Dua artis berbakat, Hael Husaini dan Nadeera Zaini yang merupakan artis naungan Rocketfuel Entertainment, telah mencipta satu detik bersejarah apabila membuat persembahan yang memukau penonton di Asia, terutamanya di Anugerah Televisyen Asia ke-29 (29th Asian TV Awards) yang berlangsung pada 29 dan 30 November 2024 di Jakarta, Indonesia.
Apa yang lebih membanggakan, kedua-dua artis ini mendapat permintaan istimewa daripada pihak Indosiar dan penganjur Asian TV Awards untuk melakukan persembahan tambahan pada malam kedua acara tersebut. Pada asalnya, mereka hanya dijadualkan untuk menyanyikan dua lagu, namun selepas melihat persembahan luar biasa mereka pada malam pertama, pihak Indosiar dan penganjur menghubungi Rocketfuel Entertainment dengan permintaan untuk persembahan tambahan pada malam kedua.
Rocketfuel Entertainment, bersama-sama dengan Hael Husaini dan Nadeera Zaini, akhirnya bersetuju dan memilih lagu “Kelentang Kelentong” dan “Bukan Cinta Biasa” sebagai lagu tambahan yang ketiga.
Pada malam pertama, Hael Husaini memukau ribuan penonton dengan gaya bertenaga menerusi lagu-lagu popularnya seperti “Jampi”, sementara pada malam kedua, beliau memilih lagu “Diam” dan “Kelentang Kelentong” sebagai persembahan utama. Gaya penuh karisma Hael Husaini berjaya menawan hati penonton di lokasi dan juga jutaan peminat yang menonton secara langsung melalui saluran Indosiar dan aplikasi Vidio, dengan anggaran hampir 500 juta penonton.
Nadeera Zaini juga tidak kurang hebat dengan lontaran vokalnya yang memukau, mempersembahkan lagu-lagu klasik popular seperti “Nirmala” dan “Bukan Cinta Biasa” serta lagu hitnya “Bukan Lagi Kita”. Lagu ini turut menjadi runut bunyi drama popular yang akan datang, Curang Tanpa Niat, yang turut mendapat perhatian penonton serantau.
“Saya amat bersyukur dan terharu dengan penghormatan ini. Pada asalnya, kami hanya dijadualkan untuk membawakan dua lagu, tetapi apabila diminta untuk membuat persembahan tambahan, ia adalah sesuatu yang sangat luar biasa. Kami sangat berbangga dapat mewakili Malaysia di acara berprestij ini. Ini adalah peluang besar untuk kami berkongsi budaya dan muzik Malaysia dengan dunia,” kata Hael Husaini selepas persembahan.
Nadeera Zaini juga berkongsi perasaan gembiranya, “Ini adalah pengalaman yang sangat bermakna. Saya tidak menyangka sambutan yang begitu hebat daripada penonton di sini. Dapat kembali ke pentas pada malam kedua dengan lagu tambahan atas permintaan penganjur adalah satu penghormatan yang tidak ternilai dan ini adalah pengalaman yang luar biasa. Sokongan peminat dari Malaysia dan juga luar negara memberikan kami semangat untuk terus berkarya dan membawa nama Malaysia ke peringkat yang lebih tinggi.”
Persembahan mereka tidak hanya mendapat sorakan gemuruh daripada penonton di studio, malah turut mendapat pujian daripada media antarabangsa dan penggiat seni dari pelbagai negara yang hadir pada acara tersebut.
Dengan siaran langsung yang disaksikan oleh hampir 500 juta penonton dari seluruh Asia, persembahan Hael Husaini dan Nadeera Zaini di Anugerah Televisyen Asia ke-29 telah mencipta satu sejarah dalam industri hiburan serantau dan membuka lebih banyak peluang bagi mereka untuk berkembang di masa hadapan.
Antara selebriti Asia yang turut hadir di Anugerah Televisyen Asia ke-29 adalah Luna Maya, Raffi Ahmad, Tony Gapa, Robby Purba, Louise Hesse selaku pengacara, serta bintang-bintang popular lain seperti Lesti Kejora, Wulan Guritno, Rina Nose, Putri Ariani, dan ramai lagi.
Anugerah Televisyen Asia (Asian TV Awards) adalah acara tahunan yang mengiktiraf pencapaian cemerlang dalam industri televisyen Asia. Acara ini merangkumi pelbagai kategori termasuk drama terbaik, pelakon terbaik, pengarah terbaik, dan persembahan muzik terbaik, dengan penyertaan dari lebih 20 negara di seluruh rantau Asia.