EMPAT, gabungan empat bintang tersohor tanah air iaitu Ziana Zain, Anuar Zain, Ernie Zakri dan Syamel, tampil dengan kejutan istimewa buat para peminat menerusi lagu baharu berjudul Jangan Henti. Lagu ini hadir sebagai simbol kasih, semangat, dan penghargaan EMPAT terhadap sokongan tanpa henti yang diterima sepanjang perjalanan seni mereka.
“Jangan Henti adalah hadiah terbaru daripada kami buat para peminat. Lagu ini yang dirakamkan khas lahir daripada kasih dan semangat yang tidak pernah putus, sama seperti sokongan anda yang sentiasa mengiringi langkah kami. Semoga irama ini menjadi pengikat kenangan terindah menjelang Konsert EMPAT Live in Kuala Lumpur 2025.”
Lagu ini dicipta oleh Edry Abdul Halim (KRU) dengan lirik oleh Syamel, Ernie dan Edry. Ia turut mendapat kerjasama daripada Anuar Zain Network Sdn Bhd, Ziana Zain Network Sdn Bhd serta Universal Music Sdn Bhd. Jangan Henti dijangka berada di semua platform digital pada minggu hadapan.

Bersempena dengan pelancaran ini, EMPAT turut mengadakan sesi eksklusif bersama peminat pada 4 Oktober 2025 di Sungei Wang Plaza, serentak dengan tayangan perdana muzik video lagu tersebut. Apa yang lebih bermakna buat peminat ialah peluang berfoto bersama EMPAT — empat figura seni yang telah lama mewarnai industri dengan karya dan dedikasi mereka.
Seramai 70 peminat bertuah telah dipilih; 50 terawal yang hadir dengan bukti pembelian tiket konsert, dan 20 terawal yang membeli tiket di lokasi acara. Mereka turut menerima poster eksklusif bertandatangan EMPAT sebagai kenangan.
EMPAT menzahirkan rasa syukur atas sokongan peminat yang sentiasa menjadi sumber kekuatan. “Kami, EMPAT, menantikan kehadiran anda dengan penuh rasa syukur dan terima kasih. Setiap anda yang hadir bukan sekadar memberi sokongan, tetapi menjadi inspirasi dan doa agar konsert pada 18 Oktober nanti bukan sekadar persembahan, tetapi kenangan terindah buat anda semua,” ujar EMPAT.
Acara ini menjadi pemanas semangat sebelum konsert utama, Konsert EMPAT Live in Kuala Lumpur 2025, yang akan berlangsung pada 18 Oktober di Mega Star Arena. Konsert ini dijangka menjadi malam penuh magis dengan gabungan empat suara emas di atas satu pentas, menjanjikan sebuah persembahan bersejarah untuk peminat muzik tanah air.
Bagi yang masih belum mendapatkan tiket, ia boleh didapati melalui laman rasmi Ticket2u di http://www.ticket2u.com.my/empatkl.

