Author: Destina Asia

  • JAMINAN KEBERADAAN BEKALAN AYAM DAN TELUR AYAM DI PASARAN

    Menjelang Ramadan dan Aidilfitri, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi tumpuan untuk membantu rakyat Malaysia MADANI dalam mengurangkan tekanan akibat kos sara hidup dan menyelesaikan masalah kenaikan harga.

    Selain pelbagai Inisiatif di bawah Payung RAHMAH, turut diteruskan oleh Kerajaan adalah dengan mengawal dan menetapkan harga maksimum bagi ayam dan telur ayam sepanjang bulan Ramadan dan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

    Berdasarkan statistik penguatkuasaan berhubung pelaksanaan Penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur Ayam, Kementerian telah melakukan 183,047 pemeriksaan dan menghasilkan 2,711 kes di seluruh Negara. Antara kesalahan yang dikesan adalah menjual melebihi harga kawalan, kegagalan mematuhi penandaan harga serta kesalahan lain. Nilai kompaun yang dihasilkan adalah berjumlah RM 482,400.00.

    Pihak Kementerian juga telah mengadakan sesi libat urus bersama Kementerian Kewangan (MoF), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS), Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) serta pihak pengeluar yang diwakili Persekutuan Persatuan Penternak- 2 Penternak Malaysia (FLFAM) bagi memastikan isu bekalan dan harga ayam dan telur ayam dapat ditangani secara holistik.

    Pihak pengeluar menerusi FLFAM juga telah memberi jaminan bahawa bekalan ayam dan telur ayam adalah mencukupi sepanjang bulan Ramadan dan menjelang musim perayaan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

    Pihak pengeluar juga telah menyatakan komitmen bahawa mereka akan bekerjasama dengan pihak Kementerian bagi menangani sebarang isu gangguan bekalan ayam dan telur ayam di dalam Negara dengan menyalurkan segera bekalan ke atas mana-mana lokaliti yang mengalami gangguan.

    KPDN akan giat melaksanakan pemeriksaan dan pemantauan di seluruh Negara serta menggalakkan pengguna untuk menjadi mata dan telinga kepada Kerajaan dengan menyalurkan maklumat serta aduan yang lengkap berhubung ketidakpatuhan ke atas undang-undang yang dikuatkuasakan oleh Kementerian terutamanya berhubung isu kekurangan bekalan atau ketidakpatuhan ke atas harga maksimum ayam dan telur ayam melalui saluran berikut:

    1. WhatsApp 019-279 4317 / 019-848 8000;
    2. Portal e-Aduan KPDN iaitu http://e.aduan.kpdn.gov.my;
    3. Call Centre 1-800-886-800;
    4. E-mel (e-aduan@kpdn.gov.my);
    5. Aplikasi Telefon Pintar Ez ADU KPDN; dan
    6. Bilik Gerakan Penguatkuasaan 03-8882 6088 / 6245
  • PELANCARAN BAZAR RAMADAN RAHMAH (BRR) DAN PROGRAM INISIATIF PENDIGITALAN SEKTOR PERUNCITAN (REDI) PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG

    Yang Berhormat Senator Puan Hajah Fuziah binti Salleh, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup hari ini telah melakukan sesi walkabout peniaga di Bazar Ramadan Bayan Baru, Pulau Pinang sekaligus melancarkan Bazar Ramadan RAHMAH (BRR) dan Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI) Peringkat Negeri Pulau Pinang 2023.

    Bazar Ramadan RAHMAH (BRR) adalah inisiatif terbaru Kerajaan dalam mengurangkan kos sara hidup rakyat dengan menyediakan pilihan hidangan untuk berbuka puasa pada harga murah dan berpatutan. Ini termasuklah dengan mengalakkan peniaga bagi menyediakan kepelbagaian konsep penyediaan makanan/ produk yang seimbang berteraskan Menu RAHMAH kepada pengunjung yang datang ke Bazar Ramadan pada tahun ini.

    Antara kriteria BRR adalah sebahagian peniaga menawarkan Menu RAHMAH, lokasi yang menjadi tempat tumpuan rakyat dan menggalakkan kadar sewa RAHMAH serta berpatutan kepada peniaga berdasarkan lokaliti. Inisiatif BRR ini dilaksanakan secara kerjasama strategik di antara 2 KPDN dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tanpa melibatkan sebarang implikasi kos kepada Kerajaan. Sehingga kini, sebanyak 38 lokasi sedang melaksanakan BRR di seluruh negara termasuklah 1 lokasi BRR yang dilaksanakan bersama Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dalam menyantuni rakyat di sekitar Pulau Pinang sepanjang bulan Ramadan ini.

