Author: Destina Asia

  • PELANCARAN INISIATIF PAYUNG RAHMAH BERSAMA RAKAN STRATEGIK KPDN

    KULIM, 4 SEPTEMBER 2023Yang Berhormat Senator Puan Hajah Fuziah binti Salleh, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup hari ini telah melancarkan Inisiatif Payung RAHMAH Bersama SJ Circle Sdn Bhd yang diadakan di Kulim Industrial Estate, Kulim, Kedah.

    Di bawah Inisiatif Payung RAHMAH, KPDN telah melancarkan empat (4) teras utama iaitu Jualan RAHMAH, Menu RAHMAH, Bakul RAHMAH dan Pakej RAHMAH. Melalui Inisiatif Jualan RAHMAH, KPDN telah mempunyai 29 rakan strategik yang terdiri daripada pasar raya besar, pasar raya rangkaian dan pihak pengeluar. Inisiatif Payung RAHMAH adalah manifestasi keprihatinan dan konsep kasih sayang Kerajaan kepada rakyat Malaysia, khususnya golongan berpendapatan rendah dengan kerjasama rakan-rakan strategik yang terlibat.

    Terdapat tiga (3) model Program Jualan RAHMAH iaitu dalam premis, luar premis, dan bergerak (mobile). Sehingga kini, jumlah PJR dan PJRB telah dilaksanakan di 1,748 lokasi di 222 parlimen sejak ianya diperkenalkan pada Januari 2023. PJRB atau #KedaiCariRakyat terbukti dapat memberi kesan yang positif dalam usaha untuk meringankan kos sara hidup dan kini telah 2 menjangkau rakyat di semua peringkat termasuk kawasan yang tiada pasar raya atau pasar raya besar. Untuk makluman, PJRB telah menjangkau rakyat Malaysia MADANI di bandar, pinggir bandar dan juga di luar bandar meliputi 575 lokasi di seluruh negara.

    Selaras dengan saranan Kerajaan ini, SJ Circle Sdn Bhd akan memulakan penyertaan sebagai rakan strategik di bawah Inisiatif Payung RAHMAH dengan mengeluarkan produk lampin bayi pakai buang jenama MIDORI khusus bagi Jualan RAHMAH Bergerak. Jenama MIDORI ini boleh didapati dalam lima(5) bungkusan berbeza mengikut saiz iaitu S, M, L, XL dan XXL.

    Untuk makluman, SJ Circle Sdn Bhd adalah sebuah syarikat perkilangan yang telah beroperasi sejak tahun 2016 dan telah mengeluarkan produk lampin pakai buang untuk bayi dan kanak-kanak bagi beberapa jenama seperti MIDORI dan Weezy serta lampin pakai buang dewasa jenama Senshine dan Sensof. Syarikat ini juga telah mendapat pengiktirafan ISO 9001:2015 oleh pihak LRQA serta status HALAL dari pihak JAKIM.

    Selain itu, SJ Circle Sdn Bhd turut mempunyai rakan strategik di beberapa buah negara luar seperti Kemboja, Thailand, Vietnam dan India, di samping pasaran tempatan sedia ada. KPDN amat berharap agar usaha seperti ini mampu menarik perhatian rakyat Malaysia, khususnya pengguna untuk mendapatkan barangan dengan harga yang murah dan berpatutan tetapi berkualiti seiring dengan jenama produk yang ditawarkan.

    Mengikut Laporan Indeks Pengguna pada Julai 2023 yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mendapati bahawa kadar inflasi negara terus mereda pada kadar 2.0% berbanding bulan sebelumnya iaitu 2.4%. Namun, ianya jauh lebih rendah berbanding negara jiran seperti Indonesia (3.1%), Singapura (4.1%) dan Filipina (4.7%). Dalam konteks ini, KPDN akan terus melaksanakan pelbagai gerak kerja dalam memastikan agenda menangani kos sara hidup ini diberikan tumpuan utama dalam agenda Malaysia MADANI seperti yang dihasratkan oleh YAB Perdana Menteri.

