Konsert ‘A Night With Sumandak Stars’ Memukau Ribuan Penonton di Kuala Lumpur!

Konsert ‘A Night With Sumandak Stars – Ceritera Hatiku‘ yang dianjurkan oleh Orange International Entertainment telah mencatatkan sejarah baharu apabila sembilan penyanyi wanita hebat kelahiran Sabah, iaitu Marsha Milan, Azharina, Adira Suhaimi, Nikki Palikat, Bella Astillah, Salma, Ayu Damit, Didi Astillah, dan Wani Kayrie, berjaya memukau ribuan penonton di Zepp, Kuala Lumpur, malam tadi.

Ketua Pegawai Eksekutif Orange International, Dato’ Mohd Fadzli Idrus, meluahkan rasa bangga terhadap kejayaan konsert tersebut. “Malam ini membuktikan kehebatan bakat-bakat kelahiran Sabah yang telah berjaya mencipta nama di industri muzik tanah air. Sambutan yang luar biasa daripada penonton adalah penghargaan terbesar untuk semua artis yang terlibat,” ujar Dato’ Fadzli.

Kesembilan artis terkenal ini mempamerkan gabungan bakat luar biasa di atas satu pentas, memberikan persembahan yang penuh dengan emosi, hiburan, dan nostalgia kepada para peminat. Malam tersebut dimulakan dengan sebuah persembahan bertenaga yang menyaksikan kesemua artis menyanyikan lagu ‘Sumandak Sabah’, yang disambut dengan sorakan gemuruh daripada penonton.

Wani Kayrie tampil dengan persembahan lagu ‘Aiman Tino’ yang viral dengan gaya tersendiri, diikuti oleh Ayu Damit yang membawakan lagu ‘Hanya Di Mercu’, mengimbau nostalgia kemenangan beliau dalam pertandingan realiti ‘One In A Million’ musim ke-2 hampir dua dekad lalu. Marsha Milan memukau dengan lagu ‘Cinta’, yang menduduki naib juara di Anugerah Juara Lagu ke-36 (AJL36). Duo adik-beradik Bella dan Didi Astillah turut tampil dengan penuh bertenaga, menyanyikan lagu ‘Bermanja-manja’, diikuti Bella yang menyanyikan lagu ‘Tapi Bukan Denganmu’ dengan penuh emosi.

Kemeriahan konsert diteruskan dengan penampilan Nikki Palikat, yang bergabung dengan Adira Suhaimi dan Ayu untuk membawakan lagu ‘Drama’, memukau penonton dengan aksi dan suara mereka. Salma, juara ‘Mentor’ musim ke-5, turut memeriahkan malam dengan lagu ‘Aku Permata’, diikuti oleh Adira yang membawakan lagu hitnya ‘Pujaan Hati’. Azharina, yang digelar ‘Queen of Soul’, mencuri perhatian dengan vokalnya yang padu dalam lagu ‘Rawan’, ‘Seandainya’, dan ‘Elegi Sepi’.

Sebagai kejutan istimewa, kesemua artis menyatukan suara mereka di akhir konsert dengan sebuah medley lagu ‘Anak Kampung’ dan ‘Original Sabahan’, yang mencetuskan suasana penuh keakraban dan nostalgia.

Dato’ Fadzli menyatakan bahawa pihaknya berasa optimis dengan masa depan Orange International, menambah, “Kami sentiasa berusaha untuk mempersembahkan hiburan berkualiti yang juga mempunyai nilai yang mendalam.” Konsert ini turut diserikan oleh kehadiran Yang Dipertua Negeri Sabah, dan mendapat sambutan luar biasa daripada peminat dari Sabah, Semenanjung Malaysia, Singapura, serta Brunei.

Selain disokong oleh Kementerian Pelancongan, Seni & Budaya, konsert ini akan diteruskan ke negeri Sabah pada tahun depan. “Dengan kejayaan ini, kami merancang lebih banyak acara yang menampilkan artis dari pelbagai latar belakang dan genre untuk memberikan pengalaman muzik yang berbeza kepada peminat di seluruh negara,” kata Dato’ Fadzli.

Keberhasilan konsert ini sekali lagi menunjukkan komitmen Orange International Entertainment dalam menyediakan platform untuk mempersembahkan muzik berkualiti, sekaligus menghimpunkan rakyat Malaysia dan serantau dalam semangat kesatuan melalui seni.

Tahniah kepada semua artis dan pasukan yang terlibat dalam kejayaan konsert ini!