3 Telefilem ASTRO yang Menyemarakkan Jiwa Patriotik Anda

Pada tanggal 30 Ogos 2024, layar kaca Astro Ria bakal menyajikan satu kisah yang pasti mencuit hati penonton melalui telefilem bertajuk Rombongan Makciks Ke Dataran Merdeka.

Diarahkan oleh Emi Suffian dan diterbitkan oleh Zeel Production Sdn Bhd, telefilem ini menampilkan pelakon-pelakon hebat seperti Rozita Che Wan, Mandy Chong, Satthiya Kandi, Khaled Asharief, Fendi Seman, Zain Saidin, Hafeezul Yob, TJ Isa, Abang Gee, Azman Ahmad, dan Kamarul Hj Yusof. Penampilan khas turut diserikan oleh Abang Bomba Viral yang dilakonkan oleh Asma Saiful Hayat.

Kisah ini bermula di sebuah kampung bernama Kampung Wahab Satu, di mana tiga sahabat karib yang sudah berusia – Kiah yang dilakonkan oleh Rozita Che Wan, Joanne oleh Mandy Chong, dan Anjali oleh Satthiya Kandi – bertekad untuk menghadiri sambutan Hari Kemerdekaan di Dataran Merdeka. Mereka ingin menyaksikan perarakan Hari Merdeka bagi menyokong anak saudara Kiah, seorang abang bomba yang akan turut serta dalam perarakan tersebut. Namun, perjalanan mereka dari Perlis ke Kuala Lumpur bukanlah semudah yang disangka.

Semuanya menjadi kacau-bilau apabila Kiah membuat keputusan untuk melantik Danial, yang sebenarnya seorang penipu, sebagai pemandu mereka. Watak Danial yang penuh tipu muslihat ini dilakonkan oleh Khaled Asharief. Sepanjang perjalanan, pelbagai kejadian lucu dan mencemaskan berlaku, termasuk interaksi mereka dengan pelbagai watak seperti Haji Musa, lakonan Fendi Seman, dan Rodi, lakonan Zain Saidin. Dalam keadaan genting, adakah makcik-makcik ini akan berjaya tiba di Dataran Merdeka dan menyaksikan anak saudara Kiah berarak?

Astro Ria bakal meneruskan malam kemerdekaan dengan tayangan telefilem bertajuk Hantu Karipap pada 31 Ogos 2024. Diterbitkan oleh MIG Production Sdn Bhd dan diarahkan oleh Reen Emran, telefilem ini menggabungkan elemen seram dan komedi dalam satu naratif yang unik. Pelakon-pelakon utama seperti Arfie Shah, Daniel Fong, Sanjna Suri, dan Ropie memainkan peranan penting dalam menghidupkan cerita ini.

Cerita bermula apabila kemunculan satu entiti menyerupai lelaki Cina di Kampung Sejenak telah menimbulkan kekecohan di kalangan penduduk. Farhan, seorang penghantar barang yang penakut, dilakonkan oleh Arfie Shah, dan rakannya yang juga pengecut, Zhen, lakonan Daniel Fong, ditugaskan untuk menyiasat asal usul hantu tersebut.

Mereka berdua akhirnya menemui petunjuk bahawa hantu itu mungkin berasal dari tanah perkuburan Cina, dan semua ini berpunca daripada Farhan yang tidak menghantar pesanan tepat kepada ‘tuannya’. Bersama-sama dengan Priya, seorang gadis yang terkenal dengan kecantikan, lakonan Sanjna Suri, mereka berusaha merungkai misteri tersebut dan memulihkan keamanan di kampung mereka.Saksikan filem ini di Astro Ria.

Pada 16 September 2024, Astro Ria akan membawakan sebuah telefilem inspirasi bertajuk Lion Girl. Diterbitkan oleh Radius One Sdn Bhd dan diarahkan oleh Shahrulezad Mohameddin, telefilem ini mengisahkan perjuangan seorang gadis Melayu dalam mengejar minatnya yang luar biasa. Erysha Emyra, Jack Gohr, Justin Yu, dan Preti Kaur adalah antara barisan pelakon yang memeriahkan cerita ini.

Sakina, seorang gadis remaja Melayu yang dilakonkan oleh Erysha Emyra, sejak kecil tertarik dengan seni tarian naga. Semuanya bermula apabila dia berkenalan dengan Ah Bui, seorang kanak-kanak berbangsa Cina yang lincah bermain gendang, dilakonkan oleh Jack Gohr.

Walau bagaimanapun, minat Sakina ini tidak mendapat restu daripada ayahnya, Salleh, yang lebih menginginkan anak perempuannya untuk meneruskan perniagaan keluarga. Di samping itu, Sakina yang berhijab menghadapi cabaran tambahan dalam mengejar impiannya. Dengan sokongan rakan-rakannya seperti Christopher, lakonan Justin Yu, dan Ivy, lakonan Preti Kaur, Sakina berusaha membuktikan bahawa dia mampu mencapai cita-citanya tanpa perlu mengorbankan identitinya sebagai seorang Muslim.Saksikan filem ini hanya di astro ria.

Leave a Comment