    KPDN terus komited untuk memastikan seluruh warga Malaysia MADANI dilindungi dan tidak terbeban dengan peningkatan kos sara hidup dalam situasi mencabar dan tidak menentu pada hari ini. Pada masa yang sama, KPDN sentiasa menyokong usaha yang dilaksanakan oleh warga industri dari pelbagai sektor di negara ini untuk menggalakkan rakyat Malaysia berbelanja dengan memberi ganjaran tambahan atau nilai tambah kepada pengguna.

  • PROGRAM JUALAN RAHMAH PERINGKAT NEGERI PERAK MENCATAT JUALAN MELEBIHI RM 3 JUTA

    PROGRAM JUALAN RAHMAH PERINGKAT NEGERI PERAK MENCATAT JUALAN MELEBIHI RM 3 JUTA

    GOPENG, 3 SEPTEMBER 2023 – Yang Berhormat Senator Puan Hajah Fuziah binti Salleh, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup hari ini melancarkan dua program Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Peringkat Negeri Perak di Dewan Bandaran Gopeng, Perak iaitu Program Jualan RAHMAH Bergerak (PJRB) dan Aduan Suri.

    Sehingga kini, sebanyak 129 Program Jualan RAHMAH (PJR) telah dilaksanakan di kesemua 24 kawasan Parlimen dan 59 kawasan DUN seluruh negeri Perak dan telah memberi manfaat kepada lebih dari 160,000 orang rakyat Malaysia MADANI dengan jumlah jualan melebihi RM3 juta.

    Manakala PJR seluruh Malaysia pula telah merekodkan kehadiran melebihi 2.9 juta orang rakyat Malaysia MADANI dengan rekod jualan melebihi RM70 juta di semua 222 Parlimen.

    Program Jualan RAHMAH Bergerak (PJRB) pada hari ini pula telah diadakan dengan kerjasama daripada rakan strategik KPDN iaitu Kerjaya Emas Trading yang telah menawarkan diskaun antara 15 hingga 30 peratus lebih 2 murah berbanding harga pasaran setempat kepada 13 jenis barangan keperluan asas kering, sayur-sayuran serta buah-buahan.

    Pada hari ini sebanyak dua (2) buah lori berkapasiti lima (5) dan sepuluh (10) tan telah digunakan bagi jelajah PJRB di kawasan terpilih seluruh negeri Perak. Sehingga kini, PJRB telah menjangkau rakyat Malaysia MADANI di bandar, di pinggir bandar dan di luar bandar meliputi 575 lokasi di seluruh negara.

    Jumlah PJR dan PJRB pula telah dilaksanakan di 1,748 lokasi atau 7 lokasi setiap parlimen sejak ianya diperkenalkan pada Januari 2023. Terdapat tiga (3) model Program Jualan RAHMAH iaitu dalam premis, luar premis, dan bergerak (mobile).

    PJRB atau #KedaiCariRakyat terbukti dapat memberi kesan yang positif dalam usaha untuk meringankan kos sara hidup dan kini telah menjangkau di semua peringkat termasuk kawasan yang tiada pasar raya atau pasar raya besar.

    Pada acara yang sama juga, YB Senator Puan Hajah Fuziah binti Salleh turut menyempurnakan Majlis Perasmian Aduan Suri Peringkat Negeri Perak. Fokus utama Aduan Suri adalah kepada suri rumah tangga yang sering berurusan dengan pembelian barang keperluan secara harian dan sering berdepan dengan masalah kenaikan harga dan kekurangan bekalan.

    Pendekatan program ini adalah selaras dengan hasrat Kementerian dalam membentuk komuniti suri rumahtangga supaya dapat menjadi mata dan telinga serta rakan strategik Kementerian dalam memberikan maklumat lapangan di seluruh Malaysia. Selain itu, Aduan Suri juga bertujuan menggalakkan para suri 3 rumah untuk bertindak dan berdaya upaya dalam memperkasakan hak-hak sebagai pengguna.

