Md Noor Saifullah, yang lebih dikenali sebagai Saiful Jaicob, seorang penyanyi dan komposer dari Sabah, kini kembali ke industri muzik dengan single terbarunya yang berjudul “Kali Kedua”. Lagu ini merupakan ciptaan Saiful Jaicob sendiri, manakala liriknya ditulis oleh Kent, dan dirakamkan di Patauboys Home Studio, Sabah.
Sebelum ini, Saiful Jaicob telah mengeluarkan beberapa single pada tahun 2014 dan memulai perjalanan dalam dunia nyanyian setelah menyertai sebuah program anjuran Luncai Emas pada tahun 2017 bersama beberapa komposer tempatan Sabah yang lain.
Pada tahun 2024, Saiful Jaicob kembali dengan merakamkan lagu baru yang berjudul “Kali Kedua”. Setelah selesai, lagu ini dipersetujui untuk diedarkan secara digital oleh Luncai Emas.
Menurut Saiful, “Lagu ini mengisahkan tentang ketegasan prinsip seorang insan yang pernah ditinggalkan dan kemudian dirujuk kembali namun menolak dengan sepenuh hati. Kisah pahit akibat ditinggalkan telah meninggalkan kesan mendalam dan hilangnya perasaan untuk membina semula cinta yang musnah. Walaupun kadang-kadang terfikir untuk memberi peluang kedua, namun biarlah ia hanya sebagai khayalan demi kelangsungan hidup daripada diberi janji yang belum pasti kesudahannya. Kesengsaraan itu biarlah cuma sekali dan tidak berulang untuk kali kedua.”
Selain itu, single “Kali Kedua” telah berjaya menjadi pencalonan baru dalam Carta Lagu Artis Sabah (CLAS) pada 1 April 2024 dan kini sudah memasuki minggu ke-13, menduduki tangga ke-2.
“Kent yang hantar lagu ini pergi RTM Sabah, dan masuk dalam pencalonan baru. Akhirnya RTM Sabah hubungi saya selepas lagu ini lulus untuk siaran. Mungkin rezeki saya”. – jelas Saiful Jaicob.
“Saya amat terpegun kerana lagu ini telah menduduki tangga ke-2 dan berharap ianya boleh bertahan hingga ke minggu akhir sekaligus menjuarai dalam Carta Lagu Artis Sabah 2024”. – ujar Saiful Jaicob lagi.
Buat masa kini, Saiful Jaicob akan meriliskan single Kali Kedua di semua saluran digital mulai 5 Julai 2024 dan official audio di Youtube. Para peminat boleh membuat undian juga untuk lagu ini di ruangan Facebook Carta Lagu Artis Sabah.
Semoga lagu ini berjaya memikat pendengar dan berkembang di seluruh Sabah serta Semenanjung Malaysia.