Lima kandungan utama terbitan dan edaran Media Prima serta Primeworks Studios terus membuktikan keunggulan mereka di pentas industri apabila menerima pengiktirafan berprestij di Festival Filem Malaysia ke-34 (FFM34). Pencapaian ini bukan sahaja menonjolkan kekuatan produksi dan penceritaan yang berkualiti tinggi, tetapi juga mencerminkan komitmen berterusan kedua-dua entiti dalam mengangkat martabat kandungan tempatan ke tahap yang setanding dengan standard antarabangsa.
Antara karya yang mencuri perhatian di FFM34 termasuk tiga produksi terbitan TV3, Fail Mahkamah: Derita Zara, Fail Mahkamah: Rindu Tak Berpenghujung dan Majalah 3: Nadi Peralihan Tenaga yang menampilkan kekuatan naratif berasaskan realiti serta sarat dengan mesej kemanusiaan dan nilai inspirasi. Turut menjadi tumpuan ialah dua karya besar terbitan Primeworks Studios, Blood Brothers: Bara Naga dan Ejen Ali The Movie 2 yang masing-masing membuktikan keunggulan produksi tempatan dalam melahirkan karya dengan penceritaan mantap dan visual sinematik bertaraf antarabangsa.
Ejen Ali The Movie 2, hasil Primeworks Studios & WAU Animation, bukan sahaja mencipta fenomena luar biasa dengan rekod kutipan tertinggi di pawagam tempatan, malah terus mengukuhkan reputasinya apabila mengungguli pencalonan dalam tiga kategori di FFM34. Antaranya termasuk Skor Muzik Asal Terbaik, Kesan Khas Visual Terbaik, dan Penataan Bunyi Terbaik.
Blood Brothers: Bara Naga, arahan Syafiq Yusof dan Abhilash Chandra, terus mendominasi panggung FFM34 dengan pencalonan merentasi kategori utama, satu pencapaian yang disokong oleh kejayaan box-office filem ini dan penerimaan hangat penonton serta pengkritik. Antara kategori yang diiktiraf ialah Filem Terbaik, Pengarah Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Lakon Layar Terbaik, Sinematografi Terbaik, Aksi & Lagak Ngeri Terbaik, Penataan Bunyi Terbaik, Penataan Seni Terbaik, Lagu Tema Terbaik dan Rekaan Kostum/Busana Terbaik.
Dokumentari Fail Mahkamah: Derita Zara dan Fail Mahkamah: Rindu Tak Berpenghujung, terbitan TV3 dan Primeworks Studios, membawa penonton menyelami kisah sebenar perjuangan dalam sistem perundangan dan membuka perspektif baharu terhadap realiti kehidupan. Majalah 3: Nadi Peralihan Tenaga pula mengupas strategi peralihan tenaga negara, termasuk pelaksanaan inisiatif tenaga boleh diperbaharui dan hala tuju pembangunan mampan, menerima pencalonan bagi kategori Dokumentari Terbaik di FFM34.
Kejayaan ini sekali lagi menegaskan komitmen Media Prima dan Primeworks Studios dalam memperkukuh landskap kreatif tanah air, bukan sekadar menghasilkan karya hiburan, tetapi menjadikannya sebagai wadah untuk menyampaikan mesej, nilai serta inspirasi kepada masyarakat. Malam Anugerah FFM34 bakal berlangsung pada 1 November 2025, jam 8.30 malam, menyaksikan pertembungan karya terbaik tanah air dalam meraikan kehebatan sinema tempatan. Majlis anugerah berprestij ini akan disiarkan secara langsung di TV2 RTM dan saluran rasmi YouTube FINAS, membolehkan para peminat industri filem sama-sama menyaksikan detik bersejarah yang mengiktiraf bakat dan dedikasi penggiat seni Malaysia.