    Melalui inisiatif baharu dalam Aduan Suri, golongan suri rumah tangga dapat membuat aduan kepenggunaan melalui aplikasi Kod QR WhatsApp. Melalui mekanisme ini, pengadu hanya perlu mengimbas Kod QR tersebut dan ianya akan terus disalurkan ke aplikasi Whatsapp aduan KPDN. Melalui kemudahan ini, besar hasrat Kementerian agar pengguna dapat memanfaatkan semua saluran aduan yang disediakan serta dapat membantu Kerajaan dalam membanteras salah laku peniaga atau sebarang pelanggaran terhadap undang[1]undang di bawah seliaan KPDN.

    Sejak Aduan Suri dilancarkan pada 12 Januari 2023 sehingga 31 Ogos 2023, sejumlah 9,908 aduan melalui Aduan Suri telah diterima oleh Kementerian dengan kategori berkaitan transaksi dalam talian adalah yang tertinggi iaitu sebanyak 3,028 aduan, diikuti dengan aduan berkaitan harga sebanyak 2,473 aduan, perkhidmatan yang mengelirukan sebanyak 1,555 aduan dan selebihnya bagi pelbagai kategori iaitu sebanyak 2,852 aduan.

    Bagi negeri Perak, sebanyak 423 aduan melalui Aduan Suri telah diterima. Kategori aduan tertinggi melalui Aduan Suri adalah berkaitan transaksi dalam talian iaitu sebanyak 181 aduan, diikuti dengan aduan berkaitan harga sebanyak 97 aduan dan perkhidmatan mengelirukan sebanyak 52 aduan dan selebihnya bagi pelbagai kategori iaitu sebanyak 93 aduan.

    Pengguna terutama golongan suri rumahtangga yang prihatin boleh melaporkan sebarang ketidakpatuhan peniaga melalui pelbagai saluran aduan rasmi KPDN seperti berikut:

    i. Kod QR Aduan Suri;

    ii. WhatsApp 019-279 4317 / 019-848 8000;

    iii. Portal e-Aduan KPDN iaitu http://eaduan.kpdn.gov.my;

    iv. Call Centre 1-800-886-800;

    v. E-mel (e-aduan@kpdn.gov.my);

    vi. Aplikasi Telefon Pintar Ez ADU KPDN;

    vii. Bilik Gerakan Penguatkuasaan 03-8882 6088 / 6245.

    Peniaga diingatkan agar tidak meletakkan pembelian bersyarat ke atas apa jua jualan barangan kawalan kepada pembeli. Sebagai contoh, sekiranya pengguna ingin membeli barangan kawalan, peniaga meminta pengguna membeli barangan lain terlebih dahulu sebelum dapat membeli barangan kawalan.

    Tindakan tegas telah diambil dengan penghasilan kes di dua (2) buah negeri iaitu Perak dan Kelantan kerana mengenakan pembelian bersyarat bagi pembelian barangan kawalan iaitu gula dan minyak masak. Sejumlah tujuh (7) kes telah dihasilkan dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961. Sekiranya disabitkan dengan kesalahan di bawah Akta ini boleh dikenakan penalti seperti berikut:

    (i) Bagi mana-mana orang perseorangan; didenda tidak melebihi RM1 juta (satu juta ringgit) atau penjara tidak melebihi tiga (3) tahun atau kedua-duanya sekali.

    (ii) Bagi pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi RM2 juta (dua juta ringgit) dan bagi kesalahan yang kedua didenda tidak melebihi RM5 juta (lima juta ringgit).

    Penyerahan sumbangan Bakul RAHMAH juga turut diadakan dengan nilai keseluruhan berjumlah RM2,500 ribu yang terdiri daripada barangan keperluan asas makanan. Sumbangan ini diberikan kepada 50 penerima dari kalangan kurang berkemampuan di sekitar kawasan DUN Teja. Untuk makluman, Bakul RAHMAH ini disumbangkan oleh YB Sandrea Ng Shy Ching, ADUN Teja.

    KPDN berharap agar pengguna dapat memanfaatkan saluran aduan kepenggunaan yang disediakan oleh pihak Kementerian dalam membantu pihak kerajaan dalam membanteras salah laku peniaga atau perkara yang menyalahi undang-undang di bawah kawalan Kementerian. Sekaligus, membentuk masyarakat Malaysia yang mampu bertindak dan berdaya upaya dalam memperkasakan hak-hak mereka sendiri.

