“Dedah siapa petualang spekulator ringgit, tarik pangkat Tun, Tan Sri dan Datuk”

  1. Dalam temu ramah bersama The Star baru-baru ini, pakar ekonomi terkemuka Prof Jomo Kwame Sundaram mendedahkan bahawa kelemahan ringgit berpunca daripada sesetengah speculator “berkuasa” dan rakyat Malaysia yang menyorokkan harta di luar negara.
  2. Pemuda AMANAH menggesa Bank Negara dan SPRM menyiasat dan mendedahkan nama semua individu berkenaan yang bertanggungjawab atas kelemahan ringgit. Tidak kira siapa yang bersalah, sama ada Tun, Tan Sri atau Datuk, mereka harus dinamakan dan dimalukan (name-and-shame) secara terbuka.
  3. Prof Jomo turut menyebut mengenai skandal Panama Papers sebagai salah satu sumber aliran keluar kekayaan negara secara haram. Mungkin ramai sudah lupa, antara individu yang terlibat dalam Panama Papers adalah anak-anak Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tun Dr Mahathir Mohamad. Adik ipar Dr Mahathir turut disenaraikan dalam Panama Papers yang melibatkan lebih 2,300 rakyat dan Syarikat Malaysia.
  4. Panama Papers hanyalah satu contoh. Dalam kontroversi Pandora Papers pula, sekutu Dr Mahathir – Tun Daim Zainuddin – dilaporkan memiliki harta di luar negara bernilai puluhan juta pound sterling, menerusi anak-anak, isteri dan kroninya.
  5. Jika benar kekayaan negara diseludup keluar secara haram yang akhirnya menekan ringgit, individu- individu yang terlibat adalah “pengkhianat negara yang hina”. Tindakan rakyat Malaysia sendiri yang menjadi spekulator dan penyebab kelemahan ringgit mesti dihukum dengan keras.
  6. PM Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah memberikan komitmen bahawa aliran keluar wang haram akan dibanteras sekeras-kerasnya. Pemuda AMANAH menyokong penuh usaha murni ini yang sangat mustahak untuk mengukuhkan ringgit dan ekonomi Malaysia.
  7. Prof Jomo telah turut mengesahkan bahawa kelemahan ringgit selama ini bukan disebabkan kelemahan “economic fundamentals” atau asas ekonomi negara. Saya percaya, dengan adanya “reform” atau pembaharuan ekonomi bawah Kerajaan MADANI, ringgit dan ekonomi Malaysia akan melonjak ke paras lebih baik daripada sebelum ini.
  8. Malah, hanya dalam tempoh seminggu yang lepas, ringgit telah mengukuh hampir 3% berbanding dolar Amerika. Pasaran saham juga telah menyaksikan trend pemulihan di mana indeks KLCI telah melonjak ke atas paras 1,400 mata dan aliran masuk dana pelabur asing semakin pulih. Dalam minggu berakhir 14 Julai sahaja, aliran masuk bersih dana asing adalah RM571 juta.

Leave a Comment