Klepet: Kemunculan Gadis Misteri Ubah Pengembaraan Tiga Sahabat Menjadi Tragedi

Suatu hari, sedang mereka berseronok menaiki kenderaan ‘motorhome’, pengembaraan tiga sahabat, Paly, Jany dan Wady, berubah menjadi tragedi dengan kemunculan seorang gadis misteri dari Ukraine yang mencetuskan keadaan huru-hara. Itu merupakan plot utama dalam penceritaan yang dipaparkan menerusi filem terbaharu bergenre aksi komedi berjudul Klepet terbitan Wawa Global Sdn. Bhd. yang diarahkan oleh Indra Putra atau Sanji.

Indra berkata, beliau tertarik untuk mengarahkan filem ini kerana jalan cerita dan pembikinannya yang mempunyai kelainan tersendiri, meskipun ia sebuah naskhah yang dilihat sebagai hiburan ringan.

“Klepet menggabungkan gaya komedi pelbagai lapisan, daripada elemen komikal dan animasi, sehinggalah kepada lawak rawak yang spontan dan disesuaikan mengikut babak.

“Pendekatan ini ternyata menjadikan filem Klepet ini agak berbeza berbanding dengan filem-filem aksi komedi yang pernah dipertontonkan sebelum ini,” ujarnya.

Menurut Indra, antara tarikan filem pertama arahannya itu apabila menampilkan tiga pelakon lelaki yang menjadi sebutan ramai iaitu Aedy Ashraf, Meerqeen dan Nadhir Nasar selaku tunjang utama.

Ujarnya, ia diperkuatkan lagi dengan kemunculan pelakon hebat lain seperti Aeril Zafrel, Joey Daud, Eric Fuzi, Namie SMY, Adlin Aman Ramlie serta pelakon kelahiran Ukraine iaitu Darina Porhun.

Sementara itu, Aeril Zafrel selaku penerbit berkata, Klepet bakal menampilkan kelainan dari segi penceritaan serta pendekatan visual berbanding filem-filem aksi komedi yang pernah dihasilkan dengan gabungan tiga pelakon yang dianggap sebagai ‘Hero Malaya’.

Namun begitu, Aeril turut menekankan bahawa filem terbitannya itu bukan sahaja menawarkan hiburan semata-mata, tetapi turut menyelitkan mesej sosial yang relevan serta mengenai pentingnya persahabatan dan kepekaan terhadap apa yang berlaku di sekeliling.

“Kami menghasilkan Klepet bukan sekadar untuk gelak ketawa. Ia juga membawa inspirasi terutamanya kepada golongan anak-anak muda memandangkan filem ini cukup dekat dengan jiwa mereka.

“Filem ini mengetengahkan tentang nilai persahabatan, pengorbanan dan saling menyokong. Harapan kami, ia dapat menjadi hiburan yang sesuai ditonton seisi keluarga,” ujarnya.

Jelas Aeril, Klepet menjalani penggambaran sepenuhnya di negeri Melaka dalam tempoh selama 25 hari dengan kos penerbitan sebanyak RM2.6 juta.

Bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 27 November 2025, Klepet turut mendapat bantuan Dana Kandungan Digital (DKD) melalui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

“Filem ini mendapat dokongan daripada FINAS yang telah menyediakan dana pelengkap untuk menyempurnakan filem ini,” ujarnya.

Untuk makluman, tiket untuk menonton filem Klepet sudah boleh dibeli dengan melayari laman sesawang www.tgv.com.my atau menerusi aplikasi TGV.

SINOPSIS
Tiga member masuk air, Pali, Jani & Wadi plan nak enjoy trip chill dengan motorhome dorang. Semua steady je… sampailah si Lola ni muncul, si gadis misteri penuh drama. Dari situ, hidup dorang terus jadi huru-hara weh.
Belum sempat setel hal Lola, muncul pulak hitman, lepas tu jumpa pulak duit berkepuk. Semua benda jadi kelam-kabut habis. So… mampu ke Pali, Jani & Wadi survive trip paling chaos ni, atau terus karam dengan masalah klepet sendiri?

PELAKON
AEDY ASHRAF – Paly
NADHIR NASAR – Jany
MEERQEEN – Wady
AERIL ZAFREL – Hitman
ERIC FUZI – Jud
JOEY DAUD – Yak
NAMIE SMY – Rawi
DARINA PORHUN – Lola
ADLIN AMAN RAMLEE – Lawi

PRODUKSI
TERBITAN: WAWA GLOBAL SDN BHD
PENERBIT: AERIL ZAFREL & WAWA ZAINAL
PENERBIT EKSEKUTIF: SHAHRIMAN WAHAP
PENERBIT PENYELARAS: HARITH SHAH IDRIS, BADRUL HISAM
PENGARAH: INDRA PUTRA (SANJI)
PENOLONG PENGARAH 1: AZAROMI MOHD GHOZALI
PENOLONG PENGARAH 2: AZHAR ZAINAL
PENULIS SKRIP: BAITEM SMIKXA
PENGURUSAN PRODUKSI: RC PRODUCTION
PENGARAH FOTOGRAFI: ABDUL RAHMAN
PENGARAH SENI: NORDIN ISMAIL (CHEDIN)
TATARIAS: HAFIZAH IBRAHIM
BUSANA: MAHMOD
STUNT TEAM: MES STUNT MASTER
PASCA PRODUKSI: GREY HUB STUDIO

Related Post