    Pada masa yang sama, KPDN akan terus komited untuk memastikan seluruh warga Malaysia MADANI dilindungi dan tidak terbeban dengan peningkatan kos sara hidup dalam situasi yang mencabar dan tidak menentu yang melanda seluruh dunia pada hari ini.

  • KPDN BERI AMARAN TEGAS JIKA TUKAR LABEL KAMPIT BERAS

    KULIM, 4 SEPTEMBER 2023 – OPS JAMIN telah dilancarkan pada 7 Julai 2023 melibatkan kolaborasi bersepadu di antara Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Penguat Kuasa Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) iaitu Kawalselia Padi dan Beras (KPB) bagi meningkatkan kapasiti penguatkuasaan dan pemantauan seluruh negara dalam memastikan pengguna sentiasa mendapat keterjaminan bekalan beras yang mencukupi dengan harga yang stabil dan terkawal.

    Kerjasama strategik yang melibatkan penguatkuasaan, perkongsian maklumat dan pemantauan antara agensi di antara KPDN dan KPKM melalui OPS JAMIN berperanan penting dalam mengenalpasti keseluruhan rantaian bekalan pengedaran beras di semua peringkat pemborong hingga ke peringkat peruncit.

    KPDN memberi jaminan akan menggiatkan pemeriksaan di bawah OPS JAMIN bagi membanteras isu penukaran label kampit beras yang dikhuatiri berlaku susulan pelarasan harga baharu bagi beras putih import (BPI) dan memberikan amaran tegas kepada semua pengilang, pemborong dan peruncit agar sentiasa mematuhi perundangan yang telah ditetapkan bagi mengelakkan dikenakan tindakan tegas.

    Sehingga 2 September 2023, sebanyak 1,053 pemeriksaan di bawah OPS JAMIN telah dilaksanakan di seluruh negara hasil kolaborasi bersepadu KPDN dan KPKM yang melibatkan pemeriksaan di peringkat pengilang, pemborong dan peruncit. Sejumlah 47 aduan yang diterima melibatkan aduan harga, bekalan dan lain-lain berkaitan beras telah disalurkan kepada KPKM untuk tindakan lanjut.

    Mana-mana orang yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalselia Padi dan Beras [Akta 522] dan jika disabitkan boleh didenda sehingga RM25,000.00 (Ringgit Malaysia Dua Puluh Lima Ribu) atau dipenjarakan tidak melebihi tempoh dua tahun atau kedua-duanya bagi orang perseorangan manakala bagi syarikat sekiranya sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM50,000.00 (Ringgit Malaysia Lima Puluh Ribu).

    Selain itu, KPDN ingin memberi amaran keras terhadap mana-mana individu/syarikat yang berkaitan agar sentiasa mematuhi perundangan yang telah ditetapkan. Tindakan undang-undang akan diambil ke atas mana-mana pihak yang didapati membuat perihal dagangan palsu mengenai kandungan, jenis atau nama di bawah Seksyen 5 Akta Perihal Dagangan 2011 [Akta 730] dan jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM100,000.00 (Ringgit Malaysia Satu Ratus Ribu) atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua[1]duanya bagi orang perseorangan manakala bagi syarikat sekiranya sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM250,000.00 (Ringgit Malaysia Dua Ratus Lima Puluh Ribu).

    Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung isu kekurangan bekalan atau kenaikan harga beras, boleh menyalurkan aduan rasmi 3 kepada pihak Kementerian melalui saluran berikut:

    Kawalselia Padi dan Beras

    Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM)

    i. Portal Aduan KPB: https://skpb.kpkm.gov.my/adu;

    ii. E-mel Rasmi: aduankpb@kpkm.gov.my; dan

    iii. Hotline Ibu Pejabat KPB Putrajaya: 03-8870 1751/1748/1183.

