAHMAH yang di tawarkan dengan harga yang berpatutan dan mampu bayar sebagaimana yang ditawarkan melalui Pakej RAHMAH Bersama Tamu Hotel & Suites Kuala Lumpur.