    Pada masa yang sama, KPDN bersama MBPP juga meneruskan perluasan Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (Retail Digitalisation Inisiative – ReDI) yang bertujuan untuk memastikan peniaga kecil ini tidak terus ketinggalan di dalam arus perdana dan bersama-sama dalam melibatkan diri menerusi model baharu perniagaan secara digital. Selari dengan matlamat tersebut, seramai 55 peniaga di BRR Bayan Baru telah mengaplikasikan pembayaran digital tanpa tunai (Cashless). Inisiatif ini mendokong kerangka pelaksanaan MyDIGITAL, Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) dan Pelan Pelaksanaan Dasar (PPD) RMK12 bagi sektor peruncitan dalam membantu peniaga melonjakkan semula ekonomi mereka dengan mempelbagai pilihan pembayaran di samping meningkatkan lagi pendapatan terutamanya pada musim perayaan ini.

    Selain itu, syarikat Pen Petroleum Sdn Bhd (PENPEC) juga turut serta menyokong program BRR ini dengan memberikan satu unit kad petrol Caltex (“StarCash”) bernilai RM50 kepada 20 peniaga secara ‘first come first serve’ yang menawarkan Menu RAHMAH. StarCash tersebut boleh digunakan di mana-mana Stesen Caltex di negeri Pulau Pinang.

    Pada masa juga, turut dilaksanakan Program Kempen MYSaveFood Ramadan 2023 yang dikelolakan oleh Pemuda GEMA. Program yang dilaksanakan ini merupakan satu inisiatif untuk mengurangkan pembaziran makanan di tapak Bazar Ramadan. Lebihan makanan yang tidak terjual oleh peniaga akan diberikan kepada golongan yang memerlukan. Pada tahun 2022 dalam program yang sama, sebanyak 3791.5kg makanan dan 4003.5kg minuman berjaya diselamatkan dan diagihkan dengan penglibatan peniaga-peniaga bazar. Manakala, sepanjang tahun 2017 hingga 2022, sebanyak 41.5 tan makanan dan minuman yang diselamatkan dan diedarkan kepada golongan yang memerlukan. Inisiatif ini juga dapat menyumbang kepada Sustainable Development Goal (SDG) 12.3 iaitu mengurangkan separuh daripada jumlah pembaziran makanan menjelang tahun 2030.

    KPDN merakamkan setinggi penghargaan kepada MBPP dan semua pihak yang terlibat di atas komitmen yang sangat baik sepanjang menjayakan inisiatif BRR dan ReDI ini bagi membantu golongan yang memerlukan dalam meringankan beban kos sara hidup mereka di Pulau Pinang di samping meningkatkan pendapatan para peniaga di sini.

    Untuk sebarang pertanyaan lanjut, pihak pemain industri dan orang ramai boleh menghubungi Sekretariat Perdagangan Pengedaran dan Industri Perkhidmatan (SPIP) di talian hotline 03- 8882 5881/ 5905 atau melalui emel kepada spip@kpdn.gov.my

  • PENYAMPAIAN GERAN KAJIAN, PEMBANGUNAN, DAN/ ATAU PENGKOMERSILAN (R&D&C) PROGRAM KHAZANAH ALAM INDUSTRI JUALAN LANGSUNG SERTA PENYERAHAN LESEN JUALAN LANGSUNG

    YB Datuk Seri Salahuddin Ayub, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup telah menyampaikan Geran Kajian, Pembangunan, dan/ atau Pengkomersilan (R&D&C) Program Khazanah Alam Industri Jualan Langsung kepada 8 syarikat jualan langsung dan 1 badan berkanun dalam satu majlis yang berlangsung di Dewan Serbaguna KPDN Putrajaya.

    Inisiatif pemberian Geran R&D&C ini bertujuan untuk memperkembangkan perniagaan jualan langsung khususnya kepada syarikat jualan langsung yang mengeluar dan memasarkan produk tempatan berasaskan sumber alam semula jadi serta membantu syarikat mengkomersilkan produk jualan langsung.

    KPDN berharap pemberian geran ini akan dapat meningkatkan dan memajukan industri jualan langsung serta yakin ianya akan dapat memberi nilai tambah kepada produk-produk khazanah alam tempatan. Majlis ini turut menyaksikan penyerahan lesen jualan langsung melibatkan 14 syarikat 2 menerima lesen baharu manakala 54 syarikat menerima lesen pembaharuan.

    Kementerian mengingatkan agar pemegang lesen jualan langsung sentiasa mematuhi segala peraturan yang telah digariskan demi menggalakkan pertumbuhan dan perkembangan aktiviti jualan langsung yang beretika di samping peka kepada hak serta kepentingan pengguna. KPDN selaku Kementerian bertanggungjawab mengawal selia industri jualan langsung yakin industri jualan langsung ini akan terus berkembang maju dan mampu menyumbang kepada pertumbuhan sosio-ekonomi negara.