    Bahagian Penguatkuasa

    Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN)

    i. WhatsApp 019-279 4317 / 019-848 8000;

    ii. Portal e-Aduan KPDN iaitu http://eaduan.kpdn.gov.my;

    iii. Call Centre 1-800-886-800;

    iv. E-mel e-aduan@kpdn.gov.my;

    v. Aplikasi Telefon Pintar Ez ADU KPDN, dan

    vi. Bilik Gerakan Penguatkuasaan 03-8882 6088 / 6245.

  • SYM Malaysia Mengenalkan Skuter Tuscany 150 yang Berkonsepkan Evergreen!

    SYM Malaysia Mengenalkan Skuter Tuscany 150 yang Berkonsepkan Evergreen!

    Dalam konteks KL Bike Show 2023 yang berlangsung di PWTC Kuala Lumpur dari 24 Ogos hingga 27 Ogos ini, SYM Malaysia telah memanfaatkan peluang emas untuk mengungkapkan yang terbaik dengan melancarkan SYM Tuscany 150. Model terbaru ini telah lama dinantikan oleh para peminat skuter klasik. Tuscany 150, sebuah skuter yang benar-benar menawan dan memukau dengan perpaduan gaya dan prestasi yang memikat. Rekaannya memikat dengan jelas mengekalkan elemen klasik sambil memberikan sentuhan moden yang segar. Speksifikasi yang mengagumkan menunjukkan kebolehannya yang sejajar dengan imejnya yang elegan dan canggih. Tuscany, tanpa ragu, akan memberikan pengalaman yang dinanti-nantikan oleh peminat setia skuter.

    Tuscany 150 ialah skuter yang menawan dan menyerlah dengan gabungan gaya dan prestasinya. Reka bentuknya sangat menarik dan jelas terlihat gabungan di antara klasik dan moden. Manakala spesifikasinya yang mengagumkan turut menjelaskan banyak tentang keupayaannya. Dengan gabungan elegan dan canggih, Tuscany semestinya menjanjikan pengalaman yang ditunggu-tunggu oleh para peminat skuter.

    Dikuasakan oleh enjin jenis satu silinder 4-lejang, model Tuscany 150 memberi ketekalan dan prestasi yang luar biasa. Dengan sesaran 149.6cc, enjin ini menawarkan keseimbangan harmoni antara kuasa dan kecekapan bahan api. Prestasi ini dijelaskan lagi dengan kuasa maksimumnya sebanyak 8.5Kw pada 8000rpm, dan tork maksimum 11.4Nm pada 5,500rpm. SYM Tuscany 150 menawarkan pecutan yang seimbang dan prestasi tahan lama. Ia sesuai untuk penggunaan harian dalam bandar atau perjalanan jauh, menjadikannya pilihan serba boleh bagi pelbagai keadaan.

    Kelebihan Tuscany 150 diperlihatkan lagi dengan menggunakan system kunci pintar pintar ataupun Smart Key System dengan penggera anti-kecurian. Sistem kunci pintar ini mudah digunakan untuk menghidupkan, mematikan enjin, membuka ruang simpanan dan tangki bahan bakar tanpa perlu mengeluarkan kunci dari poket anda yang pastinya lebih memudahkan.

    Menunggang dengan SYM Tuscany 150 adalah lebih menyeronokkan dan selamat apabila skuter ini mempunyai lampu hadapan dan belakang yang menggunakan LED penuh untuk memberikan penglihatan yang lebih jelas. Selain itu juga, dengan paparan LCD digital penuh, ia dapat memberikan segala informasi tunggangan yang diperlukan oleh anda. Untuk kemudahan para penunggang juga, SYM Tuscany 150 dilengkapi dengan penyambung USB pengecasan pantas dimana anda boleh mengecas gajet anda tanpa gangguan.

    Model terbaharu ini hadir dengan tiga warna pilihan iaitu Merah, Kelabu dan Putih dengan harga permulaan RM8,888.00 tidak termasuk insuran dan cukai jalan. Pembeli boleh mendapatkan model cilik ini di mana-mana pengedar sah SYM di seluruh Malaysia.

    Dengan setiap pembelian mana-mana model Tuscany 150, para pembeli boleh menikmati jaminan pengeluar selama dua tahun atau jarak perjalanan 20,000km (yang mana tiba dahulu) dan perkhidmatan pembelian alat ganti tulen atas talian oleh MForce Bike Holdings Sdn. Bhd.

