Chentaku: Zizan Razak dan SonaOne Raih Kejayaan Luar Biasa dengan 1 Bilion Tontonan di TikTok

KUALA LUMPUR – Selepas tujuh tahun dilancarkan, lagu “Chentaku” oleh Zizan Razak dan SonaOne, yang diterbitkan oleh Rocketfuel Entertainment, mencatatkan pencapaian luar biasa dengan lebih dari 1 bilion tontonan di TikTok. Lagu ini, yang turut dimeriahkan dengan sentuhan Joe Flizzow, telah menjadi fenomena viral dan menjadi trending di platform media sosial tersebut.

Dalam perkongsian di laman Instagram Rocketfuel Entertainment, Zizan menyatakan betapa bersyukurnya kerana lagu ini masih disukai oleh peminat dari pelbagai latar belakang dan golongan, walaupun sudah berlalu beberapa tahun sejak dilancarkan.

“Walaupun sudah bertahun-tahun berlalu, lagu Chentaku tetap relevan dan mendapat sambutan yang positif dari pelbagai golongan dan usia.

Zizan turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang telah menggunakan lagu Chentaku dalam video-video TikTok mereka, yang telah menyumbang kepada pencapaian lebih dari 1 bilion tontonan.

“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang telah mencipta konten menggunakan lagu Chentaku. Melalui kandungan-kandungan itu, lagu ini telah mencapai lebih dari 1 bilion tontonan, satu pencapaian yang amat membanggakan,” kata Zizan dengan penuh kegembiraan.

Rocketfuel Entertainment juga berkongsi klip video TikTok para ‘influencer’ dan selebriti yang menggunakan lagu Chentaku. Antara mereka termasuk Mimi Lana, Syafiq Kyle, Merqeen, Leona, Imranbard, Sherry Alhadad, Nabila Razali, Alan Walker, dan banyak lagi. Sementara itu, video lirik lagu ini mendekati 10 juta tontonan di saluran YouTube Rocketfuel Network setelah 7 tahun dilancarkan.

Lagu Chentaku, yang dilancarkan pada tahun 2017, menceritakan kisah seorang jejaka yang jatuh cinta pada pandangan pertama dan berusaha mendekati gadis tersebut. Namun, cinta itu hanya berjalan dari jauh dan kedua belah pihak merasa malu saat pertemuan buat kali pertama. Lagu ini dicipta oleh SonaOne dengan Joe Flizzow sebagai penerbit eksekutif. Liriknya ditulis oleh Zizan Razak bersama Joe Flizzow.

Anda boleh strim lagu Chentaku di semua platform digital seperti Apple Music, Spotify, Deezer, KKBox, YouTube, dan YouTube Music. Teruskan juga menghasilkan kandungan video di TikTok dan Instagram Reels menggunakan lagu ini.

Leave a Comment