     

  • Program Kongsi Rezeki Ramadan

    Program Kongsi Rezeki Ramadan

    Sepanjang Ramadan ini, Program Perkongsian Rezeki Ramadan akan menyampaikan sejumlah 3,000 paket juadah sarapan pagi kepada golongan asnaf khususnya pelajar kolej dan anak yatim.

    Pengagihan pek berbuka puasa itu telah bermula pada 1 Ramadan melibatkan 200 pelajar Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) kampus Bangi, Selangor.

    Menu yang disajikan adalah berkhasiat dan berkualiti bagi memastikan golongan asnaf benar-benar dapat menikmati juadah yang enak ketika berbuka puasa.

    Perdana Menteri Kesembilan, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob berkata, program ini diadakan bagi memastikan golongan asnaf tidak terpinggir dan dapat merasai nikmat ketika berbuka.

    “Di saat kita mampu membeli pelbagai juadah berbuka dan menikmati makanan yang lazat, masih ada lagi mereka yang tidak bernasib baik.

    “Menginsafi hal ini, Program Kongsi Rezeki Ramadan menyediakan juadah berbuka berupa pek makanan kepada golongan fakir miskin dan Asnaf melalui pengagihan secara reach out kepada golongan sasar, ” kata Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob.

    Beliau berkata demikian ketika menyantuni dan mengagihkan juadah berbuka puasa kepada pelajar-pelajar Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Keramat di sini hari ini.

    Tambah Dato’ Sri Ismail Sabri, program ini juga memupuk dan menyuburkan semangat Keluarga Malaysia, untuk saling bantu membantu khususnya terhadap golongan memerlukan di bulan yang mulia ini.

    Pada hari ini, sebanyak 100 pek makanan di agihkan kepada pelajar Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah dan 120 pek makanan kepada penghuni Rumah Limpahan Kasih yang beroperasi di Puchong, Selangor.

    Dari jumlah 3,000 pek makanan yang diagihkan sepanjang Ramadan, sebanyak 500 diperuntukkan kepada petugas keselamatan.

    Sumbangan tersebut dilaksanakan bagi meringankan beban pengawal keselamatan yang berpendapatan rendah.

  • 313 KELUARGA TERIMA SUMBANGAN KOTAK MAKANAN DAN WANG TUNAI SEMPENA BANTUAN PASCA BANJIR DAERAH ROMPIN

    313 KELUARGA TERIMA SUMBANGAN KOTAK MAKANAN DAN WANG TUNAI SEMPENA BANTUAN PASCA BANJIR DAERAH ROMPIN

    Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) hari ini menyampaikan sumbangan dan wang tunai berjumlah RM72,000 kepada 313 keluarga terjejas banjir Rompin.

    Timbalan Menterinya Senator Fuziah Salleh (gambar) dalam kenyataan berkata sumbangan pasca banjir itu bertujuan meringankan beban mereka yang telah ditimpa bencana.

    Beliau berkata ia disampaikan kepada keluarga yang terjejas akibat banjir di kampung Orang Asli dan kampung tradisi antaranya Kampung Bukit Serok, Kampung Meripoh, Kampung Rekoh, Kampung Perwira Jaya, Kampung Lubok Batu selain Kampung Gadak.

    Katanya Bakul Rahmah itu disumbangkan oleh Rakan Strategik KPDN antaranya Yayasan Food Bank Malaysia dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia, manakala wang tunai disumbangkan oleh Tabung Musaadah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Yayasan Takwa.

    “Sejak banjir melanda pada 1 Mac lepas, KPDN menerusi pejabat KPDN Pahang telah menghulurkan bantuan kepada 837 mangsa banjir di Pahang melibatkan kawasan Chini (Pekan), Raub, Jerantut, Temerloh dan Rompin. Sejumlah 800 bungkusan sumbangan bantuan Food Bank dan Bakul Rahmah disampaikan kepada mereka yang terkesan akibat musibah ini,” katanya.

    Selain itu, menurut Fuziah sepanjang berlakunya banjir Sekretariat Food Bank Malaysia bersama Rakan-Rakan Strategik Utama program Bakul Rahmah telah mengagihkan sumbangan berbentuk makanan sedia dimakan dan keperluan diri kepada mangsa yang terlibat.

    Menurutnya bantuan diagihkan kepada mangsa yang ditempatkan di 41 buah Pusat Penempatan Sementara di lima negeri iaitu Terengganu, Perak, Pahang, Johor dan Kelantan.