  • WMOTO SX2-300 dan MOTOMORINI X-CAPE 650X Membuktikan Kehebatan Mereka di Rimba Raid Taman Negara 2023!

    Kuala Lumpur, 24 OGOS 2023 – Dalam sebuah sidang media eksklusif yang diadakan pada hari ini di KL Bike Show 2023, Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd. (Mforce) dengan bangganya mengumumkan penyertaan mereka dalam kejohanan Rimba Raid Taman Negara 2023. Mforce akan bersaing dengan dua model motosikal hebat, iaitu WMOTO SX2-300 dan Moto Morini X-Cape 650X, seperti yang mereka lakukan pada tahun sebelumnya. Pada tahun ini, Moto Morini X-Cape 650X akan dikendalikan oleh pelumba veteran yang sama, Muhamad Nazmee bin Ramlee, sementara WMOTO SX2-300 akan didahului oleh Muhamad Amirul bin Ramlee, menjanjikan saingan yang sengit dalam cabaran menarik ini. Rimba Raid Taman Negara 2023 dijadualkan berlangsung dari 31 Ogos hingga 3 September 2023, dan akan menjadi medan ujian kehebatan dan ketahanan para pelumba dan motosikal yang mereka tunggang.

    Tahun lepas, WMOTO SX2-300 berjaya meraih tempat ketujuh keseluruhan bagi kategori C manakala Moto Morini X-Cape 650X menamatkan perlumbaan dengan kedudukan yang mengagumkan, iaitu tempat ke-15 keseluruhan atau pelumba Malaysia yang ketiga untuk kategori B. Kejayaan ini membuktikan bahawa Moto Morini dan WMOTO adalah antara jenama yang perlu digeruni oleh pelumba yang lain kerana kemampuan jenama ini menamatkan perlumbaan. Pencapaian ini bukan sahaja menonjolkan keupayaan teknikal motosikal, tetapi juga menunjukkan kecekapan dan ketahanan para pelumba mengharungi segala cabaran yang disediakan oleh pihak penganjur.

    Walaupun mendapat keputusan yang memberangsangkan, Mforce tidak akan terus selesa malah bakal menggunakan strategi baharu untuk memastikan kedua-dua model yang dipertandingkan ini bakal meraih tempat di podium. Tambahan pula, para pelumba ini dijangka bakal menghadapi laluan perlumbaan yang lebih mencabar dan panjang iaitu lebih kurang 250km berbanding tahun lepas yang cuma 150km sahaja. Oleh itu, perancangan yang lebih teliti perlu dilakukan untuk memastikan kejayaan berada di pihak Mforce.

    Sidang media pada hari ini jugak menyaksikan termeterainya perjanjian di antara dua pihak di mana pelumba WMOTO SX2-300, Muhamad Amirul bin Ramli menandatangi perjanjian tersebut dan ditandatangani oleh Encik Asri Ahmad, Ketua Pegawai Operasi Mforce. Manakala untuk Moto Morini,pelumba Muhamad Nazmee bin Amirul menandatangi perjanjian bersama dengan Pengarah Jabatan Jualan Antarabangsa Moto Morini iaitu Ethan.

    Keadaan geografi laluan yang begitu mencabar dan jarak perlumbaan sepanjang 200km, tidak dapat dinafikan bahawa ia menguji kecekapan, mentaliti, dan ketahanan pelumba, serta menuntut jentera perlumbaan yang terbaik untuk melengkapkan perlumbaan tersebut. Langkah Mforce untuk terus mengkaji dan mempertingkatkan strategi yang digunakan dalam acara Rimba Raid ini adalah wajar. Pengalaman dari perlumbaan lepas akan memberi adalah sangat berharga untuk pihak Mforce menilai semula tentang kekuatan dan kelemahan, serta membantu dalam penyempurnaan prestasi motosikal- motosikal tersebut semasa perlumbaan. Pihak Mforce mengucapkan semoga berjaya kepada Muhamad Nazmee bin Ramli dan Muhamad Amirul bin Ramli.